4 Oct 2010

Trivia Nama

Krung-dēvamahānagara amararatanakosindra mahindrayudhyā mahātilakabhava navaratanarājadhānī purīramya uttamarājanivēsana mahāsthāna amaravimāna avatārasthitya shakrasdattiya vishnukarmaprasiddhi.
.

Pada 28 September 2010, saya melayari Internet dan cuba mencari asal-usul nama Bangkok semasa menulis skrip berita mengenai pusat beli-belah Central World yang dibuka semula selepas ditutup sejak 3 April 2010 berikutan rusuhan antikerajaan dan perintah darurat.

.

Hasilnya, saya menemui trivia amat menarik berkaitan nama sebenar Bangkok; seperti yang dipaparkan di atas.

.

“The city of angels, the great city, the eternal jewel city, the impregnable city of God Indra, the grand capital of the world endowed with nine precious gems, the happy city, abounding in an enormous Royal Palace that resembles the heavenly abode where reigns the reincarnated god, a city given by Indra and built by Vishnukarma.”

.

Itulah nama penuh bagi Bangkok! Malah diiktiraf dalam Guinness Book of Records sebagai nama terpanjang bagi suatu tempat.

.

Nama asal Madras ialah Chennai iaitu kependekan kepada Chennaipattinam. Chennai bermakna “muka” dalam Bahasa Tamil. Madras yang asal pula namanya Madraspattinam, sempena nama Raja Muturasa. Apabila British menggabungkan kedua-dua bandar, ia dikenali “Madras” sebelum kembali kepada “Chennai” pada 1996.

.

Jakarta pula mendapat nama daripada perkataan Jawa kuno, “Jayakarta” yang membawa makna “kejayaan menyeluruh” atau “tindakan yang membawa kejayaan”. Nama lamanya adalah Sunda Kelapa (397-1527), Jayakarta (1527-1619), Batavia (1619-1942) dan Djakarta (1942-1972). Moto Jakarta sehingga kini adalah “Jaya Raya”.

.

Nama “Sandakan” diberi oleh William Clarke Cowie, seorang penyeludup senjata api dari Scotland yang mendapat kebenaran Sultan Sulu untuk memulakan pusat perniagaan kecil di sana. “Sandakan” bermakna “tempat yang dipajak” dalam Bahasa Sulu. Sandakan kemudian diberi julukan “Kampung Jerman” kerana kehadiran ramai orang Jerman sekitar 1878.

.

Sandakan pernah musnah dalam kebakaran pada 15 Jun 1879. Penempatan baru dibina di tapak baru dengan nama “Elopura” (Beautiful City) pada 21 Jun 1879 sebelum kembali dinamakan Sandakan.

.

Tokyo pula pada asalnya sebuah perkampungan nelayan kecil bernama Edo yang bermakna “muara” dan diasaskan suku Edo pada akhir kurun ke-12. Pada 1457, Ota Dokan (seorang samurai, penyair, pakar perang dan akhirnya sami Buddha) membina Istana Edo.

.

Pada 1590, Tokugawa Ieyasu menjadikan Edo pangkalannya; dan apabila dia menjadi shogun pada 1603, Edo menjadi pusat pemerintahan kerajaan tentera. Pada 1869, Maharaja Meiji berpindah ke Edo dan Istana Edo dikenali Istana Diraja.

.

Nama “Tokyo” digunakan mulai 1868 iaitu gabungan perkataan “to” (timur) dan “kyo” (ibu negara) dalam Bahasa Jepun.

.

Taiping pernah dikenali sebagai Klian Pauh di mana “klian” bermakna “lombong” dan “pauh” pula sejenis buah kecil menyerupai mangga (Mangifera indica). Pada 1848, Long Jaafar menamakannya “Larut” sempena gajah miliknya yang ‘menemui’ bijih timah di sana.

.

Taiping juga menyaksikan perang antara pelombong Gee Hin (Kantonis) dan Hai San (Hakka) sehingga mengubah serta membentuk Taiping seperti yang ada sekarang dan seperti yang pernah dipelajari di sekolah. “Taiping” yang bermakna “keamanan yang berkekalan” dipercayai dinamakan sempena Pemberontakan Taiping (1850-1864) di China.

.

Ibu negeri Perak dipindahkan dari Bandar Baru ke Taiping pada 1875 berikutan pembunuhan JWW Birch di Pasir Salak. Ibu negeri dipindahkan pula ke Ipoh pada 1937.

.

Perlu dinyatakan juga bahawa terdapat lebih daripada 40 perkara “pertama” di Malaysia yang bermula di Taiping. Antaranya adalah landasan kereta api pertama, zoo pertama, muzium pertama, penjara pertama, taman tasik pertama, padang golf pertama, akhbar pertama, gereja pertama, lapangan terbang pertama, perpustakaan awam pertama dan kolej perguruan pertama. [BACA DI SINI]

.

Selain daripada Singapura yang kita kenali (dan cemburui!), terdapat juga kawasan bernama “Singapura” di Rajastan, India dan Jawa Barat, Indonesia. Kawasan dengan ejaan “Singapur” terdapat di Andhra Pradesh, India dan Karnataka, India. “Singhpur” pula terdapat di Jammu-Kashmir dan “Singhpura” di Punjab, Pakistan.

.

Terdapat juga “Singpur” di Gujarat, India; Madhya Pradesh, India; Maharashtra, India; Orissa, India; dan Barisal, Bangladesh. Tidak ketinggalan, “Singapore” di Michigan, Amerika Syarikat dan Limpopo, Afrika Selatan.

.

“Pura” dalam Bahasa Sanskrit bermakna “kota” dan Temasek dipercayai dinamakan “Singapura” selepas Sang Nila Utama ternampak binatang liar itu sebaik tiba di pulau berkenaan, seperti diceritakan dalam Sejarah Melayu Reloaded oleh Amir Muhammad. Namun, tiada bukti kewujudan singa secara asli di Singapura.

.

Colombo di Sri Lanka mendapat namanya daripada orang Portugis dengan kedatangan Lourenço de Almeida pada 1505, tetapi nama itu bukan dalam Bahasa Portugis. “Colombo” diambil daripada frasa Bahasa Sinhala “Kolon Thota” yang bermakna “pelabuhan di Sungai Kelani”.

.

Ada juga pandangan mengatakan nama itu daripada frasa “Kola-amba-thota” yang bermakna “pelabuhan dengan banyak pokok mangga berdaun lebat”. Mungkin juga nama “Colombo” diambil sempena pelayar Itali, Christopher Columbus memandangkan namanya dalam Bahasa Portugis ialah Cristóvão Colombo.

.

Ibnu Batuta yang melawat Sri Lanka pada kurun ke-14 merujuk kepada Colombo sebagai “Kalanpu”.

.

Trivia di atas saya paparkan pada ruangan status di Facebook pada 28 September 2010 dan mendapat maklum balas positif daripada rakan-rakan. Siapa sangka trivia nama-nama tempat juga menarik perhatian ramai.

.

Maka, saya mendapat idea mewujudkan ruangan kecil yang dinamakan “Trivia Nama” di Halaman Global akhbar Sinar Harian bermula 4 Oktober 2010. Sementara itu, sila KLIK DI SINI untuk trivia nama "Malaysia". Sila KLIK DI SINI untuk Trivia Cat.