29 Apr 2010

Impikan Toleransi Zaman Nabi Muhammad SAW

Seperti yang saya suarakan dalam keluaran lalu, sejak kecil, ada beberapa frasa dan ungkapan yang biasa saya gunakan secara spontan; dengan penuh pemahaman terhadap konteks dan makna yang terkandung di dalamnya.
.
Selain daripada Insya-Allah, frasa Alhamdulillah pula biasa saya lafazkan secara spontan apabila ada saudara Islam menyampaikan berita gembira. Katakanlah, sebagai contoh, pelajar tadi datang menyampaikan berita mengenai kemenangannya dalam pertandingan pidato.
.
Alhamdulillah, tahniah,” jawab saya bagi menyatakan rasa syukur dan yakin bahawa pelajar itu menyampaikan segala puji kepada Tuhan yang mengizinkan (memungkinkan) kemenangannya.
.
Atau mungkinkah “Syukur. Tahniah. Segaja puji kepada Tuhan” paling sesuai? Atau “Tahniah!” sahaja kerana kita masih beranggapan orang bukan Islam tidak memahami konteks “segala pujian kepada Tuhan”?
.
Saya sering ditegur rakan-rakan beragama Islam apabila saya secara spontan (dan tanpa sebarang niat jahat) menggunakan frasa dan ungkapan di atas sewaktu berkomunikasi dengan rakan-rakan Islam. Khabarnya ungkapan-ungkapan itu hanya boleh diucapkan oleh umat Islam; khususnya sejak timbul isu berkaitan penggunaan kalimah “Allah” oleh Herald.
.
Saya tidak pasti setakat mana kebenaran kata-kata itu. Saya juga tidak tahu jika ada sebarang Hadis, fatwa atau undang-undang yang menjurus ke arah itu. Namun, sepanjang pemerhatian saya, demikian pendirian rakan-rakan beragama Islam.
.
Nampaknya isu penggunaan kalimah “Allah” oleh penerbit Herald ditafsir dalam konteks yang menyimpang jauh dalam soal penggunaan frasa-frasa seperti “Insya-Allah”, “Alhamdulillah”, “Masya-Allah” dan “Allahu-Alam” yang saya sebutkan ini.
.
Berdasarkan pemahaman saya sebagai seorang individu yang berfikiran terbuka dalam memahami dan menghormati kepelbagaian agama, isu sebenar adalah apabila kalimah “Allah” digunakan oleh Herald untuk merujuk kepada “Tuhan” (atau “God”) dalam konteks agama Kristian.
.
Berbeza pula dengan penggunaan frasa-frasa “Insya-Allah”, “Alhamdulillah”, “Masya-Allah” dan “Allahu-Alam” yang saya perkatakan di sini kerana frasa-frasa berkenaan digunakan oleh individu bukan Islam (seperti saya) apabila berbual dengan individu beragama Islam.
.
Lebih penting adalah bahawa frasa-frasa berkenaan ditujukan kepada individu beragama Islam dan digunakan dalam konteks pemahaman sepenuhnya tanpa sebarang niat jahat.
.
Dalam hal-hal berkaitan agama Islam, saya suka menggunakan Nabi Muhammad (SAW) sebagai model dan contoh paling unggul. Sikap dan sifat baginda menjadi “acuan” apabila saya bergaul dan berkomunikasi dengan saudara beragama Islam.
.
Masalah yang saya perhatikan sendiri sejak kanak-kanak adalah apabila sebilangan individu beragama Islam kurang “mengenali” Nabi Muhammad (SAW), lalu membuat andaian dan tafsiran dengan fikiran sempit dan jauh daripada ajaran sebenar Islam. Demikian pemerhatian ikhlas saya tanpa sebarang prasangka dan prejudis. Boleh sahaja dipertikaikan tetapi tidak boleh dinafikan.
.
Mungkin sahaja impian saya terlalu tinggi apabila saya katakan bahawa saya masih mengharapkan wujud perasaan saling memahami, saling mengenali, saling menghormati serta saling menerima perbezaan dalam konteks kepelbagaian agama di Malaysia; seperti yang saya percaya wujud pada zaman Nabi Muhammad (SAW) di Mekkah dan Madinah.
.
Sementara itu, apa pun perkembangan dan keputusan (fatwa) di Malaysia, mujurlah sejak dahulu, saya boleh menggunakan frasa dan ungkapan yang saya jelaskan di atas tanpa prejudis apabila berkomunikasi dengan saudara Islam di/dari luar negara.
.
Bekas pelajar saya yang berasal dari Pakistan, Bangladesh, India, Oman dan Arab Saudi sedikit pun tidak prejudis apabila saya menggunakan frasa-frasa seperti “Insya-Allah”, “Alhamdulillah”, “Masya-Allah” dan “Allahu-Alam” apabila berbual atau berkomunikasi bersama mereka menerusi e-mel.
.
Atau jika pun dibuat undang-undang atau peraturan (fatwa) yang menghalang orang bukan Islam daripada menggunakan frasa-frasa dan ungkapan berkenaan dalam mana-mana konteks, bolehkah suara hati manusia dihalang daripada mengucapkan frasa dan ungkapan berkenaan apabila bertemu saudara Islam? Allahu-Alam!
..
(Bahagian 2 “Suara Hati Saya” disiarkan dalam IluvIslam keluaran 23-29 April 2010)
..
Nota: Huraian saya mengenai "salam" boleh dibaca DI SINI. Perbincangan berkaitan kalimah "Allah" boleh dirujuk DI SINI.