Menurut kenyataan Persatuan Penulis-penulis Tamil Malaysia, ada sekurang-kurangnya 1,000 penulis Tamil sepenuh masa di Malaysia. Ribuan lagi individu kaum India dikatakan menulis “cerpen, novel, puisi, sajak, pantun, penulisan drama dan skrip dan lain-lain lagi” secara sambilan dari semasa ke semasa (Bernama, 29 April 2013).
Jumlah
ahli persatuan itu yang diasaskan pada 1963 berjumlah minimum 1,500 orang. Laporan
Bernama turut memetik kenyataan Datuk
Seri Najib Razak (perdana menteri waktu itu) yang meminta Institut Terjemahan
dan Buku Malaysia (ITBM) “membantu penerbitan lebih banyak karya Tamil supaya
khazanah budaya dan kesusasteraan Tamil dipelihara untuk generasi akan datang”.
Pada
tahun 1972, mesyuarat agung persatuan penulis Tamil itu meluluskan usul untuk
menjadi anggota kerabat Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena). Para
penulis Tamil berjanji akan turut menulis karya bahasa kebangsaan untuk
memperkaya khazanah Sastera Kebangsaan
dengan memaparkan budaya kaum India tempatan.
Walau bagaimanapun,
impian bergabung dengan Gapena dibatalkan apabila majoriti ahli (penulis Tamil)
tampil menyatakan bantahan sesudah cadangan awal itu mendapat liputan dan
sokongan pelbagai media. Mereka tidak mahu berkompromi dalam soal
memperjuangkan bahasa Tamil sebagai medium tunggal bagi penulisan mereka (Mingguan Malaysia,
12 Mei 2019).
Gambaran
ringkas ini boleh sedikit sebanyak menjawab persoalan mengapa sehingga kini
tidak ramai penulis karya Tamil turut terlibat dalam menghasilkan karya Bahasa
Malaysia. Keputusan ahli persatuan itu pada 1972 memang menyedihkan, apatah
lagi kesan daripada tindakan berkenaan masih terasa sehingga kini.
Kelompok
Sasterawan Kavyan
merujuk kepada penulis kaum India yang menghasilkan karya secara langsung dalam
bahasa kebangsaan. Dalam kalangan mereka, ada juga yang menghasilkan karya
bahasa Inggeris dan Tamil. Huraian terperinci terdapat dalam tesis sarjana sastera
saya yang sudah terbit sebagai buku berjudul Kavya Sastra
(2021).
Dalam
kalangan penulis karya Tamil tempatan, M. Mahendran
@ M. Prabhu amat unik kerana sejak tahun 1980-an, beliau menghasilkan karya
bahasa Malaysia dan Tamil secara konsisten. Memanglah ada karya penulis Tamil
diterjemah oleh orang lain, tetapi Mahendran agak istimewa kerana menguasai
kedua-dua bahasa.
Saya
mengenali penulis kelahiran Bentong, Pahang ini sejak awal 1990-an dan
berbangga menyaksikan sendiri setiap pencapaian beliau. Cerpen beliau tersiar
di beberapa akhbar dan majalah kedua-dua bahasa. Mahendran yang muncul dalam
sastera kebangsaan menerusi Hadiah Cerpen Malayan Banking-DBP 1988 berjaya
menerbitkan kumpulan cerpen sulung berjudul Karupaya
pada 2018.
Beliau
seorang penulis yang gigih dan sentiasa bersedia untuk belajar tanpa rasa segan
atau angkuh. Misalnya, selepas mencuba hampir 30 tahun, beliau berjaya
menghasilkan cerpen, sajak dan skrip drama yang layak tersiar di majalah Dewan Sastera. [Contoh:
Demi Revathy Kutti]
Beliau juga rajin menyertai bengkel penulisan (bersemuka dan dalam talian)
anjuran Kumpulan Sasterawan Kavyan. Pasti sahaja semangat dan kegigihan
Mahendran wajar dijadikan contoh oleh penulis muda pelbagai kaum.
Pada awal bulan September 2021, beliau muncul pula dengan kumpulan cerpen Tamil sulung berjudul Thalaivar (“Ketua” atau “Pemimpin”). Buku ini memuatkan 14 cerpen yang mengetengahkan pelbagai tema dengan gaya penulisan unik yang dimiliki Mahendran. Kebanyakan cerpen ini pernah tersiar di akhbar dan majalah Tamil sebelum disaring dan dipilih untuk dibukukan.
Jika
kita berpeluang membaca Karupaya
(2018) dan Thalaivar (2021), kita
akan mendapati ada beberapa cerpen yang hadir dalam kedua-dua bahasa. Ada
cerpen yang pada asalnya ditulis dan tersiar di media Tamil sebelum ditulis
semula oleh Mahendran dalam versi Bahasa Malaysia. Begitulah juga sebaliknya;
daripada bahasa kebangsaan kepada Tamil.
Mahendran
ternyata memahami cara menulis dan menyajikan karya (cerpen) kepada dua
kelompok yang berbeza, iaitu khalayak umum penggemar sastera kebangsaan dan
khalayak khusus pembaca karya Tamil. Beliau secara penuh sedar melakukan
pengubahsuaian apabila mengolah semula cerpen yang sama dalam satu lagi bahasa.
Sepertimana
kita sedia maklum, karya sastera kebangsaan merujuk kepada karya dalam bahasa
kebangsaan. Hal ini sudah disepakati dan dipersetujui sejak berlangsungnya
Kongres Kebudayaan Kebangsaan di Universiti Malaya pada 1971. Sekiranya karya
bahasa vernakular diterjemah sendiri oleh penulis asal kepada bahasa
kebangsaan, maka diterima sebagai sastera kebangsaan.
Pembaca
pelbagai kaum dan latar budaya memang amat mengharapkan kehadiran penulis yang
mampu mengangkat dan menggambarkan realiti budaya komunitinya dalam karya
sastera kebangsaan. Jalan alternatif adalah kerja-kerja terjemahan.
Daripada
pengalaman saya, antologi Seruling di
Persimpangan (1999) berjaya diterbitkan dengan
kerjasama mendiang M. Balachandran. Ia memuatkan cerpen oleh beberapa penulis
Tamil tempatan yang dipilih khusus untuk disajikan kepada pembaca pelbagai kaum
di Malaysia.
Mahendran
sendiri pernah menterjemah sejumlah cerpen oleh penulis Tamil veteran, mendiang
M. Ramaiah, dan terbit dengan judul Mimpi
dan Impian (2013). Projek ITBM yang disarankan oleh Najib pula tidak
diketahui perkembangannya.
Apabila
saya meneliti cerpen dan novel Tamil tempatan, memang ada karya bermutu yang
wajar diterjemah supaya dapat dinikmati orang ramai. Pada masa sama, lebih
menarik sekiranya penulis itu sendiri cuba melakukan terjemahan (atau olahan
semula) dalam bahasa kebangsaan.
Saya
menggalakkan usaha sedemikian atas dua sebab utama. Pertama, penulis dapat
memastikan versi terjemahan itu masih memiliki “roh dan jiwa” seperti karya
asal. Kedua, karya terjemahan itu dapat diterima sebagai sastera kebangsaan.
Mungkin
penulis Tamil yang berminat boleh “belajar” daripada Mahendran. Beliau bukan
sahaja penulis veteran yang masih aktif dan prolifik, malah sudah membuktikan
diri menerusi Karupaya dan Thalaivar.