Bayangkan jika seseorang sedang khusyuk membaca buku berkulit kuning ini yang memuatkan 18 cerpen karya Roslan Jomel pada tarikh berkenaan di tempat awam.
Atau jika seseorang menyimpan buku ini di dalam kereta semasa melalui kawasan pemeriksaan polis dalam tempoh sekitar seminggu menjelang tarikh perhimpunan bersejarah itu.
Hal ini tidak pula bermakna kumpulan cerpen “Namaku Epal Kuning” diterbitkan khusus bagi Bersih 2.0.
Sebaliknya, buku sulung Roslan, penulis penting dari Sarawak ini diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 2010.
Orang ramai – dan ramai orang – pasti tertarik dengan judul buku ini. Lucu, aneh, mudah tetapi mengundang pelbagai reaksi dalam jiwa dan minda.
Begitu juga dengan judul cerpen-cerpen lain dalam buku setebal 328 halaman ini. Antaranya: “Lelaki dalam Tin”, “Perkahwinan di Hujung Runcing Bumbung Zink” dan “Mengapa Saya Dipanggil Sampah”.
Begitu juga judul cerpen “Lelaki Tua Berseluar Pendek”, “Lelaki dengan Sebelah Kepala” dan “Lelaki Cantik Tidak Pernah Berpakaian”.
Walaupun judul cerpen-cerpen ini kedengaran agak lucu tetapi kisah yang terkandung di dalamnya bukan kisah jenaka yang ditujukan kepada golongan kanak-kanak atau kelompok yang menghadapi masalah untuk berfikir.
Selain daripada judul yang unik dan mampu memancing minat pelbagai peringkat pembaca, cerpen-cerpen ini juga memiliki unsur “narrative hook” pada perenggan pertama.
Misalnya, cerpen “Namaku Epal Kuning” bermula begini:
‘Namaku Epal Kuning. Sebelum itu aku merupakan manusia seperti saudara juga. Berfikiran. Sudah tentu saudara tertawa berhadapan imej hodohku ini berbanding ciptaan sempurna Tuhan.’
Cerpen “99 Hari Emak Saya Dinaikkan ke Angkasa” pula dimulakan dengan kata-kata berikut:
‘Saya mati kelmarin dicucuk sebatang lidi. Paha kanan saya jadi lembik bagai sayur rebus. Apabila terbangun dari tilam kekabu keesokan pagi, saya menangis kerana masih hidup seperti sedia kala.’
Roslan memulakan cerpen “Lelaki dengan Sebelah Kepala” dengan pertanyaan ini:
‘Soalan: Bolehkah Bapa Besar meneruskan kehidupan biologi dan kelangsungan politiknya dengan memiliki hanya sebelah kepala?’
Sayang sekali kumpulan cerpen ini tidak disertakan prakata berupa proses kreatif yang boleh membantu pembaca lebih mengenali pemikiran dan proses penulisan pengarang penting ini yang mula terlibat dalam bidang penulisan sastera pada 1990.
Walau bagaimanapun, saya mencadangkan orang ramai membaca cerpen pertama dalam buku ini sebagai ‘prakata’ (proses kreatif).
Manakala cerpen kedua boleh sahaja dibaca sebagai sebuah autobiografi yang sengaja ditulis menggunakan sudut penceritaan orang ketiga.
Tidak setakat itu, untuk mengetahui apa yang dilakukan watak bernama Encik Berus Kapur dalam cerpen “Cerita Tentang Penulis Cerita”, bacalah kisah watak “saya” dalam cerpen “Puan Magnolia”.
Roslan adalah seorang sasterawan yang penuh misteri; semisteri watak-watak dan kejadian yang diangkat dalam cerpen-cerpennya.
Puisi dan cerpen yang dihasilkan penulis bebas ini sering mendapat tempat di Mingguan Malaysia, Utusan Sarawak dan Dewan Sastera.
Cerpen-cerpen Roslan turut menjadi “rebutan” individu yang mengusahakan penerbitan antologi inde (independent) sejak beberapa tahun lalu.
Perkembangan ini membuktikan bahawa pengarang yang mempunyai sikap “resmi padi” ini bukan hanya mampu menghasilkan karya “sastera tinggi”, sebaliknya mampu juga menulis karya yang memenuhi citarasa golongan muda yang tidak mengenal sastera dan apa itu DBP.
Kalau bukan kerana sikap terlalu merendah diri, Roslan tentu sudah lama mencipta nama pada peringkat lebih tinggi. Keistimewaan karya-karyanya menjadi bukti kukuh terhadap kenyataan ini.
Kumpulan cerpen “Namaku Epal Kuning” menjadi saksi akan pandangan saya hasil pemerhatian terhadap karya-karya Roslan sejak 1991.
Pada pandangan SM Zakir, “karya-karya Roslan Jomel mewujudkan kebenaran yang tidak terikat kepada logik ruang dan waktu” manakala Sasterawan Negara Datuk Shahnon Ahmad menegaskan:
“Roslan Jomel bukan sekadar tidak patuh pada konvensi tetapi juga memberontak bagaikan mengisytiharkan revolusi terhadap konvensi.”
Sebagai sasterawan yang lahir dan membesar di Sarawak, pengarang berumur hampir 40 tahun ini ternyata tidak terikat (baca: terkongkong) dengan pemikiran “ethnocentric” yang sering menjadi pegangan (serta hambatan) sekelompok penulis di Semenanjung Malaysia.
Roslan juga kini sedang dalam proses menerbitkan sendiri kumpulan cerpen kedua berjudul “Semenanjung Borneo” dan saya percaya kelahiran buku itu nanti mampu membuatkan pihak tertentu tidak senang duduk.
Kumpulan cerpen “Namaku Epal Kuning” diusahakan DBP cawangan Sarawak dan dicetak Dawama Sdn Bhd. Maklumat ini penting dan perlu saya nyatakan kerana orang ramai mungkin (ulang: mungkin) menghadapi masalah menemui buku ini dalam pasaran.
Malah, saya hanya berjaya menemui buku ini di kedai buku DBP pada Ogos 2010 selepas hampir sebulan mencarinya!
Kini dengan realiti “penceraian” DBP-Dawama, tidak diketahui sama ada “Namaku Epal Kuning” turut menjadi mangsa.
Sesungguhnya peminat karya sastera tanah air benar-benar bertuah jika berjaya menemui, memiliki dan menjamah epal istimewa ini.
(Ulasan ini ditulis oleh Uthaya Sankar SB pada 11 Disember 2011 dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 16 Disember 2011. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lanjut.)