12 Nov 2010

Catatan I: Pertemuan Bekas Pelajar SMDR

Tarikh: 7 November 2010 (Ahad)
Masa: 9:00 pagi – 2:00 petang
Tempat: Legend Inn & SMK Darul Ridwan, Taiping
.

Tetamu Khas:

1. Encik Rusli Muhamad Zain, Pengetua SMK Darul Ridwan (SMKDR)
2. Encik K Balasubramaniam, bekas Pengetua SM Darul Ridwan (SMDR)
3. Cik M S Pragassam, bekas guru SMDR merangkap Penasihat Persatuan Bahasa Inggeris SMDR
4. Puan Hadebah Duseh, bekas guru SMDR merangkap Penasihat Penasihat Persatuan Bahasa Malaysia SMDR
5. Encik R Sevanesen, bekas guru SMDR merangkap Penasihat Persatuan Bahasa Tamil SMDR
.

Bekas Pelajar:

1. Uthaya Sankar SB (bersama anak, Devishi Prabha Sankari)
2. S Ghanthimathi
3. Arokiasamy A
4. Nor Azura Kasim
5. S Guna
6. S Yoganathan
7. G Surendran
8. K Verakumar
9. M Thanabalan
10. Sathi Vel
11. Muralidaran
12. R Suresh
13. Shamsul Azahar (bersama isteri, Nihaziah Ishak, dan anak)
14. Sackarapani S Jeyaraman
.

Hadir sama:

Lam Swet Fan
..

8:30 – 9:00 pagi

.

Persiapan Akhir

Ghanthimathi, Swet Fan, Devishi dan Uthaya memastikan segala persiapan sudah dilakukan di Legend Inn, Taiping.
.

9:00 – 9:30 pagi

.

Ketibaan Tetamu

Ketibaan tetamu khas (guru) dan bekas pelajar Sekolah Menengah Darul Ridwan (SMDR) disambut oleh Arokiasamy dan Azura. Beberapa “wajah lama” dan beberapa “wajah baru” yang tidak ditemui sejak lebih 20 tahun lalu. Guru-guru diminta menandatangani Sijil Kehadiran yang akan diberikan kepada bekas pelajar yang sudah mendaftar awal dan hadir pada majlis ini. Hadirin juga diberikan pelekat kereta khas dengan logo panther (lambang SMDR), majalah-majalah sumbangan Kumpulan Media Karangkraf dan buku-buku sumbangan Kumpulan Sasterawan Kavyan.
.

9:30 pagi

.

Ucapan Alu-aluan

Uthaya selaku pengacara majlis mengalu-alukan semua yang hadir serta mengucapkan terima kasih atas komitmen yang ditunjukkan. Ternyata laman rangkaian sosial Facebook amat membantu untuk mengesan rakan-rakan lama bagi tujuan pertemuan ini. Uthaya juga mengucapkan terima kasih kepada Ghanthimathi, Arokiasamy dan Azura yang terlibat sebagai jawatankuasa penyelaras majlis ini.
.

Ucapan Pengetua SMKDR

Encik Rusli dalam ucapannya menceritakan perkembangan mutakhir di SMDR yang kini dikenali sebagai SMKDR. Beliau meluahkan rasa kecewa kerana prestasi semasa SMKDR agak mengecewakan dan berada pada Band 6 berbanding “zaman kegemilangan” dahulu. Menurut Encik Rusli, kemerosotan akademik, ko-kurikulum dan penguasaan Bahasa Malaysia sebahagian besar disebabkan kurangnya pelajar kaum Melayu berbanding pelajar Bukan Melayu pada masa kini. Bagi beliau, keadaan dapat “dipulihkan” jika kemasukan pelajar kaum Melayu ditingkatkan bagi mengimbangi pelajar Bukan Melayu yang “kurang menonjol”.
.

Ucapan Bekas Pengetua SMDR

Encik Balasubramaniam dalam ucapannya mengimbau pengalaman semasa beliau berada di SMDR. Beliau melahirkan rasa bangga dan bersyukur kerana ramai pelajar pelbagai kaum yang berada di SMDR semasa beliau menjadi pengetua kini menjadi “orang baik” dalam masyarakat; walaupun tidak semuanya menjadi “orang berjaya” dan “orang kaya”. Encik Bala mencadangkan supaya bekas pelajar SMDR tampil membantu “memulihkan” pelbagai masalah yang dinyatakan oleh Encik Rusli dalam ucapannya. Encik Bala juga menekankan bahawa pelajar SMDR bukanlah “gangster” tetapi hanya “prankster” yang boleh dibimbing jika guru-guru benar-benar komited dalam menjalankan tugas sebagai pendidik. Berhubung keluhan Encik Rusli dalam ucapannya, Encik Bala menceritakan bahawa komposisi kaum serta tahap akademik pelajar yang masuk ke SMDR pada sama lalu sama sahaja dengan senario sekarang; namun komitmen pengetua dan para guru mampu mengubah keadaan. Malah, mengenai keluhan Encik Rusli bahawa pelajar kaum Cina masa kini tidak tahu Bahasa Malaysia sehingga pengumuman di perhimpunan terpaksa diterjemah ke Bahasa Mandarin, Encik Bala berkata, tentu ada sesuatu yang tidak kena pada pentadbiran sekolah sehingga masalah seperti itu boleh berlaku.
.

Ucapan Cik M S Pragasam

Cik Pragassam yang mengajar mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Sejarah berucap sambil duduk kerana masalah kesihatan. Beliau yang dikenali sebagai guru yang bengis dan garang ternyata banyak tersenyum sepanjang majlis berlangsung. Beliau mendedahkan bahawa walaupun dianggap garang, beliau yang sebenarnya terasa gerun dan takut apabila berhadapan pelajar-pelajar bersaiz besar sepanjang mengajar di SMDR! Bagaimanapun, beliau berkongsi kisah di mana beliau menasihati sekumpulan pelajar yang sedang bergaduh dan mengangkat kerusi untuk dibaling semasa rehat. Cik Pragassam menasihatkan kumpulan pelajar itu supaya ke kantin untuk makan dan berehat supaya boleh menyambung pelajaran dengan baik selepas waktu rehat. Pelajar terbabit akur! Beliau turut mengakui bahawa pelajar SMDR bukan “gangster” tetapi hanya “prankster” yang boleh dibimbing dan dipupuk melalui kasih sayang guru yang penuh dedikasi. Beliau juga menasihatkan guru supaya melayan pelajar nakal sekali pun sebagai manusia (human being). Cik Pragassam mengakui bahawa tidak semua pelajar SMDR berjaya menjadi “orang besar” dalam hidup. Malah, ada yang terlibat dalam pekerjaan biasa atau menjual ikan di pasar. Akan tetapi, kesemua pelajar – sama ada berjaya atau kurang berjaya – amat menghormati guru mereka dan inilah bukti kehebatan SMDR.

..

Catatan ini disambung ESOK.