Sepuluh Perintah Tuhan (Ten Commandments) atau Dekalog (Decalogue) merupakan antara elemen asas dalam ajaran agama-agama Abrahamik, terutamanya dalam agama Yahudi (Judaism) dan Kristian. Perintah-perintah ini dianggap sebagai pedoman moral yang diberikan oleh Tuhan (bukan Allah) kepada umat manusia, khususnya penduduk Israel, demi mengatur hubungan manusia dengan Tuhan dan sesama manusia.
Dalam kitab Exodus, diperjelaskan bagaimana perintah Dekalog disampaikan kepada Moses oleh Tuhan di atas Gunung Sinai. Namun, apabila saya sebagai pengamal multifaith (kecuali islam) meneliti tafsiran dan penafsiran terhadap Sepuluh Perintah Tuhan, saya mendapati ada pelbagai perbezaan yang timbul dalam pelbagai tradisi keagamaan.
Isu ini menjadi lebih kompleks apabila saya mengambil kira pula tafsiran yang berbeza dalam konteks teks kuno, sejarah agama, dan pengaruh budaya. Saya cuba meneliti, mengkaji, dan menganalisis secara ringkas kontroversi mengenai Sepuluh Perintah Tuhan dari sudut pandangan multifaith, dengan memberi perhatian khusus kepada hujah-hujah yang dibangkitkan oleh pihak Yahudi dan Kristian, sambil memberikan sokongan terhadap tafsiran mereka dengan bukti dan hujah yang berasas.
Untuk berlaku adil, saya mengakui hakikat bahawa Sepuluh Perintah Tuhan yang diterima dalam agama-agama Abrahamik mungkin kelihatan serupa dari segi isi kandungan, tetapi terdapat perbezaan dalam cara ia disusun dan ditafsirkan.
Dalam tradisi Yahudi, misalnya, Sepuluh Perintah Tuhan tercatat dalam Exodus dan Deuteronomy. Walau bagaimanapun, dalam tradisi Kristian, terdapat perbezaan dalam pembahagian dan pengelompokan perintah-perintah tersebut, yang sekali gus mempengaruhi cara Dekalog dipersembahkan dalam berbagai denominasi Kristian.
Sebagai contoh, dalam tradisi Yahudi, Sepuluh Perintah Tuhan dibahagikan kepada dua bahagian utama: Pertama, berkaitan kewajipan manusia terhadap Tuhan. Kedua, berkaitan kewajipan sesama manusia. Apabila saya meneliti kitab berkaitan, kelihatan pembahagian yang cukup jelas dan mudah difahami dalam ajaran Yahudi.
Namun,
dalam tradisi Kristian, terdapat pengelompokan yang sedikit berbeza. Misalnya,
beberapa perintah yang berkaitan dengan hubungan manusia dengan Tuhan digabungkan
sebagai satu perintah (commandment),
sementara perintah berkaitan etika sosial, seperti tidak membunuh, tidak
mencuri, dan tidak berbohong, dikelompokkan pula dalam satu kategori yang lebih
besar.
Dari sudut pandangan Israel (Yahudi), Sepuluh Perintah Tuhan dianggap sebagai asas kepada undang-undang moral yang diberikan oleh Tuhan kepada umat Israel. Dalam konteks ini, perintah-perintah tersebut bukan hanya sebuah arahan agama, tetapi juga menjadi asas kepada pembentukan masyarakat dan undang-undang yang adil.
Salah satu hujah utama orang Yahudi yang saya temui menerusi pembacaan adalah bahawa Sepuluh Perintah Tuhan yang terkandung dalam Exodus dan Deuteronomy diturunkan dalam konteks sejarah yang sangat spesifik, iaitu semasa umat Yahudi-Israel sedang dalam perjalanan mereka ke Tanah Dijanjikan (Promised Land).
Oleh itu, dalam tradisi Israel-Yahudi, perintah-perintah berkenaan dilihat bukan hanya sebagai panduan rohani, tetapi juga sebagai wahana untuk membentuk masyarakat yang teratur dan beradab.
Dalam tradisi Kristian pula, Sepuluh Perintah Tuhan diterima sebagai panduan moral yang tetap, tetapi dengan penekanan yang lebih diberi kepada aspek penyelamatan rohani.
Sepuluh Perintah Tuhan bukan sekadar undang-undang tetapi juga merupakan cermin yang mendedahkan kelemahan manusia dan perlunya penyelamatan melalui keimanan yang tidak berbelah bagi kepada Jesus. Dalam konteks ini, agama Kristian melihat perintah-perintah Dekalog sebagai satu cara untuk memahami dosa (sin) dan keperluan manusia untuk melalui proses penebusan (redemption).
Pada penelitian saya sebagai seorang pengamal multifaith, walaupun terdapat perbezaan dalam penekanan dan tafsiran, kedua-dua tradisi ini, baik Yahudi mahupun Kristian, melihat Sepuluh Perintah Tuhan sebagai asas moral yang tidak hanya relevan pada zaman Moses dan Jesus, tetapi juga penting untuk kehidupan pada masa kini.
Kedua-duanya menekankan bahawa Sepuluh Perintah Tuhan bersifat universal (bukan eksklusif untuk puak tertentu) dan tetap relevan bagi semua umat manusia pada hari ini, walaupun tentu sahaja tafsiran dan aplikasi secara praktikal mungkin mengalami perubahan mengikut konteks semasa.
Untuk berlaku adil, saya turut membandingkan konsep Sepuluh Perintah Tuhan dalam ajaran Yahudi dan Kristian dengan ajaran lain yang muncul lama kemudian.
Dalam
tradisi ajaran baharu itu, walaupun tidak ada pengajaran khusus yang menyebut
Sepuluh Perintah Tuhan dalam bentuk yang sama seperti dalam agama Yahudi atau
Kristian, banyak daripada perintah-perintah (commandments) tersebut diakui sebagai sebahagian daripada ajaran agama
baharu itu.
Sebagai contoh, larangan terhadap membunuh, mencuri, berbohong, dan mengingkari Tuhan adalah prinsip-prinsip yang sangat jelas dalam kitab agama baharu iu. Walaupun tiada penerangan yang khusus terhadap Sepuluh Perintah Tuhan dalam agama baharu itu, prinsip-prinsip moral yang terkandung dalam Dekalog agama Yahudi dan Kristian dinyatakan sebagai nilai-nilai yang diterima dalam ajaran agama baharu itu.
Namun, tentu sahaja pematuhan kepada perintah Tuhan tidak seharusnya hanya dilihat sebagai kewajipan moral, tetapi juga sebagai sebahagian daripada hubungan spiritual atau kerohanian antara umat manusia (atma) dan Tuhan (Paramatma) sebagaimana dihuraikan dalam Sanatana Dharma (Hinduisme).
Oleh itu, dalam konteks multifaith, saya melihat bahawa walaupun terdapat perbezaan dalam cara perintah-perintah Dekalog atau Sepuluh Perintah Tuhan disampaikan, prinsip asas tentang kebaikan, keadilan, dan ketaatan kepada Tuhan adalah serupa; malah ada persamaan dengan ajaran Hindu selaku agama tauhid yang pertama dan tertua di dunia.
Dalam membandingkan tafsiran Sepuluh Perintah Tuhan dalam tradisi Yahudi dan Kristian, saya mendapati memang ada perbezaan dari aspek pengelompokan dan pelaksanaan. Namun demikian, nilai-nilai asas yang terkandung dalam perintah-perintah tersebut adalah sangat serupa dan senada.
Ajaran Yahudi dan Kristian sama-sama menekankan pentingnya hubungan manusia dengan Tuhan, serta keperluan untuk hidup dalam masyarakat yang adil dan harmoni. Kedua-duanya tidak mengajar penganut dan pengikut menzalimi, memusuhi, membunuh, dan menghapuskan orang yang tidak “masuk” agama berkenaan.
Dalam konteks multifaith, saya melihat bahawa prinsip-prinsip moral yang terkandung dalam Sepuluh Perintah Tuhan bukan sahaja relevan untuk umat Yahudi dan Kristian, tetapi juga untuk umat manusia secara keseluruhan.
Misalnya,
perintah supaya hidup dengan penuh integriti, keadilan, dan kasih sayang sesama
manusia. Semua ini melangkaui sempadan agama dan budaya; walaupun mungkin tidak
boleh diterima puak tertentu yang menganut ajaran kultus tertentu yang mewajibkan
penganut agama-agama lain dibunuh.
Walaupun ada perbezaan dalam cara pentafsiran dilakukan oleh umat Yahudi dan Kristian, pada penelitian saya, kebenaran (truth, dharma) yang terkandung dalam Sepuluh Perintah Tuhan tetap menyatukan umat manusia dalam pencarian hidup yang lebih baik dan lebih bermakna.
Sebagai
seorang pengamal multifaith (kecuali
islam) yang berfikiran liberal dan terbuka, saya percaya bahawa sikap
menghormati perbezaan tafsiran yang wujud dalam tradisi Yahudi dan Kristian
masih boleh membimbing kita (umat Bukan Islam) mencapai pemahaman yang lebih
mendalam tentang nilai-nilai sepunya yang mampu mendorong kita menjadi manusia
yang lebih baik dalam kehidupan dunia yang semakin kompleks.
[Uthaya Sankar SB lahir di Taiping, Perak. Beliau
mendapat pendidikan di SRK Convent Aulong, SM Darul Ridwan, dan SM King Edward
VII, Taiping sebelum mengikuti pengajian sarjana muda dan sarjana sastera di Universiti
Malaya. Baca biodata penuh di sini.]