Acara berkenaan sempena Sambutan Hari Buku Kanak-kanak Antarabangsa peringkat Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Selangor (PPAS).
Sejumlah 21 kanak-kanak dan remaja mengambil bahagian dalam aktiviti Baca Cerpen. Kebanyakan daripada mereka adalah murid/pelajar SMK Methodist, SMK Khir Johari dan SJKT Tan Sri Dato’ Manickanasagam.
Saya memberi sedikit taklimat kepada peserta mengenai cara membaca cerpen dan Baca Cerpen Kavyan selama 96 jam 32 minit pada tahun 2003.
Para peserta memilih buku cerita Bahasa Malaysia yang ada di Perpustakaan Pekan Hulu Bernam dan membaca petikan beberapa halaman untuk dinilai.
Sebaik sahaja Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tiba, beliau melawat tempat aktiviti Baca Cerpen berlangsung. Maka, saya secara spontan mengundang beliau mengambil bahagian.
Tan Sri Abdul Khalid terus bersetuju dan mula membelek-belek buku Kathakali lalu memilih cerpen “Cerita Moorthy” untuk dibaca sambil diperhatikan Pengerusi Lembaga Pengarah PPAS, Dr Halimah Ali dan Pengarah PPAS, Puan Mastura Muhammad.
Kemudian, peserta meneruskan pembacaan masing-masing. Kesemua peserta diberi cenderamata berupa diari korporat dan kotak pensel sumbangan PPAS; manakala peserta terpilih turut menerima buku Kathakali dan Rudra Avatara sumbangan Kavyan.
Sementara itu, saya turut tertarik pada ucapan perasmian Sambutan Hari Buku Kanak-kanak Antarabangsa peringkat PPAS. Menteri Besar Selangor menumpukan sepenuhnya ucapan beliau terhadap buku, kanak-kanak, tabiat membaca, perpustakaan, literasi maklumat, kreativiti, internet, kedai buku, peranan ibu bapa dan karya pengarang tempatan.
Tidak diselitkan walau sedikit pun unsur politik dan kempen dalam ucapan Tan Sri Abdul Khalid; walaupun kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor sedang hangat di kawasan sekitar.
Tidak dapat tidak, saya kagum dengan sikap profesional yang ditunjukkan oleh beliau. Kita memerlukan lebih ramai pemimpin seperti beliau.