Sepanjang pengetahuan saya, Islam menuntut umatnya saling menghormati sesama manusia tanpa mengira kaum, agama, bangsa dan budaya; selagi pihak yang satu lagi tidak menentang atau memusuhi Islam.
Sebenarnya, demikian gambaran realiti yang saya lihat semasa kecil. Kini, hanya nostalgia kerana pergaulan yang benar-benar murni dan tanpa sebarang prasangka sudah semakin tiada. Kita sudah semakin mencari perbezaan untuk saling berjauhan; bukannya mencari persamaan untuk saling berkenalan.
Mujurlah ada lagi rakan-rakan pelbagai agama yang masih mengamalkan ajaran sebenar agama masing-masing dan menerima kepelbagaian agama, anutan, ajaran, budaya, adat, resam, kepercayaan, amalan dan seumpamanya sebagai perbezaan yang diciptakan Tuhan Yang Maha Kuasa untuk membantu kita saling mengenali.
Dalam cerpen “Kain Cita Bersulam Cinta,” saya melahirkan suasana dialog dan interaksi antara agama oleh sekumpulan remaja. Cerpen itu sebenarnya “harapan” saya untuk melihat kita duduk semeja dan saling mengenali, memahami, menghormati, bertolak-ansur serta menerima perbezaan yang wujud.
Malah, percayalah, apabila kita bersedia untuk duduk semeja dan memulakan perbualan dengan jujur, hati murni, tanpa prasangka, tanpa prejudis, tidak defensif, ikhlas, fikiran terbuka dan mengakui kuasa mutlak Tuhan ke atas hamba-hamba-Nya, barulah Tuhan akan membukakan mata hati kita untuk melihat dan menerima kepelbagaian yang dicipta-Nya.
Tambahan pula, dalam konteks jawatankuasa khas berhubung isu antara agama, tujuan asasnya adalah membuka laluan ke arah mewujudkan persefahaman dan perpaduan yang lebih murni antara masyarakat pelbagai agama di negara majmuk seperti Malaysia.
Malangnya, jika kita sudah pun menyediakan meriam, senapang, tombak dan keris sebelum bertemu, serta takut bayang-bayang sendiri, mustahil akan ada peluang untuk berdialog secara aman seperti yang pernah berlaku pada zaman Nabi Muhammad saw.