Wednesday, 17 March 2010

Nari! Nari!

Kumpulan Cerita Rakyat India, Nari! Nari! diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 1995 dan diulang cetak pada 2000.
.

Sambutan yang diterima bagi buku berkenaan – yang memuatkan sembilan cerita rakyat India yang saya ceritakan semula untuk bacaan kanak-kanak pelbagai kaum di Malaysia – ternyata mendapat sambutan amat menggalakkan.

.

Individu yang pernah berpeluang membaca Nari! Nari! tentu sudah remaja dan dewasa sekarang. Namun, saya percaya, generasi kanak-kanak sekarang masih sesuai membaca kisah-kisah yang terkandung dalam buku itu.

.

Bagaimanapun, buku berkenaan sudah tiada di pasaran. Saya sendiri hanya memiliki satu naskhah! Saya pergi sendiri ke Kompleks Dawama, Hulu Kelang untuk mencari saki-baki buku-buku saya, tetapi memang sudah tiada. Sila KLIK DI SINI untuk membaca kisah penuh.

.

Pada tahun 2008, saya menerbitkan Rudra Avatara, kumpulan cerpen untuk bacaan dewasa/umum. Pada tahun 2009, saya menerbitkan pula Kathakali, kumpulan cerpen untuk bacaan remaja.

.

Bagi tahun 2010, saya memang bercadang menerbitkan kumpulan cerpen kanak-kanak. Memang ada banyak cerita (cerpen dan cerita rakyat) yang saya tulis dan tersiar di majalah Dewan Pelajar dan e-baca, tetapi belum dibukukan. Begitu juga cerpen-cerpen yang dimuatkan Allahyarham Dr Othman Puteh dalam beberapa antologi yang beliau selenggarakan untuk Fajar Bakti.

.

Bagaimanapun, masalah kewangan menjadi hambatan. Tambahan pula, bagi buku cerita kanak-kanak, tentulah wajar ada ilustrasi; dan melibatkan kos jika saya mendapatkan khidmat pelukis.

.

Saya juga perlu menguruskan pengambilan semula hak penerbitan bagi karya-karya berkenaan.

.

Lalu, saya teringat bahawa hak cipta bagi Nari! Nari! memang sudah saya ambil semula daripada DBP dan disahkan melalui surat bertarikh 4 Disember 2009 yang saya terima pada 9 Disember 2009.

.

Maka, pada pagi 17 Mac 2010, saya segera menghubungi seorang rakan yang berkerja di sebuah penerbitan. Saya pergi bertemu beliau pada pukul 11:30 pagi.

.

Penerbit terbabit bersetuju untuk menerbitkan semula edisi baru Nari! Nari! tahun ini; jika diizinkan Tuhan.

.

Maka, saya memulakan promosi awal; sekurang-kurangnya supaya kawan-kawan dan saudara-mara saya yang ada anak, sepupu, anak saudara dan murid berumur 10-13 tahun boleh mula mengumpul wang sekitar RM10.00 untuk memiliki edisi baru Nari! Nari! apabila ia terbit nanti.

0 komen:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!