Cerita-cerita yang terkandung dalam Panchatantra dipercayai dikumpulkan pada abad ketiga hingga keempat. Namun, kesemua hampir 87 cerita yang dikumpulkan itu bukan kisah-kisah baru, melainkan adalah cerita-cerita lama yang hanya dikumpulkan dan disusun semula.
Penyusunan buku Panchatantra dipercayai dilakukan oleh seorang guru yang diberi tugas mendidik beberapa putera diraja yang masih muda dan perlu diberi tunjuk-ajar mengenai hal-hal berkaitan cara memerintah sebuah kerajaan, cara memilih kawan sejati, cara melantik para menteri dan ciri-ciri seorang pemerintah.
Teks ini merupakan cerita berbingkai di mana terdapat satu cerita utama; dan di dalamnya terkandung banyak cerita kecil yang lain. Kisah-kisah yang sarat dengan moral dan nilai murni ini masih sesuai sehingga kini.
Watak-watak utama yang digunakan dalam Panchatantra adalah haiwan yang boleh bercakap dan mempunyai ciri-ciri seperti manusia.
Teks asal ditulis dalam Bahasa Sanskrit. Apabila Panchatantra mula tersebar ke seluruh dunia, ia mula pula diterjemahkan ke bahasa-bahasa lain. Malah, banyak juga cerita rakyat Eropah dan Arab adalah saduran daripada cerita-cerita Panchatantra.
[Dapatkan esei lebih lengkap dalam Kumpulan Esei SB]
Nota: Maklumat ini ditulis oleh Uthaya Sankar SB untuk sebuah ensiklopedia pelajar tetapi tidak diketahui sama ada ensiklopedia berkenaan sudah terbit.