24 Apr 2010

Pantun Khas SPR sempena Pilihan Raya Kecil


HULU SELANGOR - Membuat sesuatu yang baru daripada amalan biasa, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mencipta pantun untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Hulu Selangor.

.

Pantun itu dicipta anggota SPR, Datuk Jamdir Buyong dan diedarkan kepada media pada 24 April 2010 untuk siaran bagi tatapan parti politik dan calon yang bertanding serta pengundi pada pilihan raya kecil itu.

.

Pantun berupa panduan dan nasihat yang dibahagi kepada dua senario iaitu semasa dan selepas mengundi, antara lain, menghuraikan secara jelas perkara-perkara yang harus dipatuhi calon serta parti bertanding dan pengundi.

.

Pantun itu adalah seperti berikut:

.

PENGUNDIAN

.

Tiada pondok boleh berdiri

Tempat berhimpun suara perang

Jangan berkempen hari mengundi

Elakkan sengketa suasana tegang

.

Hulu Selangor dataran permai

Ramai tokoh pandai berpantun

Datanglah mengundi beramai-ramai

Ikut adat bersopan santun

.

Pokok manggis di tanah rata

Buahnya manis sedap dirasa

Setiap undi intan permata

Penyinar cahaya negara bangsa

.

Bunga teratai mekar kembang

Tumbuh subur rapat-rapat

Usah takut janganlah bimbang

Hadir mengundi tiada yang sekat

.

SELEPAS PENGUNDIAN/PENGUMUMAN

.

Kertas undi di dalam peti

Dikawal ketat hingga ke petang

Jumlah dikira penuh teliti

Usah sangsi janganlah bimbang

.

Dari jauh mencari tunang

Masuk kampung hingga ke bandar

Adat bertanding kalah dan menang

Jangan marah salahkan SPR

.

Pokok pandan di puncak bukit

Buahnya jatuh di atas tanjung

Menang besar kalah sedikit

Jangan dicemuh hormat dijunjung

.

Khidmat cemerlang sudah sempurna

Semoga mendapat segala berkat

Terima kasih yang bijaksana

Bakti dikenang sepanjang hayat

.

Pagi-pagi makan ketupat

Hidangan asli sejak berkurun

gambar calon merata tempat

Lepas bertanding mestilah turun


[Panduan menanda kertas undi - klik di sini]