14 May 2015

Maklumat Buku Pulau Pendatang

Kategori: Kumpulan Faksyen Bahasa Malaysia
ISBN: 978-983-40562-9-2
Tarikh Terbit: 17 Mei 2015
Penerbit: Uthaya Sankar SB (Identiti penerbit: 40562)
Harga: RM20.00 senaskhah [BELI DI SINI]
Tebal: 302 halaman (termasuk prelim)

Kumpulan cerpen terakhir yang memuatkan cerpen-cerpen Uthaya Sankar SB ialah Kisah Dari Siru Kambam (2013); manakala novel pula berjudul Hanuman: Suara Hati (2013). Tiada buku terbit pada 2014.

Buku Pulau Pendatang memuatkan 20 cerpen dengan konsep “remaja menuju dewasa” iaitu gabungan cerpen-cerpen yang membantu mendewasakan pembaca mengenai isu-isu semasa dan pergolakan politik.

Cerpen-cerpen ini pernah tersiar di Free Malaysia Today, Tunas Cipta, The Malaysian Insider, e@siswa, Fokus SPM, Roketkini dan Dewan Siswa dari 2010 hingga 2015.

Faksyen (faction) merujuk kepada kisah-kisah sebenar (fakta) yang disampaikan dalam bentuk fiksyen. Sejarah serta huraian lanjut mengenai konsep ini ada pada prakata buku.

Buku ini dicetak menggunakan konsep “modal sosial” (social capital) di mana sumbangan orang ramai dalam bentuk tempahan awal berbayar sepanjang Mac-April 2015 digunakan untuk menampung sebahagian kos percetakan.

Perkembangan di Malaysia menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) pada 2013 turut menjadi sumber idea dan bahan bagi beberapa buah cerpen.

Gagasan 1Malaysia yang dilaungkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sejak 2009 disebut berulang kali dalam beberapa cerpen.

Pindaan pada Akta Hasutan 1948 yang diluluskan Dewan Rakyat pada 9 April 2015 turut memberi kesan terhadap penulisan berbentuk jenaka, gurauan, sindiran, parodi dan satira. Kebanyakan faksyen dalam Pulau Pendatang menggunakan teknik-teknik itu.


Buku Pulau Pendatang didedikasikan kepada “para pejuang #MansuhAktaHasutan”.

Wujud hubungan intertekstual antara cerpen-cerpen dalam buku ini, serta hubungan intertekstual dengan cerpen-cerpen dalam buku-buku sebelum ini. Maknanya, kebanyakan cerpen saling berkaitan. Misalnya, watak Paul Lathic yang muncul dalam cerpen “Drama Paul Lathic” (Sasterawan Pulau Cinta, 2001) dapat diketahui asal-usulnya menerusi cerpen “Anak-anak Pulau Cinta” (Pulau Pendatang, 2015).

Buku-buku terbitan Uthaya sebelum ini – khususnya Rudra Avatara (2008), Kathakali (2009), Panchayat: Edisi Khas (2012), Kisah Dari Siru Kambam (2013) dan Hanuman: Suara Hati (2013) – menggunakan latar warna putih pada kulit. Buku Pulau Pendatang pula menggunakan warna hitam.

Uthaya menyatakan pada halaman dedikasi bahawa hanya buku yang ditandatanganinya merupakan terbitan sah. Langkah ini bagi mengelakkan pengedaran buku secara haram.

Peribahasa “bangang macam menteri” muncul sekurang-kurangnya dua kali dalam buku ini. Peribahasa moden ini bersumberkan pemerhatian terhadap persekitaran. (Peribahasa "Macai Macam Satees" belum wujud sewaktu buku ini terbit.)

Uthaya mengakui, cerpen “Pulau Pendatang” sebuah faksyen yang ada kaitan dengan konsep “pendatang” dan mungkin membuatkan pihak tertentu “panas punggung” sepertimana berlaku selepas penyiaran cerpen “Fail Merah: Konspirasi Membunuh Sasterawan Pulau Cinta” (Rudra Avatara, 2008).

Pelajar sebuah sekolah berdepan tugas berat memilih ketua kelas yang mampu mewakili mereka semua. Seorang calon cuba menggunakan sentimen perkauman bagi meraih undi dalam faksyen ini.

Penduduk sebuah kampung pula berdepan masalah hampir sama apabila perlu memilih ketua panchayat baru. Panchayat adalah majlis timbang tara dalam budaya kaum India.

Hal ini berbeza dengan watak pengetua misali dalam parodi yang ditulis sempena suatu “insiden terpencil” di sebuah sekolah di Kulaijaya, Johor. Kisah berkenaan turut mengambil inspirasi daripada kisah seorang pengetua rasis di Shah Alam, Selangor.

Ada juga faksyen yang menampilkan kisah pemilik sebuah gerai yang berada dalam dilema untuk menghidangkan bubur terakhir kepada penduduk sebuah kampung sebelum tempoh kontrak bekalan bubur berakhir. Kata bubur senada bubar bagi Parlimen.

Isu baru yang timbul apabila pemilik sebuah lagi gerai dituduh menodai bubur milik salah seorang pekerjanya merupakan susulan daripada kisah gerai tadi. Bubur senada dubur.

Dalam pada itu, penduduk majoriti sebuah pulau sudah tidak sanggup berdiam diri sebaik menyedari mereka dipinggirkan selama ini secara tidak adil.

Peristiwa seorang anak yang menuntut hak eksklusif menggunakan gelaran “Ayah” untuk merujuk kepada bapanya turut disajikan dalam buku ini.

Frasa “Takkan Melayu hilang di dunia” diberikan wajah baharu menerusi sebuah cerpen yang dijangka menimbulkan keresahan puak rasis dan etnosentrik.

Sekumpulan anjing jadian pula ada cerita tersendiri. Sepertimana kata watak nenek dalam faksyen berkenaan, suatu hari nanti, cucu-cucunya akan memahami kisah sebenar di sebalik salakan gerombolan anjing berkenaan..

Harapan Uthaya semoga masyarakat pelbagai kaum, etnik, agama dan budaya terus memberikan sokongan serta meningkatkan minat membaca hasil tulisan kelompok penulis seperti dirinya yang masih yakin dan optimis berkarya menggunakan Bahasa Malaysia.

Uthaya yang lahir di Taiping, Perak menghasilkan cerpen sejak tahun 1992. Hasil karyanya pernah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia. Penulis sepenuh masa ini juga presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) yang diasaskan pada 1999.

[Maklumat ini dipaparkan sempena Majlis Memperkatakan Pulau Pendatang pada 17 Mei 2015 di Rumah Kavyan.] [BELI BUKU INI SEMENTARA MASIH ADA STOK]