11 Apr 2013

“Kami tidak masuk Melayu”

Menerusi makalah bertajuk “Takkan Melayu hilang di Malaysia” (The Malaysian Insider, 25 Februari 2013), saya turut mendedahkan realiti di mana ada golongan India-Muslim atau Cina-Muslim yang lebih gemar menggelarkan diri mereka sebagai “orang Melayu”.
 
Turut dibicarakan mengenai Perkara 160 (definisi “orang Melayu”) dan Perkara 153 (Kedudukan Istimewa Orang Melayu) dalam Perlembagaan Persekutuan yang mungkin dianggap sensitif oleh pihak tertentu; khususnya apabila dibicarakan oleh individu Bukan Melayu seperti saya.
 
Sebagai susulan kepada penyiaran makalah itu, saya berusaha mendapatkan pandangan beberapa rakan pada 27 Februari 2013. Apabila memeluk agama Islam, apakah mereka mahu dikenali sebagai “Melayu” atau masih berbangga mengekalkan identiti kaum/etnik asal selagi tidak bercanggah dengan Islam?
 
Rasyeeda Begum dari Pulau Pinang menceritakan kepada saya bahawa ibunya adalah generasi ketiga India-Muslim (atau “mamak”) di pulau berkenaan. Bapanya pula datang ke Tanah Melayu pada tahun 1960 bersama-sama datuknya dari India.
 
“Keturunan sebelah ibu saya sudah berada di Pulau Pinang jauh lebih lama daripada kebanyakan orang Melayu yang saya kenal. Ayah saya pula seorang perunding profesional bagi sebuah firma akaun. Akan tetapi, sehingga umur 45 tahun, beliau masih hanya diberi hak memegang kad pengenalan merah,” katanya.
 
Rasyeeda yang sedikit pun tidak malu untuk dikenali sebagai “mamak” menceritakan bahawa ibunya membesar di sebuah kampung Melayu.  Neneknya boleh bertutur Bahasa Tamil tetapi ibu serta generasi kemudian sudah tidak fasih bercakap bahasa ibunda.
 
“Kami adalah kelompok yang dikenali sebagai Jawi Peranakan iaitu masyarakat India-Muslim yang sudah mengasimilasikan budaya Melayu tetapi tetap berpegang pada sedikit-sebanyak budaya India selagi tidak bercanggah dengan ajaran Islam,” wanita itu menghuraikan.
 
Semasa saya di Tingkatan 1 di SM Darul Ridwan, Taiping, kami masih belajar mengenai Jawi Peranakan dan salah seorang tokoh terkenal ialah Munsyi Abdullah. Beliau pernah diwartakan sebagai Bapa Kesusasteraan Melayu Moden. Akan tetapi, selepas disedari bahawa beliau adalah “India-Muslim” maka usaha-usaha licik ternyata sudah diambil untuk “mencari” tokoh “Melayu” bagi menyandang gelaran penting itu.
 
“Keluarga saya tiada kena-mengena dengan Munsyi Abdullah,” kata Rasyeeda apabila saya menimbulkan topik tersebut. “Keluarga sebelah ibu saya miskin dan tidak berpelajaran. Ibulah satu-satunya individu dalam kalangan adik-beradiknya yang masuk universiti. Moyang saya dulu bekerja di tongkang yang menguruskan perdagangan opium dan sebagainya.”
 
Maka, jelaslah bahawa tidak semua “mamak” di Pulau Pinang kaya dan terlibat dalam industri nasi kandar. Demikian juga wanita itu menekankan bagi memecah stereotaip yang wujud.
 
Kami turut berbincang secara khusus mengenai topik mengapa ada golongan India-Muslim yang menyertai UMNO dan menggelarkan diri mereka sebagai “orang Melayu”. Ini sebagai tambahan kepada penyertaan dalam Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) yang ditubuhkan dan didaftarkan sebagai parti politik pada 1976.
 
Tuntutan KIMMA: Melayu atau Bumiputera?
 
Menurut maklumat di laman sesawang rasmi, KIMMA ditubuhkan untuk “memperjuangkan kepentingan masyarakat India-Muslim agar suara dan rintihan didengari oleh kerajaan dalam bidang politik, agama, sosial, ekonomi dan pendidikan”.
 
Seperti diketahui umum, KIMMA begitu setia membantu Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum dan pilihan raya kecil. Susulan “kesetiaan” itu, pada 27 Ogos 2010, Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO bersetuju menerima KIMMA sebagai Ahli Gabungan UMNO dan diberikan beberapa keistimewaan.
 
Berbalik pada isu “Melayu”, ada pihak yang berpendapat bahawa KIMMA tidak patut memohon status Melayu tetapi menuntut hak diiktiraf sebagai Bumiputera. Persekutuan Pertubuhan India Muslim Malaysia (Permim) mengeluarkan kenyataan bahawa status Melayu yang diperjuangkan KIMMA tidak penting kepada kaum tersebut.
 
“Bagi kami, apa yang perlu diperjuangkan adalah untuk mendapat status Bumiputera dan seterusnya mempertahankan kebudayaan India Muslim yang tersendiri,” kata presidennya, Dr Syed Ibrahim Mohd Ismail (Utusan Malaysia, 21 September 2005).
 
Seorang lagi individu yang berkongsi pandangan bersama-sama saya mengenai topik yang dibincangkan ialah Hussain Sajad, pemuda Punjabi beragama Islam. Beliau bukanlah seorang mualaf tetapi seorang Islam sejak turun-temurun.
 
“Saya berketurunan Punjabi. Di Malaysia, masyarakat Punjabi sering dianggap beragama Sikh. Pada pengamatan saya, hal ini berlaku kerana kelemahan pemahaman orang Malaysia terhadap konsep ‘kaum’ dan ‘agama’. Nenek-moyang saya yang berasal dari Punjab, India memang beragama Islam.
 
“Harus dinyatakan bahawa pada dasarnya, etnik Punjabi ada yang beragama Sikh, Islam, Hindu dan Kristian. Ramai juga yang berpendapat bahawa saya sepatutnya menggelarkan diri saya ‘Melayu’ kerana saya beragama Islam,” kata pemuda itu yang tinggal di Puchong.
 
Dilema identiti antara “India-Muslim”, “Melayu” dan “Bumiputera” ternyata menimbulkan banyak masalah. Sekadar contoh, akhbar Berita Harian (25 Ogos 2011) melaporkan kes pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Amirah Farveen Basheer Ahamad yang tidak dapat (pada mulanya) meneruskan pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
 
“Bagi permohonan ke UIAM dan UiTM, taraf kewarganegaraan diberi keutamaan. Untuk itu kami bergantung kepada maklumat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan status Bumiputera tidak dipenuhi oleh ibu atau bapa Amirah, berikutan rekod JPN menyatakan ibu bapanya adalah India-Muslim,” kata Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Profesor Datuk Rujhan Mustafa.
 
Bagi Rasyeeda, memang ada orang India-Muslim yang menyertai UMNO serta melihat diri mereka sebagai “Melayu” sebagaimana diperuntukkan dalam Perkara 160.
 
“Saya rasa memang adil kerana mereka memang sesungguhnya bertutur bahasa orang Melayu dan mengamalkan sepenuhnya budaya orang Melayu. Satu-satunya perkara yang membezakan mereka adalah warna kulit. Lagi pun, janganlah kita lupa bahawa memang ada banyak ‘habuan’ berupa ‘hak’ apabila seseorang sudah menjadi ‘orang Melayu’ mengikut definisi dalam Perlembagaan,” katanya.
 
Fenomena kalut masyarakat Malaysia
 
Rasyeeda mengakui bahawa memang masyarakat India-Muslim berdepan dengan cabaran dan dilema identiti pada setiap hari; seperti contoh kes Amirah di atas.
 
“Semasa zaman kanak-kanak dan remaja, saya menjadi mangsa diskriminasi, penindasan dan bahan lawak semata-mata kerana saya dianggap ‘lain’. Orang muda dan tua sama-sama bertanya ‘Awak ini apa? Ibu bapa awak masuk Islam?’ Amat menyedihkan kerana ramai orang di Malaysia masih juga melihat ‘Melayu-Islam’ tanpa menyedari bahawa mana-mana kaum, etnik dan bangsa boleh menjadi orang Islam,” Rasyeeda meluahkan pandangannya secara ikhlas.
 
Wanita itu turut menegaskan bahawa beliau melihat dirinya sebagai Bangsa Malaysia. Dari aspek budaya pula, beliau mempertahankan budaya Jawi Peranakan yang sangat unik dan merupakan jati diri keturunannya.
 
“Memanglah KIMMA telah memperjuangkan supaya orang India-Muslim diiktiraf sebagai orang Melayu. Malah, daripada maklumat yang saya terima daripada kaum-keluarga, saudara-mara dan sahabat-handai, seorang individu India-Muslim boleh pergi ke JPN dan serta-merta menukar ‘kaum’ kepada ‘Melayu’ selaras dengan hak yang dijamin dalam Perkara 160.
 
“Adik-beradik saya ada yang sudah melakukannya tetapi bagi saya, saya mahu mengekalkan identiti kaum. Walaupun saya beragama Islam, saya masih seorang individu keturunan India yang berbangga dengan identiti unik Jawi Peranakan,” tegasnya.
 
Pada pandangan dan pendirian Rasyeeda, seseorang berhak untuk memilih agamanya. Akan tetapi, tindakan mengubah etnik, kaum, warisan dan budaya semata-mata untuk mendapatkan hak dan keistimewaan tertentu adalah tindakan yang amat memalukan.
 
Bercerita lebih lanjut mengenai pengalamannya sejak kecil, Hussain yang jelas mempunyai raut wajah Punjabi pula mengatakan bahawa beliau memang sering ditanya adakah beliau orang Melayu.
 
“Apabila saya mengatakan tidak, maka akan ditanya mengapa pula nama saya nama Islam. Ini suatu fenomena kalut yang sukar untuk saya fahami sampai sekarang,” kata Hussain yang membesar dalam persekitaran masyarakat pelbagai kaum dan agama.
 
Seperti diakui oleh Hussain, masyarakat Punjabi terkenal sebagai minoriti yang berbangga dengan identiti dan budaya sendiri. Pada masa yang sama, wujud ruang yang besar dalam hati mereka untuk menerima kewujudan kaum dan agama lain.
 
Ringkasnya, sambil berasa amat bangga dilahirkan sebagai umat Islam, Hussain turut berasa bangga untuk mengekalkan identiti diri sebagai seorang pemuda Punjabi.
 
Suara Rasyeeda dan Hussain mungkin sahaja tidak mewakili keseluruhan komuniti India-Muslim dan Punjabi-Muslim. Bagaimanapun ia sekurang-kurangnya membantu kita untuk memahami realiti bahawa masih ada orang yang mampu membezakan antara “kaum” dan “agama”.
 
[Uthaya Sankar SB sering dibenci golongan etnosentrik kerana berani tampil memperkatakan isu-isu yang dianggap sensitif dalam masyarakat. Makalah ini ditulis pada 3 Mac 2013 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 4 Mac 2013. Sila KLIK DI SINI untuk beberapa lagi makalah berkaitan Melayu dan Islam. © Uthaya Sankar SB 2013. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]