11 Oct 2010

Pertama di Taiping, Pertama di Malaysia

Semasa saya membuat catatan berbentuk trivia pada ruangan status di Facebook mengenai asal-usul nama “Taiping” [BACA DI SINI], Syafina dari RTM bertanya mengenai perkara-perkara “pertama” di Taiping. Pada 8 Oktober 2010, saya memaparkan sedikit maklumat mengenai beberapa tempat berkaitan, seperti berikut:
.
Bukit Larut di Taiping, Perak dahulu dikenali dengan nama Maxwell Hill. Bukit peranginan ini diasaskan pada 1884 dan dinamakan sempena Pembantu Residen British, William George Maxwell. Bukit Larut yang terletak 1,036 meter dari paras laut adalah bukit peranginan pertama dan tertua di Malaysia. FOTO DI SINI
.
Gereja All Saints di Taiping, Perak adalah gereja Anglikan pertama dan tertua di Malaysia. Gereja yang dibina daripada kayu meranti ini diasaskan pada 1886. Gereja ini masih memiliki tingkap kaca berukiran yang dipasang pada 1911. Terdapat juga kubur bersejarah di perkarangan gereja ini. FOTO DI SINI
.
Penjara Taiping yang pada mulanya dinamakan “The Perak Prison” diasaskan pada 1879 dan disahkan penjara pertama dan tertua di Malaysia. Pada 1881, warden Punjabi dibawa dan pada 1889, warden Eropah dibawa untuk membantu pengurusan penjara ini. Semasa Penjajahan Jepun (1942-1945), semua rekod berkaitan penjara dan banduan dimusnahkan. FOTO DI SINI
.
Lapangan Terbang Taiping di Tekah yang dibina pada 1929 adalah aerodrom pertama di Malaysia. Lapangan terbang ini kurang dikenali berbanding lapangan terbang lain di Malaysia kerana hanya digunakan bagi pesawat kecil memandangkan landasannya tidak cukup panjang bagi pesawat besar.
.
Pasar Taiping di Jalan Kota terdiri daripada dua bangunan iaitu Pasar Lama yang dibina pada 1884 dan Pasar Baru pada 1885. Satu menjual barangan basah dan satu lagi bagi bagi barangan kering. Idea pembinaan pasar ini dicetuskan Frank Swettenham. Bangunan pasar awam ini adalah yang pertama dan tertua di Malaysia. FOTO DI SINI
.
Taman Tasik Taiping dibangunkan pada 1880 daripada kawasan bekas lombong bijih timah dan muncul sebagai taman tasik awam yang pertama dan tertua di Malaysia. Terdapat sepuluh tasik pelbagai saiz di sini. Pokok angsana (Pterocarpus indicus) yang merimbun menjadi satu lagi daya penarik bagi pencinta alam yang inginkan udara segar dan lokasi menarik untuk fotografi. FOTO DI SINI


Sila KLIK DI SINI untuk menonton klip video saya mengenai Taiping.