Wednesday, 28 April 2010

Kisah Politik Thandira Nari

Saya sudah menaip semula manuskrip cerita rakyat India bertajuk Nari! Nari! untuk diterbitkan semula dalam edisi baru oleh sebuah penerbit berwibawa dan terkemuka.
.

Lima daripada sembilan cerita yang terkandung dalam buku itu menampilkan watak seekor serigala yang menggelar dirinya “Veera Nari” dan “Thandira Nari” – tetapi penghuni hutan sekadar memanggilnya “Nari”.

.

Terdapat juga cerita mengenai seekor lembu jelmaan bernama Kovil Maadu, seekor monyet yang suka menyanyi serta seekor cerpelai bernama Kiripulle.

.

Cerita rakyat ini sesuai untuk bacaan kanak-kanak berumur 10-12 tahun. Demikian sasaran saya sewaktu buku ini terbit kali pertama pada 1995 (ulang cetak pada 2000).

.

Bagaimanapun, sambil saya menaip semula manuskrip cerita rakyat India ini untuk terbitan edisi baru, saya melihat cerita-cerita ini tidak jauh berbeza dengan cerpen-cerpen berbentuk parodi yang saya hasilkan sejak tahun 1992.

.

Watak-watak binatang dalam kumpulan cerita rakyat ini ternyata hanya ikon dan penanda kepada watak-watak manusia yang ada di sekeliling kita; khususnya puak yang saya gelar “Badut Paul Lathic” dan selalu muncul dalam karya-karya faksyen yang saya suka hasilkan.

.

Maka, apabila edisi baru Nari! Nari! terbit nanti, saya tidak harus hanya menyasarkan publisiti dan promosi kepada khalayak kanak-kanak. Sebaliknya, khalayak dewasa yang berfikiran matang serta pemerhati politik tanah air juga perlu diambil kira.

.

Sementara kanak-kanak terhibur sambil menimba nilai-nilai murni dan mengenali budaya India, khalayak dewasa pula bolehlah meneliti sindiran politik yang tersirat di sebalik kisah yang tersurat.

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!