31 May 2026

Dilema Mualaf: Proses Keluar Islam di Malaysia (Bahagian 1)

Di Malaysia, isu murtad bukan sekadar persoalan peribadi antara individu dengan Tuhan. Isu ini terikat pada rangka undang-undang, birokrasi agama, identiti kaum, tekanan sosial, dan kuasa politik.

Seseorang yang memeluk islam—sama ada secara sukarela kerana perkahwinan, pilihan peribadi, atau faktor keluarga—mungkin suatu hari mahu meninggalkan agama itu dan kembali kepada agama asal.

Namun, di Malaysia, jalan keluar itu bukan mudah. Malah, dalam banyak keadaan, ia menjadi lorong sempit yang dipenuhi duri, pagar undang-undang, dan pengawasan sosial.

Menurut “Laporan Kebebasan Agama Antarabangsa Malaysia 2023” oleh kerajaan Amerika Syarikat, “Orang islam yang ingin menukar agama kepada agama lain mesti terlebih dahulu mendapatkan kelulusan mahkamah syariah untuk mengisytiharkan mereka sebagai murtad.”

Laporan sama turut menyatakan bahawa mahkamah syariah “jarang membenarkan permintaan sedemikian”, khususnya melibatkan orang melayu dan individu yang pernah memeluk islam. Maklumat ini menunjukkan bahawa secara praktikal, hak meninggalkan islam di Malaysia bukan sesuatu yang mudah dilaksanakan.

Dalam esei bertajuk “Kedudukan Murtad dan Penyebaran Agama Bukan Islam Menurut Perspektif Undang-undang di Malaysia: Satu Analisa Isu dan Cabaran” oleh Helwa Mohammad Zainal dan Jasri Jamal dalam Jurnal Undang-undang & Masyarakat (2013), dinyatakan bahawa Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan memberi hak kepada setiap orang untuk menganuti dan mengamalkan agama masing-masing.

Namun begitu, Helwa dan Jasri turut menegaskan bahawa hak itu tidak dianggap mutlak dalam konteks orang islam di Malaysia kerana tertakluk kepada tafsiran mahkamah syariah dan undang-undang negeri.

Maka, seseorang mualaf yang mahu meninggalkan islam perlu memahami bahawa proses itu melibatkan dua lapisan besar. Pertama, lapisan undang-undang dan birokrasi. Kedua, lapisan sosial dan psikologi. Topik berkaitan proses terbabit akan diperincikan dalam catatan ini sebagai tanggungjawab sosial saya membimbing umat Bukan Islam.

Status “Islam” Pada Kad Pengenalan

Di Malaysia, agama seseorang bukan sekadar pegangan peribadi. Agama turut direkodkan dalam sistem negara. Bagi orang islam, status itu tercatat pada kad pengenalan, rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), rekod mahkamah syariah, dan pelbagai urusan rasmi.

Sebagaimana dinyatakan juga dalam “Laporan Kebebasan Agama Antarabangsa Malaysia 2023” dan diketahui umum, “kad pengenalan kebangsaan (MyKad) menyatakan pegangan agama, dan kerajaan menggunakannya untuk menentukan warganegara mana yang tertakluk pada undang-undang syariah.” Maknanya, apabila seseorang telah didaftarkan sebagai muslim, maka individu itu secara automatik tertakluk kepada bidang kuasa mahkamah syariah.

Dalam konteks seorang mualaf, perkara paling penting ialah tarikh dan bentuk pengislaman. Ada individu memeluk islam semata-mata untuk berkahwin. Ada pula yang didaftarkan sebagai muslim ketika masih kecil. Ada juga yang mendapati nama mereka tiba-tiba tercatat sebagai islam dalam rekod rasmi. Semua keadaan ini memberi kesan kepada proses keluar islam.

Langkah Pertama: Memfailkan Permohonan di Mahkamah Syariah

Secara umum, seseorang yang mahu meninggalkan islam perlu memfailkan permohonan di mahkamah syariah negeri tempat dia bermastautin. Di sinilah proses sebenar bermula. Maklumat ini saya peroleh hasil perbincangan dengan beberapa peguam syarie yang berpengalaman menangani kes melibatkan individu dilahirkan islam dan individu mualaf yang mahu meninggalkan islam.

Perlu ditegaskan bahawa setiap negeri mempunyai enakmen dan prosedur berbeza. Namun, lazimnya individu yang mahu mengisytiharkan dirinya tidak lagi beragama islam perlu:

1. Memfailkan permohonan pengisytiharan keluar islam atau permohonan menukar status agama.

2. Mengemukakan dokumen pengenalan diri.

3. Mengemukakan sijil memeluk islam, jika ada.

4. Memberikan alasan mengapa mahu meninggalkan islam.

5. Menghadiri sesi kaunseling atau pemulihan akidah.

Dalam banyak kes, mahkamah syariah tidak terus membenarkan seseorang keluar islam. Sebaliknya, mahkamah biasanya akan mengarahkan individu itu menjalani sesi kaunseling agama.

[Baca juga — Dilema Mualaf: Terlajar Perahu Boleh Diundur dan Biar Kisah Saya Jadi Pengajaran]

Laporan Kebebasan Agama Antarabangsa Malaysia 2023” ada menyebut bahawa individu yang dianggap menyimpang daripada tafsiran rasmi islam boleh dihantar ke pusat “pemulihan” yang “mengajar dan menguatkuasakan amalan islam yang diluluskan kerajaan.” Tempoh program boleh mencecah enam bulan atau lebih.

Perkataan “pemulihan” di sini sangat menarik. Ia seolah-olah menggambarkan bahawa keinginan meninggalkan islam dianggap sebagai penyakit yang perlu dirawat dan dipulihkan, bukannya pilihan individu yang perlu dihormati.

Sesi Kaunseling dan Pemulihan Akidah

Di beberapa negeri, sesi kaunseling agama menjadi syarat wajib. Pegawai agama akan cuba “memulihkan akidah” individu terbabit. Sejak dahulu, saya berpeluang berbual dengan beberapa mualaf yang terpaksa mengikuti sesi wajib itu. Secara praktikal, sesi ini mungkin melibatkan:

* soal jawab mengenai sebab mahu meninggalkan islam.

* penerangan mengenai hukum murtad menurut islam.

* usaha memujuk individu kembali mengamalkan islam.

* sesi bersama pegawai agama atau kaunselor.

* pemantauan berkala.

Ada kes di mana individu diarahkan tinggal di pusat pemulihan akidah buat sementara waktu. Menurut “Laporan Kebebasan Agama Antarabangsa Malaysia 2023”, kerajaan Malaysia “melarang individu meninggalkan pusat sedemikian sehingga mereka melengkapkan program pemulihan.” Ini menunjukkan bahawa dalam beberapa keadaan, individu tidak bebas meninggalkan pusat tersebut sebelum program selesai.

Bagi sesetengah individu, proses ini sangat meletihkan secara emosi. Mereka bukan sahaja perlu mempertahankan keputusan peribadi, malah terpaksa membuktikan bahawa mereka benar-benar mahu keluar islam. Rintihan ini juga disuarakan kepada saya oleh sejumlah mualaf yang mahu meninggalkan islam. … (bersambung pada 7 Jun 2026)

[Tulisan ini bertujuan mendidik umat Bukan Islam. © Uthaya Sankar SB. Harap maklum bahawa anda meneliti sebarang paparan di mana-mana blog dan media sosial kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]