Buku The Devil’s Rebellion and the Reason Why (1910) karya Charles Fremont May memberikan pandangan yang menarik dan kontroversial mengenai peranan Iblis dalam naratif agama dan budaya Barat. Buku ini yang mencabar minda sesuai bagi pembaca Bukan Islam yang gemar menimba ilmu.
Dalam buku ini, Charles cuba menonjolkan peranan Iblis – The Devil – sebagai simbol pemberontakan terhadap struktur kekuasaan yang didorong oleh agama dan norma sosial. Pandangan itu pasti mengubah perspektif yang sering disumbat ke dalam minda pengikut agama tertentu.
Sebagai seorang pengamal multifaith (Bukan Islam) yang berfikiran liberal dan sekular, analisis saya terhadap buku ini bukan sahaja untuk merenung secara lebih mendalam tentang tema pemberontakan terhadap kuasawan agama, tetapi juga membandingkannya dengan perspektif yang ada dalam budaya India dan ajaran agama Hindu yang lebih inklusif dan penuh dengan unsur pluralisme.
Charles dengan jelas meletakkan “Iblis” bukan sebagai entiti yang harus dipandang dengan penuh kebencian atau ketakutan, tetapi sebagai simbol pembebasan. Dalam banyak tradisi agama Barat, Iblis sering dianggap sebagai pemberontak yang menentang Tuhan (bukan Allah).
Iblis sentiasa digambarkan sebagai entiti yang harus dihancurkan dan dilawan. Namun, melalui The Devil’s Rebellion and the Reason Why, Charles mencabar pandangan tersebut; menyarankan bahawa pemberontakan itu mungkin wajar, bahkan sangat perlu dan wajar demi menentang sistem kuasawan yang tidak adil.
Sebagai pengamal multifaith, saya melihat pendekatan Charles terhadap konsep Iblis sebagai satu bentuk kritikan berani terhadap pemikiran dogmatik yang kaku. Dalam budaya Barat, terutama yang dipengaruhi ajaran Kristian, Iblis adalah musuh utama yang melawan Tuhan (bukan Allah).
Manakala, dalam konteks Hindu, tiada satu entiti yang dilihat sebagai penghalang tunggal bagi kebaikan atau kesucian. Konsep dosa dan pahala dalam ajaran Sanatana Dharma (Hinduisme) lebih fleksibel dan plural, serta tidak ada satu kuasa jahat yang mutlak.
Sebaliknya, ajaran Hindu menekankan pada keseimbangan antara kebaikan dan kejahatan, dan sering kali menyoroti perjalanan jiwa untuk mencapai kesempurnaan rohani melalui pengendalian diri dan kesedaran yang lebih tinggi. Jika mahu mendalami konsep ini, sudilah membaca buku Ramayana dan Mahabharata (2019), Bhagavad Gita (2021), dan Khanda Puranam (2022) dalam Bahasa Malaysia.
Dalam banyak cerita epik dan purana Hindu, kita menemui contoh pemberontakan terhadap kekuasaan yang dianggap tidak adil. Contohnya, dalam Mahabharata, kita melihat tokoh seperti Karna yang sering kali dianggap sebagai seorang pahlawan tragis yang terperangkap dalam permainan kekuasaan dan keadilan.
Watak Karna, walaupun berperang di pihak Kaurava yang dianggap salah, tetap dipuji dan dipuja ramai kerana dia melawan sistem yang mengekang potensi peribadinya. Kisah Karna menunjukkan bagaimana pemberontakan terhadap norma sosial dan agama boleh dilihat dari sudut yang lebih kompleks dan multidimensional.
Di sisi lain, Ramayana menampilkan watak-watak yang melawan kekuasaan yang tidak adil. Misalnya, Hanuman yang berjuang untuk menyelamatkan Sita daripada Ravana. Namun, Hanuman tidak pernah dilihat sebagai jahat meskipun dia berperang melawan seseorang yang juga mempunyai kekuasaan besar.
Dalam konteks ini, Hinduisme sebagai agama tauhid yang pertama dan tertua di dunia mengajarkan bahawa pemberontakan yang dilakukan dengan niat yang suci dan demi kebaikan sejati tidak hanya diterima, tetapi diberkati.
Dalam ajaran Hindu, dewa-dewi sering kali tidak dilihat sebagai entiti mutlak yang perlu disembah tanpa soal. Sebaliknya, mereka adalah simbol kesedaran yang lebih tinggi; manusia boleh berhubung dan berinteraksi dengan mereka melalui pengabdian dan pemahaman yang mendalam.
Konsep yang terdapat dalam Hinduisme mungkin berbeza dengan pandangan dalam banyak tradisi Barat, di mana Tuhan dan Iblis adalah dua kuasa yang sangat bertentangan dan mustahil untuk disatukan. Walaupun Iblis dikatakan dicipta oleh Tuhan, apabila kitab suci agama-agama tertentu diteliti, kedudukan Iblis kemudian menjadi setara Tuhan — Tuhan dan Iblis sama-sama berebut untuk menjadikan manusia setia hanya kepada salah satu entiti (Tuhan atau Iblis)
Bagi seorang pengamal multifaith berfikiran liberal seperti saya, karya Charles membuka ruang bagi perbincangan yang lebih luas tentang peranan kekuasaan dalam agama dan bagaimana ia memberi kesan kepada konsep hak dan kebebasan individu; bukan hanya dalam persekitaran agama, tetapi juga dalam politik, sosial, ekonomi, dan organisasi.
Pemberontakan yang disarankan oleh
Charles terhadap struktur agama yang kaku dan tidak adil sesungguhnya saya
lihat sebagai suatu bentuk kebebasan beragama yang positif dan progresif.
Sebagai contoh, dalam ajaran Hinduisme yang lebih inklusif, kita diajarkan untuk melihat Tuhan dalam segala bentuk, baik dalam diri kita sendiri, dalam alam semesta, dan dalam orang lain. Hal ini berbeza dengan pandangan Barat yang sering memisahkan hal yang baik dan hal yang jahat, serta menganggap bahawa pemberontakan terhadap Tuhan adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.
Namun, dalam konteks ajaran Hindu yang memperakukan kuasa minda dan kemampuan berfikir manusia, pemberontakan seperti yang digambarkan dalam The Devil’s Rebellion and the Reason Why mungkin lebih sesuai apabila ia mengarah kepada pencarian pengetahuan diri dan kesedaran universal.
Dalam Bhagavad Gita, misalnya, Krishna mengajarkan Arjuna untuk berdiri teguh dengan prinsip dharma – kebenaran dan keadilan. Di sini, keadilan bukan hanya tentang ketaatan kepada peraturan atau agama tertentu, tetapi juga tentang memahami perkara yang lebih mendalam tentang kehidupan dan peranan individu dalam dunia ini.
Pemberontakan Arjuna terhadap situasi ketidakadilan dalam Mahabharata adalah suatu bentuk pemberontakan yang didorong oleh pencarian keadilan sejati. Krishna sendiri (yang mewakili Vishnu/Tuhan) menggalakkannya berbuat demikian.
Buku The Devil’s Rebellion and the Reason Why memaparkan sebuah pandangan yang lebih kritis terhadap ajaran agama yang sering kali memanipulasi pengikut untuk kepentingan pihak berkuasa; dan kemudian pula oleh para penunggang agama dan puak politikus yang licik memanipulasi agama untuk kepentingan nafsu peribadi.
Dalam tradisi Hindu pula, tidak ada pandangan yang mutlak atau dogmatik mengenai ajaran agama. Sebaliknya, ajaran agama tauhid yang pertama dan tertua ini lebih menekankan pada pengalaman individu untuk mencapai pencerahan melalui meditasi, pengabdian, dan penghayatan terhadap dharma (kebenaran dan kewajiban).
Dalam konteks ini, pemberontakan penganut Hindu terhadap mana-mana konsep dan ajaran yang menindas serta tidak adil adalah sesuatu yang dilihat dan diraikan sebagai perjalanan rohani yang sah; selaras usaha membantu atma (roh) kembali bersatu dengan Paramatma (Tuhan).
Namun, dalam masyarakat moden yang pelbagai agama dan kepercayaan, analisis terhadap agama dan kuasa harus dilakukan dengan bijak. Tambahan pula jika kita hidup dikelilingi kelompok kurang bijak yang berfikiran sempit serta tidak sebenarnya memahami dan menghayati ajaran sebenar daripada Tuhan.
Sesungguhnya, pemberontakan yang dipandu oleh kebencian dan pemusnahan tidak akan membawa kepada penyelesaian yang membina. Sebaliknya, pemberontakan yang didorong oleh pencarian kebenaran dan kebebasan berfikir adalah sesuatu yang perlu dihargai, sama ada dalam konteks agama Hindu, atau dalam ajaran-ajaran lain yang lebih progresif. Tetapi tentulah saya tidak mengharapkan apa-apa daripada golongan tertentu yang terlalu cetek agama dan beku otak, walaupun kuat pula menjerit dan melalak seolah-olah merekalah wakil sah Tuhan di muka Bumi.
Buku The Devil’s Rebellion and the Reason Why oleh Charles adalah sebuah karya intelek yang mengundang pemikiran kritis terhadap struktur agama dan kekuasaan yang sering kali menindas penganut agama itu sendiri serta golongan yang tidak tunduk kepada agama berkenaan.
Melalui pembacaan buku setebal hampir 240 halaman, saya yang “meninggalkan” islam pada 12 April 2022 merasakan seolah-olah berpeluang diingatkan semula tentang pentingnya kebebasan beragama dan hak untuk mempersoalkan serta membahaskan dogma atau sistem kepercayaan yang menjadi ikutan zaman-berzaman—khususnya dogma yang dipatuhi secara membabi buta walau disedari ada kepincangan dan manipulasi ketara oleh puak penunggang agama.
Dalam konteks budaya India dan ajaran Hindu pula, saya dapat sekali lagi melihat bagaimana pemberontakan terhadap ketidakadilan atau ketidakbenaran bukan sahaja diterima, tetapi juga dihargai dalam kerangka agama tauhid yang pertama dan tertua ini, asalkan kritikan dan bantahan dilakukan dengan niat suci dan untuk kebaikan bersama umat manusia. Dalam konteks ini, anda boleh juga membaca beberapa tulisan saya berkaitan Guruji dan Guluji, misalnya “Guruji dari Jaisalmeer” serta “Raman dan Kultus Guruji”.
Sebagai pengamal multifaith yang berfikiran terbuka, saya yakin bahawa orang ramai harus terus menggali kebenaran (truth) dalam setiap ajaran dan melihat pemberontakan bukan sebagai sesuatu yang negatif, sebaliknya sebagai suatu bentuk pencarian kebebasan dan keadilan yang sejati.
Buku The Devil’s Rebellion and the Reason Why mengajak pembaca Bukan
Islam untuk mempertimbangkan hakikat bahawa dalam dunia yang semakin kompleks
ini, pencarian kebenaran (truth, dharma) tidak hanya terbatas kepada satu
agama atau satu pandangan dunia, tetapi adalah sebuah perjalanan bukan sehala yang
melibatkan banyak suara dan perspektif yang perlu didengar dengan minda
terbuka.
[Uthaya Sankar SB lahir di Taiping, Perak. Beliau
mendapat pendidikan di SRK Convent Aulong, SM Darul Ridwan, dan SM King Edward
VII, Taiping sebelum mengikuti pengajian sarjana muda dan sarjana sastera di Universiti
Malaya. Baca biodata penuh di sini.]