Lama sebelum berpeluang membaca teks Sejarah Melayu, semasa kanak-kanak, saya amat teruja membaca kisah Raja Suran yang masuk ke dalam laut. Saya membayangkan bagaimana raja itu menggunakan peti kaca dan kemudian boleh pula bernafas dalam air.
Kemudian,
sebagai anak kelahiran negeri Perak, saya berasa bangga kerana kisah yang terkandung
dalam Sejarah Melayu ada kaitan
secara langsung dengan keturunan sultan di negeri asal saya. Alat-alat
kebesaran yang dibawa oleh Raja Muzaffar Shah apabila dinobatkan sebagai Sultan
Perak yang pertama boleh dibaca dalam buku teks Sejarah Tingkatan 2.
Semakin
saya membaca kisah jurai keturunan Raja Suran dan kisah regalia kesultanan
Perak menerusi kajian perpustakaan, semakin banyak yang mahu diketahui. Pada
masa sama, ada perkara yang nampaknya sudah tidak diperkatakan lagi walaupun ia
amat penting dan signifikan.
Hasil
perkahwinan Raja Suran dengan puteri di dasar laut, lahirlah tiga putera. Nama-nama
mereka ada perbezaan mengikut versi Sejarah
Melayu yang dibaca. Secara umum, mereka ialah Bicitram (Sri Nila Pahlawan, Sang
Sapurba), Sri Krishna Pandita (Sang Maniaka) dan Sri Nila Utama (Nilatanam).
Mereka bertiga keluar dari dasar laut dan mendarat di Bukit Siguntang Mahameru,
Palembang.
Kita
tentu ingat kisah Wan Empuk dan Wan Malini yang mula-mula melihat ketiga-tiga
putera itu. Sang Sapurba menunggang seekor lembu putih. Apabila lembu sakti itu
muntah, dari buih muntah itu keluarlah Bhat (Batala) yang menabalkan Sang
Sapurba sebagai raja.
Episod
berkenaan melibatkan upacara khas membaca mantera dalam bahasa Sanskrit. Dalam Sejarah Melayu yang saya pernah baca,
mantera atau kata-kata diucapkan Bhat tidak ditemukan. Akan tetapi, sekiranya
kita rajin melakukan kajian dan bacaan, akan ditemui dari pelbagai sumber. — Rencana penuh boleh dibaca dalam Suvarna Bhumi.