Sastera Kebangsaan merujuk kepada karya sastera yang
menggunakan bahasa kebangsaan, menampilkan gambaran hidup masyarakat di
Malaysia, menggambarkan kepelbagaian budaya dan cara hidup masyarakat majmuk di
negara ini, serta menyumbang ke arah persefahaman dan integrasi nasional.
Hal ini dipersetujui pada Kongres Kebudayaan Kebangsaan
(16-20 Ogos 1971) dan disepakati dalam mesyuarat Dasar Sastera Kebangsaan di
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 23 April 2019.
Soal penggunaan bahasa kebangsaan dalam menghasilkan karya
yang layak diiktiraf sebagai Sastera Kebangsaan sudah tidak perlu dipertikai
atau dipolemikkan lagi.
Namun begitu, isu yang masih berpanjangan adalah kemampuan
para penulis tanah air mengungkapkan budaya, pemikiran, adat, kepercayaan dan
hal-hal berkaitan masyarakat pelbagai kaum, keturunan dan etnik.
Suresh Kumar N Vellymalay dalam bukunya
Hubungan Etnik di Sekolah (2017)
menganggap kepelbagaian ini sebagai salah satu keunikan Malaysia. Norhayati Ab. Rahman menerusi eseinya
dalam buku Sastera Teras Negara Bangsa
(2015) berkata, karya sastera perlu mampu menggambarkan pelbagai pola pemikiran
dan nilai-nilai sosiobudaya pelbagai etnik.
Sekiranya diteliti, Sastera Melayu Moden sejak tahun 1930-an
sangat berciri etnosentrik di mana rata-rata penulis kaum Melayu menulis
kisah-kisah orang Melayu untuk bacaan khalayak Melayu. Kajian A.M. Thani (1990) dan Mohd. Taib Osman (Dewan Sastera, Januari 1976) ke atas cerpen-cerpen 1969-1975 turut
membuktikan situasi ini.
Walau bagaimanapun, beban dan tanggungjawab menggambarkan
budaya masyarakat Bukan Melayu tidak perlu diletakkan pada pundak pengarang
Melayu. Sepatutnya, penulis kaum Cina dan India, keturunan Siam, serta
etnik-etnik di Sabah dan Sarawak sudah mampu menguasai bahasa kebangsaan dan
menulis karya sastera bagi menggambarkan citra budaya masing-masing.
Boleh dibaca dalam buku Kisah Sasterawan Kavyan (2022).
(Rencana
ini disiarkan di Klik Web DBP pada 20 Ogos 2019. © Uthaya Sankar SB 2019. Layari Blog Kavyan untuk maklumat pelbagai program bahasa,
sastera, kebajikan, seni dan budaya melibatkan Sasterawan Kavyan. Harap maklum
bahawa anda melayari mana-mana blog kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.)