18 Sept 2022

Cerita Rakyat Untuk Orang Dewasa

Apabila menyentuh tentang cerita rakyat, secara automatik kita membayangkan kisah tentang raja, puteri, istana, dan binatang yang sesuai bagi kanak-kanak. Kita selalu mengaitkan cerita rakyat dengan kisah dongeng yang ada unsur hiburan, moral, dan pengajaran bagi pembaca di bawah umur 12 tahun.

Sejak tahun 1990-an, saya menulis pelbagai cerpen dan cerita rakyat di majalah seperti Dewan Pelajar yang disasarkan kepada kanak-kanak. Kumpulan cerita rakyat India berjudul Nari! Nari! (1995 dan 2015) serta Munis dengan Harimau (1996) juga disajikan khusus bagi kanak-kanak dan awal remaja.

Memang ada banyak buku cerita bergambar dan berilustrasi mengangkat cerita rakyat dari seluruh dunia untuk bacaan kanak-kanak. Ratusan cerita rakyat khasnya cerita binatang melibatkan watak sang kancil, sang belang, gagak, semut, dan sebagainya di negara kita juga disasarkan kepada kumpulan pembaca berkenaan. Begitulah juga cerita Pak Kaduk, Lebai Malang, Pak Pandir, Si Luncai dan Mat Jenin.

Sejak zaman-berzaman, kita menggunakan cerita rakyat untuk menyampaikan pengajaran dan moral kepada kanak-kanak, sama ada menerusi cerita lisan atau buku cerita. Watak dewasa, kisah perkahwinan, dan cabaran hidup alam orang dewasa akan dipermudahkan dalam usaha memastikan cerita itu sesuai dengan usia pembaca sasaran.

Maka, kita menemui cerita rakyat yang sekadar menyebut sekilas lalu bahawa putera berkahwin dengan puteri yang dicintai. Atau kita menceritakan sepasang suami-isteri ada seorang bayi dan bayi itu membesar menjadi dewasa, tanpa menghuraikan sebarang konflik yang biasanya berlaku dalam realiti kehidupan.

Kalau ada watak ibu meninggal dunia, si bapa mungkin berkahwin semula dan berlakulah kisah ibu tiri yang jahat. Tipa induk (archetype) atau model lazim seperti di atas digunakan sekadar untuk menggerakkan cerita dengan niat menyampaikan pengajaran dan moral kepada kanak-kanak tanpa menitikberatkan isu-isu lain secara mendalam. Jalan cerita dipermudahkan kerana mesej lebih penting daripada plot dan konflik.

Sekiranya difikirkan, cerita rakyat yang kita kenali sebenarnya merupakan kisah orang dewasa dan disasarkan kepada khalayak yang sudah matang dari segi usia dan pemikiran. Hanya melalui peredaran zaman, cerita-cerita itu diubah suai, dipermudahkan, dan diselitkan unsur moral, lalu disasarkan kepada pendengar dan pembaca kanak-kanak.

Saya menyedari perkara ini sewaktu mengusahakan projek buku Vetalam dan Vikramaditya (2020). Cerita berbingkai dalam bahasa Sanskrit yang cukup popular itu berasal daripada kisah dongeng pada kurun kesebelas. Kanak-kanak dan remaja kaum India di negara India dan Malaysia mengenali kisah pengembaraan Vikramaditya menerusi cerita bersiri dalam majalah Ambulimama (Tamil) dan Chandamama (Inggeris) mulai keluaran November 1955.

Jika kita membaca terjemahan Inggeris berjudul Vikram and the Vampire (1870) oleh Richard Francis Burton dan Twenty Two Goblins (1917) oleh Arthur W. Ryder, maka kita dapat melihat dan menyedari betapa kisah-kisah yang diketengahkan itu bukan ditujukan kepada khalayak kanak-kanak. Sebaliknya, kesemua tema, isu, watak, persoalan, dan mesej disasarkan kepada orang dewasa.

Koleksi cerita Panchatantra ada sedikit perbezaan kerana dalam cerita itu sendiri digambarkan bahawa kesemua kisah disampaikan untuk mendidik tiga putera semasa usia kanak-kanak. Munsyi Abdullah pernah terjemahkannya sebagai Hikayat Panca Tanderan (1835). Ada juga versi terjemahan Bahasa Indonesia, Parsi, Arab, Turki, Hebrew, Jerman, Greek, Latin, Sepanyol, Itali, Laos, Thai, dan pelbagai bahasa lain. Saya mendapati Panchatantra memang ditujukan kepada kanak-kanak untuk membantu mereka membesar menjadi individu yang berilmu dan berwibawa.

Kisah Vikramaditya yang saya sebutkan tadi termuat dalam bahagian ke-12 koleksi cerita Kathasaritsagara selenggaraan Somadeva pada kurun ke-11. Saya sedang mengusahakan penceritaan semula kisah-kisah daripada buku itu dalam Bahasa Malaysia untuk pembaca Malaysia. Teks asal terdiri daripada 124 bab (taramga) yang dimasukkan dalam 18 bahagian (lambhaka). Saya hanya memilih cerita dari 26 bab terawal — [maklumat di sini].

Hasil pembacaan teliti, saya mendapati sesungguhnya kisah-kisah dalam Kathasaritsagara disasarkan kepada orang dewasa. Watak, cerita, isu, dan gambaran yang disajikan memang tidak sesuai bagi kanak-kanak. Tentulah versi penceritaan semula dalam pelbagai bahasa di India sudah diubah suai supaya boleh dinikmati oleh kanak-kanak sebagai cerita moral, tetapi cerita asal yang dikumpul oleh Somadeva adalah khusus bagi orang dewasa.

Sekadar contoh, hampir kesemua cerita menampilkan watak orang dewasa yang berdepan pula dengan masalah orang dewasa. Banyak kisah cinta diakhiri dengan perkahwinan tanpa pengetahuan ibu bapa. Dalam budaya tradisional India, memang ada konsep perkahwinan gandharva di mana perkahwinan dianggap sah asalkan dipersetujui pasangan terbabit tanpa memerlukan izin orang lain.

Dalam epik Mahabharata, perkahwinan gandharva disebut sebagai bentuk perkahwinan paling ideal. Tidak hairanlah pasangan Dushyanta-Shakuntala, Krishna-Rukmini, serta Arjuna-Subhadra dalam epik berkenaan berkahwin dengan cara itu.

Satu lagi amalan yang digambarkan dalam Mahabharata dan Kathasaritsagara ialah apabila seorang gadis menyatakan cintanya kepada seorang lelaki bujang atau sudah berkahwin, maka lelaki itu wajib menerima gadis berkenaan sebagai isteri. Hal-hal seperti ini tentulah bukan disasarkan kepada khalayak kanak-kanak, sama ada pada masa dahulu atau masa kini.

Dalam buku Khanda Puranam (2022) yang merupakan penceritaan semula versi asal teks Sanskrit, digambarkan secara terperinci kisah kelahiran watak Murugan yang hanya sesuai bagi pembaca matang dan dewasa. Ada sekurang-kurangnya dua kisah dalam Kathasaritsagara di mana si suami diarah membelah perut isteri dan mengeluarkan janin dari rahim.

Babak ganas seperti ini tentu tidak sesuai bagi bacaan kanak-kanak. Atas sebab itulah juga saya mengingatkan bakal pembaca buku Katha Sarit Sagara yang sedang saya usahakan supaya tidak meminta anak-anak membacanya. Dalam budaya orang Asia, memang ada cerita rakyat yang disasarkan khusus bagi orang dewasa.

[Rencana ini ditulis pada 15 September 2022 dan tersiar di akhbar Utusan Malaysia pada 17 September 2022. © Uthaya Sankar SB. Hubungi Uthaya – klik di sini]