[Baca Bahagian 1] [Baca
Bahagian 2] Pertubuhan Sasterawan Kaum
India (Kavyan) turut mengadakan program di Pusat Kebudayaan India (ICC), Brickfields
dengan kerjasama Suruhanjaya Tinggi India. Antaranya ialah “Bengkel
dan Persembahan Drama Pentas Megha Duta” (16 April 2023,
21 Mei 2023, 18 Jun 2023, 1 Julai 2023, 16 Julai 2023, dan 20 Ogos 2023), “Pertemuan
Penulis dan Pembaca Malaysia” (14 Mei 2023), dan “Perbincangan
Meja Bulat Penulis Malaysia” (14 Oktober 2023) melibatkan
peserta pelbagai kaum dan pelbagai bahasa.
Bengkel penulisan Bahasa Malaysia yang dirancang dan dikendalikan
sepenuhnya oleh Kavyan termasuk Bengkel Penulisan Intensif di Taiping
(15-17 Disember 2023), Bengkel Penulisan Intensif di Pinggiran Subang
(2-3 Mac 2024), Bengkel Penulisan Intensif di Putrajaya
(8-9 Jun 2024).
Kavyan turut bekerjasama dengan Persatuan Kebajikan Idayakkani untuk
menganjurkan program “Temasya Bahasa” khusus bagi murid Sekolah Jenis
Kebangsaan Tamil (SJKT). Misalnya, program bagi SJKT di Daerah Larut, Matang dan Selama (11 Mei
2024, 14 Mei 2024, 24 Mei 2024, 4 Jun 2024, 21 jun 2024, 22 Jun 2024, 13 Julai
2024, dan 27 Julai 2024), serta bagi SJKT di Daerah Kerian (16-17 April 2025).
Ada pelbagai lagi aktiviti Kavyan selaras matlamat
yang termaktub dalam Perlembagaan Kavyan. Maka, amat pelik bagaimana timbul
pandangan, salah tanggap, dan persepsi kononnya Kavyan sudah tidak aktif sejak tahun
2020.
Lebih menyedihkan apabila memikirkan bahawa orang ramai yang mengikuti sesi
bual bicara Suara dari Anjung: Tinta
Sastera Menelusuri Ensiklopedia – secara langsung atau menerusi media
sosial DBP – mendapat gambaran salah tentang Kavyan dan Sasterawan Kavyan.
Tambahan pula, Krishanan Maniam berkata: “Mereka [Kavyan]
tidak aktif seperti sebelum Covid.”
Mujurlah Krishnan Maniam juga berkata: “Mereka [Sasterawan Kavyan] masih tidak keluar.
Itu yang menggembirakan kita. Tidak keluar daripada penulisan. Juga tidak
keluar daripada bertemu dengan sasterawan Melayu.”
Moderator turut bertanya: “Apakah saranan dan harapan Dr. Krishanan dalam
mengajak dan menyeru masyarakat India
dalam keterlibatan dalam penghasilan karya sastera, khususnya dalam
penulisan ensiklopedia?”
“Kalau kita meneliti penglibatan masyarakat India, ianya boleh dibuat
segmen-segmen. Satunya ialah menulis dalam bahasa Tamil itu sendiri
dan satu lagi, menulis dalam bahasa Melayu,” katanya.
Menurut Krishanan Maniam, jika mahu menghasilkan ensiklopedia, penulis
kaum India yang menghasilkan karya bahasa Tamil juga perlu diambil kira.
“Sampai sekarang, kita tidak ada satu dokumentasi yang penuh ataupun
satu dokumentasi yang rasmi untuk masyarakat India yang terlibat dalam penulisan
sastera. Ramai juga yang sudah meninggal dunia dan sebagainya,” beliau
menjelaskan.
Khusus mengenai penglibatan kaum India dalam penulisan karya Bahasa
Malaysia dan Sastera Kebangsaan, Krishanan Maniam menegaskan: “Kita kena buat
banyak penyelidikan. Penyelidikan awal
ini boleh dikatakan sangat terhad.”
“Macam sekarang pula, ada generasi baharu yang terlibat itu pun, kita tidak ada rekod. Mungkin Cik Nor [moderator]
tadi sebut tentang Kavyan; mungkin lepas
ni orang tak sebut tentang Kavyan pun. Kita tak tahu bahawa mereka [Sasterawan
Kavyan] ada menghasilkan (karya) dan sebagainya. Dengan itu, sangat pentinglah untuk membuat satu
ensiklopedia untuk orang-orang begini,” ujarnya dengan penuh harapan.
Sementara itu, sesiapa yang mahu mendapatkan maklumat tepat, sahih, dan
menyeluruh mengenai penglibatan kaum India – termasuk penulis Tamil, Jawi
Peranakan, dan Sasterawan Kavyan – dalam perkembangan Sastera Kebangsaan,
jangan lupa memiliki buku Kavya Sastra (2021) iaitu dokumentasi paling
lengkap setakat ini.
Orang ramai boleh melayari Blog Kavyan atau Portal Sastera Kavyan atau Blog Uthaya
dari semasa ke semasa untuk mendapatkan pelbagai maklumat berkaitan. Boleh juga
menghubungi e-mel uthayasb@gmail.com
atau WhatsApp 011-11411952 (Uthaya) jika masih tertanya-tanya tentang Kavyan dan
Sasterawan Kavyan serta sumbangan kepada perkembangan Sastera Kebangsaan.
[Uthaya
Sankar SB terlibat dalam bidang penulisan sejak tahun 1991. Anugerah
yang diterima termasuk Hadiah Cerpen Maybank-DBP (1992, 1993, 1996),
Hadiah Sastera Utusan-Public Bank (1993), Hadiah Cerpen Esso-Gapena (1996), Hadiah
Sastera Perdana Malaysia (1996/97, 1998/99), Anugerah Duta Keamanan (2008), dan Anugerah Tokoh Saraswati (2023).
Beliau sudah menghasilkan lebih daripada 30 buah buku. Baca biodata penuh]