Dua susuk berpakaian pengantin yang sudah lusuh berdiri di bawah cahaya bulan diselubungi kabus tipis. Di tangan mereka, ada cincin emas yang bersinar samar.
Mereka berpegangan tangan, tidak ada kata-kata yang keluar, hanya pandangan kasih penuh makna.
Angin malam menerpa wajah mereka; membawa bau tanah basah yang segar. Tetapi dalam hati pasangan itu, ada sesuatu yang jauh lebih berat daripada apa yang dapat ditanggung oleh tubuh mereka.
“Apakah kita benar-benar akan melakukannya, Maya?” tanya si lelaki, suaranya hampir tenggelam dalam keheningan malam.
Maya, wanita yang berdiri di sebelah, menatap mata kekasihnya dengan penuh kepercayaan.
“Sudah lama kita menunggu saat ini. Cinta kita adalah abadi. Tidak ada sesiapa atau apa-apa yang boleh memisahkan kita.”
Kedua-duanya saling berpandangan. Mereka tahu, pada malam ini, mereka akan mengakhiri segala-galanya. Akhirnya, mereka akan bersatu dalam cara yang paling tragis—cara yang tidak dapat difahami oleh kaum keluarga dan masyarakat.
Namun begitu, dalam hati mereka berdua, ada satu perasaan yang bergelora; perasaan yang lebih besar daripada cinta itu sendiri. Perasaan yang membawa mereka menuju keputusan yang tidak dapat diputar kembali.
Pil yang ditelan sudah mula menunjukkan kesan.
Beberapa tahun lalu, di sebuah kota kecil, Maya dan Arjuna bertemu di sebuah majlis perkahwinan. Maya seorang gadis muda yang cantik, cerdas, dan penuh semangat.
Arjuna pula seorang pemuda yang nampak biasa saja pada pandangan mata, tetapi ada sesuatu yang menarik dalam tatapan matanya. Ada sesuatu yang penuh misteri, seperti ada sesuatu yang tidak ingin dia ungkapkan.
Arjuna berkulit coklat seperti buah bambangan kegemaran Maya. Buah daripada keluarga kuinin itu isinya kuning keemasan; seperti kemuliaan hati Arjuna pada pandangan Maya. Kadang-kadang, dia keras kepala; sebagaimana kulit keras dan tebal buah bambangan perlu dikopek seperti mengopek kelapa tua.
Mereka sering berbicara dalam diam; bermesra dalam keheningan yang penuh makna. Maya tidak tahu mengapa tetapi dia merasakan seolah-olah sudah mengenali Arjuna selama bertahun-tahun.
Dalam beberapa minggu berikutnya, mereka mulai sering berjumpa, berbicara tentang hidup, cinta, dan segala hal di antara mereka. Apabila berjauhan, telefon menjadi duta untuk menyampaikan cinta.
Berbeza dengan kekasih yang mungkin membelikan bunga, coklat, atau patung beruang, Arjuna lebih teruja menghadiahkan buah-buahan eksotik pada setiap kali pulang dari kerja lapangan di Sabah dan Sarawak.
Misalnya, buah bundu yang manis, berkulit coklat kehijauan, serta bersaiz bujur dan bulat. Mereka sama-sama menggemari isinya yang putih seperti susu dan baunya yang harum.
“Berhati-hati dengan bundu yang masih muda,” pesan Arjuna dengan penuh kasih. “Kulitnya bergetah dan boleh menyebabkan kegatalan pada kulit.”
Namun, hubungan mereka tidak diterima oleh orang tua. Cinta mereka adalah cinta yang terlarang. Cinta yang bersembunyi dalam bayang-bayang dan diliputi rasa takut.
“Tidak mungkin!” tegas ayah Arjuna sebaik melihat foto keluarga Maya.
“Apa yang menjadi masalah?” Arjuna mahukan penjelasan.
“Tidak boleh! Itu sahaja,” si ayah bersuara bengis tanpa menghuraikan apa-apa.
Meskipun begitu, Arjuna dan Maya terus berjuang demi cinta. Mereka menyembunyikan hubungan mereka dari pandangan dunia luar. Pada setiap kali bertemu, mereka merasakan seperti dunia ini hanya milik mereka berdua.
Buah-buah eksotik terus menjadi pengikat cinta. Misalnya, mereka boleh berbual berjam-jam lamanya tentang kulit buah timadang yang berwarna hijau pekat dan keras semasa muda tetapi bertukar menjadi kekuningan dan berbau harum apabila masak. Isi berwarna putih susu membangkitkan nafsu cinta Maya dan Arjuna. (bersambung)
Baca reaksi pembaca beta — [baca di sini]
Berikut reaksi
pembaca beta sebelum ini: [Mukundan Sudah Mati] – [Guruji dari Jaisalmer] – [Anak Bunian] – [Darurat di Pulau Cinta] – [Kumpulan
Fiksyen Putaria] – [Siapa Bunuh Mukundan?] – [Raman dan Kultus Guruji] – [Rahasya di Pulau Cinta]