15 Jan 2025

Pandangan Pembaca Beta “Cinta Maya Arjuna”

Orang ramai telah dipelawa menjadi pembaca beta [baca di sini] dan berkongsi pandangan ikhlas selepas membaca petikan awal sebuah cerpen bertajuk “Cinta Maya Arjuna”. Berikut pandangan diterima:


Enam perenggan awal dalam cerpen ini, walaupun bermula seperti sebuah kisah cinta biasa, masih wujud tanda tanya kerana kedua-dua watak  hendak melakukan sesuatu. Perasaan ingin tahu timbul semasa saya sebagai pembaca beta membaca perenggan kelima dan keenam dalam petikan yang diberi.

Keseluruhan petikan cerpen sepanjang 525 perkataan bergerak perlahan melalui perbualan watak Arjuna dan Maya yang sedang bercinta. Mereka seperti akan dipisahkan oleh ayah Arjuna. Pasangan kekasih itu pula digambarkan seolah-olah sedang cuba membunuh diri dengan menelan pil tertentu.

Timbul pertanyaan mengapa ibu bapa Maya dan Arjuna tidak merestui hubungan mereka berdua. Pada imaginasi dan kreativiti saya, mereka tidak bersetuju dengan pilihan Arjuna kerana apabila bapa Arjuna menatap foto keluarga Maya, dia sedar bahawa bapa Maya adalah adik kandungnya sendiri yang telah melarikan diri dari rumah beberapa tahun yang lampau. Maknanya, bapa Arjuna dan bapa Maya adalah adik-beradik kandung. Mengikut budaya dan tradisi India serta peraturan agama Hindu, mana mungkin Arjuna berkahwin dengan sepupunya iaitu Maya.

Mungkinkah cerpen ini memberi kesan negatif kepada pembaca remaja kerana seolah-olah ada babak membunuh diri? Pada pemerhatian saya, pil itu cuma menunjukkan kesan. Tak tahu kesan apa yang sebenarnya akan diberi nanti. Apabila membaca petikan awal (525 perkataan) sahaja, maka pembaca beta  rasa Arjuna dan Maya sedang membunuh diri. Hanya apabila berpeluang membaca keseluruhan cerpen ini nanti, barulah kita akan tahu sama ada cerpen ini memberi kesan negatif atau positif kepada pembaca.

Sebagai salah seorang pembaca beta, apa yang saya bayangkan akan berlaku seterusnya dalam cerpen ini? Pada andaian dan imaginasi saya, setelah makan pil berkenaan, watak Arjuna dan Maya akan bertukar menjadi sepasang burung dan terbang bebas di angkasa raya sambil hinggap di semua pokok buah-buahan kegemaran mereka.

[M. Mahendran dilahirkan di Bentong, Pahang. Beliau berkecimpung dalam bidang penulisan cerpen Bahasa Malaysia dan Tamil sejak tahun 1987. Karupaya (2018) ialah kumpulan cerpen sulung beliau manakala Thalaivar (2021) kumpulan cerpen bahasa Tamil. Mahendran salah seorang pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) pada tahun 1999 dan beliau dipilih memegang jawatan pengerusi pada tahun 2023. Karya-karya Mahendran boleh dibaca di portal Sastera Kavyan dan Eksentrika.]


Enam perenggan terawal cerpen ini seperti menonton filem Tamil atau Hindi. Saya tertarik dengan permulaan cerita ini dan menunggu untuk aksi yang dramatik tetapi ia berubah sedikit. Saya pasti ada twist yang ingin disampaikan oleh penulis pada perenggan-perenggan seterusnya.

Memang betul bahawa keseluruhan petikan awal cerpen sepanjang 525 perkataan ini seolah-olah tidak ada apa-apa perkara penting atau perkara menarik berlaku. Sekadar kisah sepasang kekasih. Bagi saya, ia seolah-olah membaca sebuah filem cinta yang tidak mendapat sokongan ibu bapa kedua-dua pihak. Jalan cerita agak biasa. Percintaan dua individu. Cuma saya berasa agar pelik mengapa Arjuna hanya memberikan buah-buahan kepada kekasihnya, Maya dan buah-buahan yang diberikan agak unik. Mungkinkah akan ada perkaitan antara buah-buahan yang dimakan dan kisah percintaan Arjuna-Maya?

Perbezaan status hidup dan kasta mungkin menjadi penyebab ibu bapa Maya dan Arjuna tidak merestui perhubungan mereka. Saya rasa ayah Arjuna ada perkaitan dengan keluarga Maya kerana dia bertegas tidak merestui hubungan mereka setelah melihat foto keluraga Maya. Mungkinkah Maya mempunyai pertalian darah dengan ayah Arjuna dan ia tidak membolehkan Arjuna dan Maya mendirikan rumah tangga?

Haris diakui bahawa biasanya cerita seperti ini yang ada babak bunuh diri boleh memberi implikasi negatif kepada para remaja. Mereka mengambil tindakan secara meluru tanpa memikirkan akibatnya. Jalan penyelesaian dicari tanpa mendapatkan pandangan mereka yang berpengalaman. Namun, cerita seperti ini juga dapat memberi penunjuk untuk lebih berwaspada apabila berhadapan dengan situasi yang seakan-akan dalam cerita ini.

Apa yang akan berlaku seterusnya? Hm … Saya masih rasa ada sesuatu yang tidak kena dengan foto keluarga Maya yang dilihat oleh ayah Arjuna dan ini menjadi penyebab mereka berdua (Arjuna dan Maya) tidak boleh bersatu. Namun, padapendapat saya, mereka akan tetap berjumpa secara rahsia untuk meluahkan isi hati.

[Anuradha Chelliah lahir di Klang, Selangor. Beliau mendapat pendidikan awal di SRK Methodist dan SMK Methodist, Banting sebelum melanjutkan pengajian sarjana muda (2001) dan sarjana (2011) di Universiti Putra Malaysia (UPM). Anuradha kini tinggal di Banting, Selangor dan berkhidmat sebagai guru Bahasa Inggeris di SK Sri Langat, Banting. Karya beliau boleh dibaca di portal Sastera Kavyan dan Eksentrika.]


“Dua susuk berpakaian pengantin yang sudah lusuh berdiri di bawah cahaya bulan diselubungi kabus tipis.” Perenggan awal ini berjaya menarik perhatian saya sebagai pembaca beta untuk meneruskan bacaan selanjutnya.

Walaupun kelihatan seperti kisah sepasang kekasih yang biasa, namun ada beberapa peristiwa yang berlaku dalam petikan cerpen ini memberi gambaran bahawa ada satu peristiwa penting (milestone) dalam jalan cerita ini.

Ibu bapa Arjuna dan Maya mungkin tidak merestui hubungan mereka disebabkan oleh kisah lampau yang pahit antara kedua-dua keluarga itu. Saya berpendapat demikian berdasarkan reaksi bapa Arjuna setelah melihat foto keluarga Maya.

Walaupun ada unsur atau kisah bunuh diri pasangan kekasih dalam petikan cerpen ini, saya tidak setuju jika sesiapa mengatakan cerpen seperti ini memberi kesan buruk kepada pembaca remaja. Para membaca, terutamanya remaja, yang minat membaca mungkin mempunyai pemikiran yang lebih matang kerana pendedahan kepada bahan bacaan yang berkualiti.

Selepas membaca petikan cerpen ini, saya menjangkakan bahawa watak Arjuna dan Maya mungkin tidak dapat diselamatkan kerana mereka berada di suatu tempat yang tidak diketahui oleh ahli keluarga atau sesiapa sahaja. Maka, tidak ada peluang untuk sesiapa datang menyelamatkan mereka sebelum terlewat.

[Kasthuri Anamalay @ Jeeva Kasthuri dilahirkan di Taiping, Perak dan kini tinggal di Sungai Petani, Kedah. Beliau berkelulusan dari Informatics dalam bidang komputer dan Open University Malaysia (OUM) dalam bidang pengajian bahasa. Kasthuri seorang pengusaha dan guru tuisyen sepenuh masa serta jurulatih teknik menjawab bagi mata pelajaran Sains.]


Berikut pula reaksi pembaca beta bagi cerpen-cerpen lain: [Mukundan Sudah Mati] – [Guruji dari Jaisalmer] – [Anak Bunian] – [Darurat di Pulau Cinta] – [Kumpulan Fiksyen Putaria] – [Siapa Bunuh Mukundan?] – [Raman dan Kultus Guruji] – [Rahasya di Pulau Cinta]

Anda juga mungkin berminat membaca kisah benar berikut: [Siapa Bunuh Veer Singh?] – [Siapa Bunuh Nagamuttu?]