Tuesday, 5 October 2010

Konvoi ke Rumah Ibadat: Suatu Sejarah

Sejarah dan kejayaan tidak diukur pada kuantiti tetapi pada kualiti dan kesan yang dibawa. Dalam hal ini, Konvoi ke Rumah Ibadat pada 2 Oktober 2010 (Sabtu), 9:00 pagi hingga 12:30 tengah hari ternyata mencatat sejarah tersendiri; walaupun tidak melibatkan sebarang “tokoh” seperti Paul Lathic dan politikus yang mampu menjana liputan pelbagai media perdana.
.
Jumlah peserta konvoi hanya sepuluh orang walaupun pada mulanya lebih ramai menyatakan minat untuk hadir sama. Hal ini langsung tidak menghairankan dan tidak juga menjadi masalah kerana tentu sahaja program yang baik dan membawa kepada kebaikan kurang mendapat sambutan.
.
Peserta berkumpul di Kuil Subramaniam Chettiar, Jalan Ipoh sebelum pukul 9:00 pagi. Antara yang hadir ialah Aslambigai yang membantu menyelaraskan program, Nur Amin bersama empat anak, Nizha Periaswamy bersama jurukamera akhbar Kosmo!, serta Mohd Annas Shafiq Ayob dan Muhammad Shairuli Famie Ramli dari Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.
.
Kami meluangkan masa sekitar 30 minit di kuil berkenaan sambil berkongsi maklumat budaya dan agama Hindu bagi membantu pemahaman dan rasa saling menghormati; seperti yang amat diperlukan ke arah pembinaan Bangsa Malaysia. Aslambigai menjawab pertanyaan peserta konvoi berkaitan kuil dan agama Hindu.
.
Sebagai rakyat Malaysia yang kaya dengan kepelbagai budaya dan agama, kita selalu melihat rumah-rumah ibadat dan pasti ada banyak pertanyaan yang timbul atas dasar rasa ingin tahu. Konvoi ke Rumah Ibadat membuka laluan ke arah itu dan ternyata dimanfaatkan sepenuhnya oleh kesemua sepuluh peserta yang memahami makna sebenar integrasi.
.
Sepanjang konvoi, tidak timbul isu “cuba mempengaruhi” peserta dengan ajaran mana-mana agama. Sebaliknya, para peserta diberi peluang untuk “mengenali” budaya dan cara hidup rakan-rakan daripada agama lain.
.
Destinasi seterusnya, gurdwara iaitu rumah ibadat penganut agama Sikh. Kami amat bertuah kerana beberapa individu yang berada di gurdwara menawarkan diri untuk menjadi semacam pemandu pelancong.
.
Kami diberi penerangan yang cukup mendalam mengenai konsep, amalan dan budaya dalam agama Sikh. Peserta konvoi (lelaki dan wanita) juga diwajibkan menggunakan kain untuk menutup rambut sebelum masuk ke gurdwara. Amalan mencuci kaki juga perlu dipatuhi, sebagaimana di kebanyakan rumah ibadat agama-agama lain.
.
Tentu sahaja banyak ilmu dan pengetahuan baru diperoleh melalui kunjungan ke gurdwara. Antaranya, mengenai kitab suci agama Sikh, bilik khas bagi menyimpan kitab suci berkenaan, upacara perkahwinan, fatwa, makanan nabati (vegetarian) dan simbol-simbol keagamaan.
.
Peserta konvoi juga tidak melepaskan peluang merakamkan foto menggunakan kamera dan telefon bimbit. Foto-foto yang saya rakam menggunakan telefon bimbit boleh dilihat di Facebook [KLIK DI SINI] dan saya percaya, rakan-rakan lain juga berkongsi foto mereka di ruang siber. Khususnya Nur Amin yang menggunakan kamera profesional.
.
Destinasi ketiga adalah Gereja Katolik St Joseph, Jalan Sentul. Berbeza dengan rumah-rumah ibadat agama lain, kami dibenarkan masuk tanpa perlu menanggalkan kasut. Gereja memang selalu dipaparkan dalam filem-filem Inggeris dan kali ini peserta konvoi berpeluang melihat sendiri suasana di dalam sebuah gereja.
.
Berlaku juga sedikit perkongsian maklumat dalam kalangan peserta konvoi mengenai gereja, Jesus (Nabi Isa) dan mazhab-mazhab dalam agama Kristian. Dialog antara agama seperti ini sesuatu yang amat sihat dan sebenarnya digalakkan dalam semua agama. Malangnya, terdapat pihak tertentu yang cuba menidakkan hakikat itu serta cuba menghalang sebarang bentuk dialog antara agama. Betapa malang!
.
Rumah ibadat keempat yang kami tujui adalah sebuah tokong (Cina) yang sangat indah dan penuh warna. Ukiran naga cukup mempesonakan. Kami sempat melihat cara seorang wanita warga emas bersembahyang. Seorang lelaki warga emas pula menerangkan bahawa tokong itu bagi dewa pengawal.
.
Peserta konvoi tidak berasa kekok untuk melihat dan meninjau objek-objek yang terdapat di tokong berkenaan. Dan tentu sahaja tidak timbul soal keimanan tergugat kerana konvoi ini menggabungkan peserta yang hadir dengan fikiran terbuka untuk saling mengenali; bukan mempengaruhi.
.
Saya percaya bahawa setiap objek yang terdapat di tokong berkenaan ada cerita tersendiri. Malangnya tidak ada orang yang boleh membantu untuk menjelaskannya kepada kami. Mungkin juga rakan-rakan di ruang siber boleh membantu membuat catatan pada foto-foto yang saya muatkan di Facebook [KLIK DI SINI] supaya dapat membantu kita saling memahami dan mengenali.
.
Destinasi kelima kami adalah Masjid Al-Hidayah, Jalan Sentul. Tentu sahaja masih segar dalam ingatan mengenai kontroversi yang timbul apabila individu Bukan Islam masuk ke beberapa masjid; seperti diperbesar-besarkan media sebelum ini.
.
Malah, insiden “memalukan” seperti itulah yang melahirkan idea bagi Konvoi ke Rumah Ibadat dan catatan mengenainya boleh dibaca DI SINI.
.
Pihak pengurusan Masjid Al-Hidayah ternyata memahami ajaran sebenar agama Islam dan Hadis, serta tidak timbul masalah untuk membenarkan peserta konvoi Bukan Islam memasuki masjid dengan niat baik.
.
Beberapa notis dan papan tanda yang terdapat di masjid ini juga menarik perhatian kerana sifat universal yang dimiliki. Misalnya mengenai penggunaan telefon bimbit di rumah ibadat dan hukum merokok.
.
Annas bertindak sebagai pemandu pelancong untuk menerangkan kepada kami fungsi dan peranan masjid. Pasti sahaja saya bertanya, apakah benar ada syarat tidak membenarkan orang Bukan Islam memasuki masjid. Juga, adakah terdapat ruang/bahagian tertentu di dalam masjid yang “lebih mulia” berbanding ruang/bahagian lain.
.
Penerangan dan penjelasan yang diberikan amat membantu peserta konvoi mendapat maklumat sebenar mengenai kehebatan agama Islam; berbanding pelbagai isu yang sengaja dipolitikkan oleh politikus dan beberapa pihak lain. Misalnya, isu masjid yang sengaja dipolitikkan dan hanya memburukkan imej Islam.
.
Saya secara peribadi menyampah dengan sikap mana-mana pihak – politikus mahu pun “tokoh” agama – yang memberi gambaran/maklumat salah mengenai Islam, khususnya dalam isu dialog antara agama dan memasuki masjid.
.
Mujurlah Konvoi ke Rumah Ibadat tidak “dicemari” mana-mana unsur negatif seperti itu. Tuhan melindungi orang yang mahu dilindungi-Nya.
.
Rumah ibadat keenam yang kami kunjungi adalah wat yang dinamakan Sri Lanka Buddhist Temple. Seperti dinyatakan Nur Amin dan Aslambigai, ciri-ciri binaan, ukiran dan perhiasan Sri Lanka dapat diperhatikan di bangunan wat ini yang dirasmikan pada10 Jun 2000.
.
Semasa kami tiba, upacara sembahyang sedang berlangsung. Selepas upacara itu selesai, kami melangkah masuk ke ruang yang menempatkan berhala besar Buddha. Namun, tentulah berhala Buddha yang terbesar di Asia Tenggara terletak di Kelantan.
.
Rumah ibadat agama Buddha mempunyai keunikan tersendiri. Namun, pada masa sama, terdapat juga persamaan dengan agama-agama lain. Salah seorang peserta remaja menceritakan mengenai apa yang pernah dibacanya mengenai Siddharta Gautama. Saya mencadangkan kepadanya supaya menonton filem Little Buddha (1994).
.
Selepas meluangkan masa sekitar 30 minit di wat berkenaan, kami bertolak ke sebuah restoran untuk minum. Setiap peserta Konvoi ke Rumah Ibadat diberi cenderamata berupa buku Kathakali (2009) manakala Nizha membuatkan catatan bagi berita yang akan ditulis dalam akhbar Kosmo! Baca laporan itu DI SINI.
.
Kami berbual mengenai hasil kunjungan ke enam rumah ibadat dalam masa sekitar tiga jam. Ternyata banyak perkara baru yang dipelajari dan diketahui. Banyak kemusykilan yang terjawab. Banyak ilmu ditimba.
.
Tuhan menciptakan kita berbeza-beza untuk kita saling mengenali. Konvoi ini ternyata mengeratkan silaturahim dan mewujudkan persaudaraan dalam kalangan peserta konvoi. Malah, membantu menghancurkan segala gambaran negatif yang diberikan golongan politikus dan beberapa media.
.
Kami juga bercadang mengadakan konvoi seperti ini pada masa hadapan. Nur Amin mencadangkan supaya sesiapa yang mahu turut serta dikenakan bayaran minimum dan bayaran itu perlu dibuat lebih awal. Cadangan yang amat baik bagi memastikan tidak ada individu yang pada mulanya bersetuju tetapi tidak muncul pada tarikh konvoi.
.
Lokasi bagi konvoi akan datang – mungkin pada akhir November 2010 – adalah di Petaling Jaya. Nur Amin menawarkan diri untuk mengenal pasti rumah-rumah ibadat yang terletak berdekatan dan sesuai dikunjungi. Maklumat Konvoi II ke Rumah Ibadat akan menyusul selepas Nur Amin, Aslambigai dan saya berunding dengan rumah-rumah ibadat terbabit. (BACA DI SINI)
.
Nantikan maklumat terkini di Facebook dan blog. Sementara itu, harap sudi menyebarkan catatan ini serta Foto Konvoi kepada rakan-rakan dan kaum keluarga supaya aura positif Konvoi ke Rumah Ibadat tersebar luas. Semoga usaha kecil-kecilan ini dirahmati.

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!