Saya mula mengenali Raja Rajeswari Seetha Raman (serta keluarganya) apabila beliau menghubungi saya pada tahun 1998 untuk mendapatkan bahan dan maklumat memandangkan beliau pada waktu itu sedang menghasilkan tesis sarjana sastera di Universiti Putra Malaysia (UPM) berdasarkan cerpen-cerpen saya.
Saya tumpang bangga dan gembira apabila beliau mula menulis setelah diberi motivasi dan bimbingan berterusan, lalu kini muncul sebagai antara pemuisi yang dikenali umum. Malah, beliau menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2006/07 bagi sebuah sajak yang termuat dalam kumpulan sajak sulung beliau, Mekar Bunga (2006).
Sebelum menjadi pemuisi – dan sesudah itu – Raja Rajeswari menulis beberapa makalah khusus mengenai penulis kaum India yang menghasilkan karya Bahasa Malaysia. [Bandingkan perubahan sikapnya pada 2017 - BACA DI SINI.]
Artikel paling awal yang ditulis oleh Raja Rajeswari dan disiarkan di media cetak arus perdana adalah sebuah rencana mengenai penulis kaum India di Malaysia. Saya telah berbincang, mengulas dan menyunting artikel itu sebelum disalurkan kepada editor. Artikel berkenaan disiarkan pada Februari 1999, iaitu sebelum Kavyan diasaskan dan sebelum Raja Rajeswari aktif mengarang sajak.
Selepas Kavyan diasaskan, beliau menulis sebuah lagi makalah khusus untuk disiarkan dalam surat berita Kavya.
Sebuah lagi rencana pada 2005 mengkhusus pada unsur intertekstualiti dalam karya.
Makalah dan rencana yang beliau hasilkan pada peringkat awal boleh membantu orang ramai mengenali kelompok Sasterawan Kavyan secara umum. [Tetapi Raja Rajeswari mula menyalurkan data palsu dan fakta rekaan pada 2017. Saya yang "melahirkan"nya terpaksa bertindak menghalang segala penipuan yang dilakukannya! -- BACA DI SINI.]
Dalam ketiga-tiga rencana peringkat awal, Raja Rajeswari menyebut Saroja Theavy dan saya sebagai penulis kaum India yang aktif berkarya. Beliau turut bertanya, apakah para penulis kaum India yang selebihnya akan turut aktif berkarya pada masa hadapan.
Dua daripada rencana itu ditulis dan disiarkan lebih sedekad lalu; sebuah lagi lima tahun lalu. Bagaimanakah realiti sekarang?
Tiga makalah berkenaan adalah “Karya Penulis Kaum India Diiktiraf”, “Reformasi Budaya yang Gagal?” dan “Intertekstualiti dan Pengarang”. Sila klik pada tajuk makalah untuk membaca teks sepenuhnya.
Sudilah membaca rencana berkenaan sebelum mengemukakan komen dan pandangan anda berhubung topik berkaitan.