26 Apr 2010

Kolumnis yang Tidak Tahu Bahasa

Dalam mengendalikan bengkel penulisan cerpen, makalah, rencana dan berita, saya seorang tenaga pengajar yang sangat tegas. Sebagai pencinta dan pejuang bahasa, saya akan menetapkan syarat pertama bahawa peserta bengkel wajib menguasai bahasa (selalunya Bahasa Malaysia) sebelum menyertai bengkel yang saya kendalikan di bawah Kumpulan Sasterawan Kavyan.
.

Penguasaan bahasa yang saya maksudkan termasuklah aspek ejaan, tatabahasa, imbuhan, tanda baca dan kata sendi. Syarat mengirim manuskrip cerpen, misalnya, boleh dirujuk DI SINI.

.

Sebagai seorang penulis, sejak awal penglibatan dalam bidang ini, saya sentiasa membaca, menyemak, membetulkan serta menyunting manuskrip saya beberapa kali sebelum manuskrip itu dikirim kepada editor. Saya mahu permudahkan tugas editor, sebagaimana Tuhan permudahkan kerja penulisan saya.

.

Tidak hairanlah ramai editor “suka” menerima manuskrip saya kerana tidak perlu memeningkan kepala menyemak serta membetulkan ejaan, tatabahasa, imbuhan, tanda baca dan kata sendi pada manuskrip yang saya kirim. Sebaliknya, perlu dibaca, dinilai dan (jika sesuai) disiarkan.

.

Baru-baru ini, saya berpeluang menatap manuskrip asal tiga tokoh yang menjadi kolumnis di sebuah akhbar harian. Segala macam kesalahan bahasa yang wujud di mayapada boleh ditemui pada manuskrip-manuskrip berkenaan yang panjangnya 700-900 patah perkataan. Belum lagi diambil kira segala kesalahan fakta, kesilapan nama dan kejahilan menaip menggunakan komputer.

.

Kolumnis berkenaan bukan calang-calang orang; masing-masing berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang media, penulis, bekas guru, pensyarah undang-undang dan pemegang ijazah kedoktoran. Ramai pembaca yang khabarnya ternanti-nanti kolum mereka saban minggu.

.

Sebenarnya, pihak editorial akhbar berkenaan yang terpaksa memecah kepala membetulkan dan “memurnikan” segala ‘sampah-sarap’ itu sebelum disajikan sebagai ‘hidangan istimewa’ kepada pembaca.

.

Secara relatif, kemampuan menulis dan penguasaan bahasa golongan remaja dan belia yang menyertai bengkel penulisan anjuran Kavyan jauh lebih baik berbanding tiga tokoh @ kolumnis berkenaan.

.

Kalaulah ditakdirkan ketiga-tiga kolumnis itu mengirim manuskrip kepada saya, saya pasti akan mewajibkan mereka belajar Bahasa Malaysia sebelum mula menulis!