2 Jul 2022

Bangang Macam Menteri

Sejak dahulu, orang Melayu memang memiliki pemikiran tinggi dan perkara ini (antara lain) dapat diperhatikan menerusi peribahasa tradisional yang terus malar tanpa ditelan zaman.

Sekadar contoh adalah peribahasa “bukan salah ibu mengandung” yang segera muncul dalam minda apabila meneliti dan membaca pelbagai kenyataan “kurang cerdik” yang dikeluarkan oleh politikus dan juak-juak mereka sepanjang April 2015.

Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Usman Awang pernah menulis puisi yang memberikan makna baharu kepada serangkap peribahasa lama, iaitu “Siakap senohong, gelama ikan duri; Bercakap bohong, lama-lama mencuri”.

Allahyarham mengubah frasa terakhir menjadi “lama-lama jadi menteri” supaya sesuai dengan pemerhatian beliau terhadap perkembangan politik di negara bertuah ini.

Khabarnya, dalam buku yang terbit kemudian, puisi berkenaan diubah baris terakhir menjadi “tak boleh jadi menteri” seolah-olah seseorang yang suka bercakap bohong tidak ada peluang menjadi menteri.

Tentu sahaja kanak-kanak sekolah rendah pun tahu puisi Usman Awang lebih tepat berbanding versi yang diubah supaya politically correct mengikut cita rasa pemerintah dan kuasawan.

Sejak awal April 2015, peribahasa baharu yang saya gunakan secara meluas adalah “bangang macam menteri”. Idea bagi peribahasa itu muncul selepas saya membaca suatu status Facebook oleh Mutalib Uthman, anak muda yang menerajui DuBook Press.

“Peribahasa” merujuk kepada susunan kata-kata secara rapi dan teratur serta mempunyai makna tertentu dengan memberikan kiasan alam, haiwan, atau tumbuh-tumbuhan sebagai perbandingan kepada sikap manusia.

Simpulan bahasa, perumpamaan, pepatah, dan bidalan termasuk dalam kategori peribahasa. Manakala “bangang” membawa makna “bodoh, dungu, bahlul, tongong”.

Kalau saya berkempen meminta orang ramai menolak politikus bangang dan pengamal politik perkauman, apakah saya dikira menghasut? Demikian pertanyaan yang timbul apabila saya melihat terlalu banyak kebangangan dalam kalangan politikus belakangan ini. Segala kebangangan itu pula dipamerkan oleh mereka sendiri menerusi kenyataan media, sidang media, status Facebook, dan paparan Twitter.

Perbandingan dengan Peribahasa Pisau dan Lembu

Pindaan yang dibuat pada Akta Hasutan pula boleh membuatkan karya berbentuk parodi, satira, dan sindiran turut diambil tindakan, seperti saya huraikan dalam makalah bertajuk “Akta Hasutan dan Pulau Pendatang” (The Malaysian Insider, 28 April 2015).

Timbalan Menteri Kewangan, Ahmad Maslan diketahui umum sebagai politikus dan menteri yang banyak mengeluarkan kenyataan yang agak bangang dalam isu Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Seorang rakan, Shahrul Nizam malah menggunakan nama Maslan bagi menggantikan perkataan “bangang” pada status Facebook. Misalnya, “Kamu janganlah cuba memaslankan saya.”

Dalam percaturan politik di Malaysia – melibatkan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR), khususnya – peribahasa moden yang sesuai digunakan adalah “bangang sama bangang berbalah, rakyat tersepit di tengah-tengah”.

Perkara ini dapat dinilai sendiri jika kita melihat kepada perkembangan menjelang dua Pilihan Raya Kecil (PRK) iaitu di Rompin dan Permatang Pauh. Masing-masing nampaknya berlumba-lumba untuk menunjukkan pihak mana yang lebih bangang.

Peribahasa “bangang macam menteri” muncul sekurang-kurangnya dua kali dalam kumpulan cerpen terbaharu saya, Pulau Pendatang, yang bakal terbit pada 17 Mei 2015.

Mungkin ada pihak yang mempersoalkan mengapa saya menggunakan “menteri” sebagai perbandingan dalam peribahasa ini. Mungkin mereka akan bertanya (dan tertanya-tanya) apakah semua menteri memang bangang.

Dalam hal ini, mari kita ambil peribahasa “bodoh macam lembu” dan “tajam macam pisau” sebagai contoh. Peribahasa itu tidak bermakna semua lembu adalah bodoh atau semua pisau adalah tajam. Ada lembu yang lebih bijak daripada politikus, dan ada juga pisau yang lebih tumpul daripada otak politikus.

[Baca juga — Macai Macam Satees]

Mungkin pula ada pihak yang bertanya apakah Perdana Menteri Najib Razak dikatakan bangang juga kerana memilih menteri-menteri yang bangang untuk berada dalam barisan kabinet.

Hal ini secara spontan mengingatkan kita kepada suatu peribahasa Tamil yang terjemahannya membawa makna, “apa yang ada di dalam periuk, itulah yang dapat diambil dengan senduk”.

GST, PRK Tonjol Kebangangan Politikus

Secara logik, jika politikus dalam parti politik yang menang majoriti pada Pilihan Raya Umum (PRU) semuanya kurang cerdik, tentulah sukar bagi seorang Perdana Menteri melakukan pemilihan bijak bagi membentuk sebuah kabinet yang cerdik.

Saya perhatikan sejak beberapa minggu lalu, ramai politikus yang sedang berlumba-lumba untuk muncul sebagai individu paling bangang. Seolah-olah ada pertandingan bagi Anugerah Tokoh Bangang Macam Menteri.

Sekadar contoh terdekat, ada politikus yang cuba menegakkan benang yang basah dengan mengatakan harga barang-barang keperluan di seluruh negara sudah turun sejak GST diperkenalkan.

Tentulah kita juga mampu “membaca” permainan politik yang amat licik di mana dalam kekalutan pelaksanaan GST, pemerintah menuduh para peniaga menipu rakyat. Manakala pemerintah akan mengambil tindakan ke atas peniaga terbabit bagi membela rakyat. Corak permainan yang menarik tetapi hanya membuktikan kebangangan pihak terbabit.

Dalam kes PRK Permatang Pauh, muncul pula politikus memberi amaran kepada pengundi: Lupakan terus sebarang bantuan daripada kerajaan jika BN tidak menang di kawasan parlimen itu.

Ada pula politikus yang berpendapat, pengundi kaum India dan Cina akan mengundi BN kerana “mahukan masa depan yang baik, negara aman damai dan ekonomi yang berkembang untuk anak cucu mereka”.

Beberapa politikus pula menjanjikan habuan rumah pada harga rendah jika BN terus menguasai Parlimen Rompin. Akan tetapi, kenyataan susulan menunjukkan ia hanyalah cadangan (janji manis) dan tidak semestinya dilaksanakan, walaupun jika BN menang.

Beberapa contoh terdekat dan terkini yang diberikan di atas tidak bermakna politikus dalam PR amat bijaksana dan cerdik belaka. Lihat sahaja perkembangan kempen PRK di Permatang Pauh untuk melihat tahap kebangangan yang dipamerkan secara terang-terangan.

Walaupun tidak ada menteri dalam kalangan PR, ramai yang memenuhi kriteria “bangang macam menteri”. Tambahan pula, sepertimana dalam hal “bodoh macam lembu” dan “tajam macam pisau”, peribahasa moden ini tidak semestinya merujuk kepada setiap menteri.

Mungkin pada suatu hari nanti, apabila muncul para menteri yang bijak, berilmu dan mampu berfikir, maka peribahasa “bangang macam menteri” sudah tidak akan terpakai lagi di negara bertuah ini. Sama-sama kita nantikan dengan penuh harapan.

(Tulisan ini disiarkan di The Malaysian Insider pada 5 Mei 2015. © Uthaya Sankar SB. Harap maklum bahawa anda membaca mana-mana paparan di mana-mana blog dan media sosial kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.)