Wednesday, 19 May 2010

Dialog Antara Agama

Baru-baru ini, kecoh orang ramai bercakap mengenai penubuhan sebuah jawatankuasa khas berhubung isu antara agama. Sebaik sahaja mendengar mengenainya, saya melihat cahaya harapan untuk mewujudkan persefahaman yang sebenar dalam kalangan masyarakat pelbagai agama di Malaysia.
..

Segera saya teringat akan cerpen “Kain Cita Bersulam Cinta” yang termuat dalam Kathakali (2009).

..

Bagaimanapun, belum pun sempat saya menarik nafas lega dan memanjatkan syukur kepada Tuhan yang menciptakan kita berbeza-beza supaya kita dapat saling mengenali, sudah ada suara-suara bantahan terhadap jawatankuasa khas itu.

..

Saya hanya mampu menggeleng dengan penuh kesal apabila membaca pelbagai kenyataan negatif yang dilontarkan; seolah-olah beberapa pihak sudah membuat keputusan bahawa dialog antara agama pasti akan membawa keburukan kepada penganut Islam dan agama Islam sendiri.

..

Belum pun bermula sebarang “dialog” tetapi sudah ada pihak yang melahirkan kebimbangan bahawa penganut agama-agama lain akan membuat pelbagai tuntutan tidak munasabah.

..

Malah, ternyata ada pihak yang beranggapan bahawa jawatankuasa khas itu nanti khusus berbincang hal-hal berkaitan agama Islam! Saya tidak pasti di mana silapnya sehingga tokoh yang bukan calang-calang orang boleh mendapat gambaran yang amat negatif, lantas menutup terus pintu perbincangan.

..

Saya selalu suka mengambil contoh orang yang takut pada hantu dan bayang-bayang. Apabila minda sudah membayangkan hantu, maka hantu akan kelihatan pada setiap sudut yang dipandang. Setiap bayang-bayang yang bergerak atau statik akan menimbulkan ketakutan kepada orang itu. Perumpamaan ini terdapat dalam peribahasa Tamil, dan selalu dimuatkan dalam lirik lagu filem Tamil. Begitu juga dalam sajak Subramanya Bharati (1882-1921.

..

Sebaliknya, apabila kita ada keyakinan, keberanian dan jati diri yang kukuh, kita tidak perlu berasa takut pada bayang-bayang yang sebenarnya tidak mampu melakukan apa-apa.

..

Berbalik pada soal dialog antara agama, ada pihak yang mencari jalan mudah dengan memetik firman Allah (Ali Imran: 19) yang bermaksud, “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah adalah Islam” untuk terus menutup sebarang bentuk perbincangan, dialog dan perkongsian idea dengan penganut agama lain.

..

Saya beranggapan bahawa individu seperti itu amat kurang mengenai sifat dan ketokohan Nabi Muhammad saw, seperti yang saya sentuh dalam tulisan saya di ILUVISLAM (April 2010). Malah, tidak mustahil bahawa individu yang menentang sekeras-kerasnya sebarang dialog antara agama sebenarnya kurang memahami ajaran sebenar dalam Islam!

..

[Bersambung esok, 20 Mei 2010, 7:00 pagi - DI SINI]

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!