19 Dec 2025

Yahya Samah: “Unsur Seks dalam Sastera Melayu Bukanlah Baharu” – Bahagian 2

(Sambungan daripada Bahagian Satu) Fragmen novel Dahaga (1966) dengan tajuk “Malia” disiarkan di Berita Harian (29 Disember 1963). Kisah tentang Malia dan kekasihnya, Kamal yang mati pucuk—“Kamal bukan lelaki tulen.”

Seperti biasa, Yahya Samah menggambarkan realiti keruntuhan moral orang Melayu. Misalnya, Malia menggambarkan kisah bersosial kakak (Emah) dan abang ipar (Baba) seperti ini:

“Keluarga kami, Abang Baba dan Kakak I tak pernah cemburu mencemburui. Tak pernah,” Milah meneruskan.

“Mana you tau mereka tak cemburu?”

I tau. I selalu pergi mengikut mereka menghadiri majlis tari-menari. Dalam majlis itu, kakak I boleh menari dengan siapa-siapa saja yang kakak I suka. Abang ipar I pun begitu juga, dia boleh menari dengan semua perempuan.”

Dalam cerpen ini juga, watak Malia mengimbau pengalaman bercuti berdua-duaan dengan abang iparnya (Baba) di Port Dickson serta mereka tidur sebilik di hotel; kerana “Berehat di bawah-bawah pokok tentulah kurang sesuai, kurang manis dipandang orang”. Ada tanda-tanda mereka menjalin hubungan seks di hotel.

Malah, di akhir cerpen, Malia pergi ke rumah Baba untuk menemankannya kerana isteri (Emah) balik kampung. Pertanyaan Awim (rakan) kepada Malia (“You tak takut ustaz?”) dan kata-kata Awin kepada Kamal (“Mereka [Malia dan Baba] tinggal berdua saja di rumah besar itu. Hai, semuanya boleh berlaku. Tapi sayangnya tak ada ustaz yang berani ke sana. Baba orang besar.”) menggambarkan budaya zina dan khalwat dalam kalangan orang Melayu, tetapi pihak berkuasa (jabatan agama dan “ustaz”) tidak berani mengambil tindakan ke atas “orang besar”.

Lebih menarik apabila Dali yang mengulas cerpen itu di Berita Harian (5 Januari 1964) memberi pujian melambung kepada Yahya Samah. Dia menyarankan penulis-penulis muda menjadikan “Malia” sebagai panduan apabila menghasilkan karya. Tidak hairanlah Yahya Samah teruja dan bersemangat meneruskan penulisan cerpen dan novel Melayu yang memaparkan unsur seks dan erotik dengan “gaya bahasa puitik”.

Yahya Samah mengaku menulis novel Dahaga (1966) untuk memberi keseronokan kepada rakan-rakan seperti Malungun, Amir Hamzah, Yahya Ismail, A. Samad Ismail, dan A. Samad Said dengan alasan, “Kalau mereka terhibur dengan kisah-kisah itu, saya juga turut terhibur.” Pengakuan ini dilaporkan oleh A. Wahab Ali (Berita Harian, 24 April 1966) dan Yahya Ismail (Berita Harian, 26 Jun 1966).

Antara novel Yahya Samah yang disifatkan “panas dan mendebarkan” serta “dianggap lucah” ialah Kelkatu (1976), Sofia (1967), Pecah Berderai (1967), dan Anak Muda Karam di Pantai (1968). Pada tahun 1983, Penerbitan Pena Sdn Bhd menerbitkan semula keempat-empatnya dengan menjanjikan “kisah yang lebih panas”. Untuk rekod, novel Sofia diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada Disember 1984.

Fragmen novel Sofia disiarkan dengan tajuk “Perahu Sudah di Ayer” (Berita Harian, 2 April 1967). Kisah berlaku di bilik sebuah hotel di Kota Bharu, Kelantan. Pasangan kekasih, Kamil dan Sofia, mengadakan hubungan seks beberapa kali kerana pada keesokan hari, Kamil perlu pulang ke Kuala Lumpur.

Sewaktu mengulas fragmen novel itu, Dali mengatakan ia “menggambarkan betapa rapuh dan lemahnya iman anak-anak muda (Melayu) di zaman kita ini, dalam melanggar larangan Allah, berzina di bilik-bilik hotel tanpa malu silu lagi” (Berita Harian, 9 April 1967).

Selepas Sofia terbit dalam bentuk novel, Yahaya Ismail menyimpulkan: “Sofia hanya dapat memuaskan perasaan kejantinaan [kelamin] sahaja – perasaan secara halus dan sopan. Kesemua karya-karya Yahya Samah hanya diberi [memberi?] keseronokan dari perasaan kejantinaan [seks] itulah. Tidak lebih dari itu. Kalau adapun unsur-unsur lain yang ingin ia mengemukakan, persoalan-persoalan itu menjadi kecil dan ditimbuni oleh unsur perasaan yang berpusat pada seks saja” (Berita Harian, 21 Mei 1967).

Novel Pecah Berderai (1967) meneruskan tradisi menggunakan seks untuk memancing pembaca dan melariskan jualan. Secara mudah, kisahnya tentang seorang lelaki yang tergamak melacurkan isteri demi jawatan dan pangkat. Sekali lagi, Yahaya Samah cuba menggambarkan realiti hidup orang Melayu serta cuba menyedarkan mereka tentang kesalahan yang dilakukan.

Watak Lamid seorang pegawai rendah yang bercita-cita tinggi. Dia membenarkan orang atasan meniduri isterinya, Sarah Dewi dan si isteri yang memiliki “tubuh berbentuk kemas” bersetuju mempergunakan aset itu untuk memenuhi permintaan si suami.

Lamid dan Sarah Dewi mahu mengatur jamuan di rumah serta mengundang B. Bandy (pegawai Eropah) dalam usaha mencapai impian jahat yang haram di sisi agama Islam dan budaya Melayu.

Oleh kerana rumah mereka kecil dan tiada ruang bagi majlis tari-menari, Sarah Dewi menjadi gudik kepada Tengku Lah, anak muda kacak dan berjawatan tinggi. Maka, dapatlah Lamid dan Sarah Dewi meminjam rumah mewahnya untuk megatur jamuan khas bagi B. Bandy. Malah, Tengku Lah memberi wang untuk menampung kos jamuan dan majlis tari-menari.

Sarah Dewi mendapat kerja sebagai setiausaha kepada B. Bandy dan menemani bosnya ke Port Dickson atas “urusan kerja”. Lamid dan Sarah Dewi berpindah ke rumah Tengku Lah, lalu memudahkan pasangan kekasih itu (Tengku Lah dan Sarah Dewi) meneruskan zina sehingga wanita itu hamil.

Bagi Yahya Samah, unsur seks adalah alat untuk hiburan dan keseronokan, lalu disajikan dalam novel. Pengkaji Sastera Melayu akan berhujah kononnya novel Pecah Berderai (1967) membawa muatan moral dan pengajaran penting kepada kaum Melayu. Namun begitu, sebagaimana ditegaskan juga oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, “niat tidak menghalalkan cara”. Eh! Saya pula macam berdakwah!

Dalam latihan ilmiah sarjana muda bertajuk “Novel-novel Erotik Melayu di Sekitar Tahun-tahun 1960-1970-an” (1979) di Jabatan Persuratan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Supardy Muradi turut membicarakan karya Yahya Samah.

Kecenderungan dan minat berlebihan Yahya Samah menulis cerpen dan novel berunsur seks, erotik, dan maksiat juga didokumentasi dalam buku Wajah: Biografi Penulis (2005).

Cerpen “Linda di Tengah Gelanggang” (Berita Harian, 3 April 1966) ialah fragmen novel Dahaga (1966) dan kemudian dimasukkan dalam koleksi Malia (1966). Yahya Samah memang banyak menyiarkan fragmen novelnya sebagai cerpen; mungkin promosi dan publisiti bagi novel yang bakal terbit.

Lazimnya dalam karya-karya Yahya Samah, wanita menjadi mangsa manakala lelaki menjadi pemangsa—dan tentu sahaja nafsu dan seks menjadi bahan utama. Contohnya, dalam Layang-layang Putus Tali (1964), Penghulu Kampung Ulu Kelang bernama Datuk (Haji) Empat Ujang cuba “memiliki” Sharifah Aini (isteri Kamal).

Datuk Penghulu Bahauddin pula muncul dalam Perahu Kecil Berlayar Malam (1967) untuk mengoda janda muda beranak satu bernama Ayu Rukiah. Dalam Patah Dayung (1968), Datuk Empat Rapi memperdaya dan “menjamah” Sulimah, anak kepada Dali.

Watak Datuk Penghulu Mustapa dalam Bertiup Angin Beralihlah Awan (1977) menjalin hubungan dengan seorang wanita Cina sehingga lahir anak perempuan (Joo Joo) yang ada raut wajah Melayu.

Terdahulu, dalam Air Yang Diminum (1974), pegawai tinggi kerajaan bernama Badrul telibat dalam sumbang mahram dengan adik iparnya, Anilah. Agak menarik, watak-watak dengan nama sama muncul dalam novel Dahaga (1966).

Tidak salah untuk menyimpulkan, Yahya Samah menggunakan satu set watak dan jalan cerita untuk dipintal berulang kali untuk membolehkan peristiwa berbaur seks, lucah, pornografi, dan erotik dijalin menjadi cerpen atau novel demi memenuhi selera peminat yang terdiri daripada pembaca Melayu.

Pada April 1968, Persatuan Penulis-penulis Kelantan menganjurkan program ceramah sastera di Kota Bharu. Menurut laporan Abdullah Muhammad (Berita Harian, 5 Mei 1968), seorang hadirin menggesa supaya Yahya Samah dijatuhkan hukuman kerana menulis karya berunsur seks.

“Unsur seks dalam Sastera Melayu bukanlah baharu,” kata Yahya Samah pada program itu untuk mempertahankan tindakannya. “Pengarang-pengarang kesusasteraan klasik Melayu pun menyalurkan unsur seks dalam hasil-hasil mereka.”

Maka, tidak hairanlah pengarang Melayu pada hari ini juga mendapat motivasi dan amat gemar meneruskan budaya yang dirintis Ahmad Lutfi pada 1940-an dan dipelopori Yahya Samah sejak 1960-an. Semoga para Sasterawan Kavyan yang menghasilkan karya Sastera Kebangsaan menjadikan budaya ini sebagai sempadan dan pengajaran berguna.

(Harap maklum bahawa anda meneliti sebarang paparan di mana-mana blog dan media sosial kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri. Esei ini ditulis pada 16-17 Disember 2025 dalam usaha mendidik penulis kaum India.)