[Novel yang disiarkan secara bersiri di Free Malaysia Today, kini terbit dalam
versi bercetak iaitu edisi dimurnikan.]
Novel Panchayat: Edisi Khas yang saya
terbitkan semula dalam “edisi dimurnikan” dijangka siap pada minggu ini (24 Ogos 2012). Pasti sahaja saya amat gembira menunggu buku berkenaan siap dicetak
menjelang sambutan ulang tahun ke-55 kemerdekaan.
Panchayat adalah majlis timbang tara dalam amalan
hidup kaum India yang diwarisi daripada nenek-moyang di Benua Kecil India.
Tarafnya lebih kurang seperti mahkamah penghulu dalam kalangan orang Melayu, tetapi tidak sama.
Pada
asalnya, panchayat diwakili oleh lima (panca) orang warga tua
terhormat di kampung berkenaan. Akan tetapi, mengikut peredaran zaman, panchayat
mula dipengerusikan oleh seorang sahaja; biasanya ketua kampung.
Malah, amalan
panchayat sudah tiada dalam kalangan masyarakat India di Malaysia. Namun,
pasti ada sebab mengapa konsep panchayat
dihidupkan menerusi novel ini dan digambarkan sebagai berlaku di sebuah tempat
bernama Kubur Gajah pada tahun 1960.
Manuskrip novel ini pada mulanya diberi
kepada sebuah penerbit terkemuka tanah air iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Dr Othman Puteh (Allahyarham) selaku
penilai sudah meluluskan manuskrip novel ini untuk diterbitkan. Beliau
menyifatkan novel ini “umpama menonton filem Tamil yang dialih bahasa”.
Bagaimanapun, tidak lama kemudian, saya
diberitahu bahawa manuskrip itu sedang dinilai semula oleh DBP sebagai sebuah novel
kanak-kanak! Tidak setakat itu, kemudian manuskrip yang sama diserahkan pula
kepada seorang “ustaz” di penerbitan yang sama untuk dinilai semula bagi kali
yang entah keberapa.
Dan seperti yang sudah saya duga, manuskrip
yang saya serahkan itu “lesap” begitu sahaja. Entah apa alasan sebenar yang
menyebabkan novel berkenaan tidak diterbitkan oleh DBP.
Akhirnya, pada tahun 2002, saya membuat
keputusan menerbitkan sendiri novel ini supaya kisah yang terkandung di
dalamnya boleh sampai kepada khalayak pelbagai kaum.
Kini,
novel Panchayat yang pernah “lesap” semasa dinilai seorang “ustaz” di
sebuah penerbitan terkemuka tanah air “lahir” dalam edisi baru.
Edisi khas
ini sepatutnya diterbitkan pada 2011. Bagaimanapun, hambatan kewangan
membuatkan saya terpaksa menangguhkan sementara hasrat menerbitkan Panchayat: Edisi Khas.
Pada
waktu itu, kontroversi novel Interlok: Edisi Murid (2010) sedang
berlangsung. Dengan mengambil pengajaran daripada isu itu, saya membuka peluang
kepada sesiapa yang berminat untuk menjadi Editor Bersekutu dan membantu
kerja-kerja penyuntingan serta pemurnian novel Panchayat sebelum diterbitkan dalam edisi baru.
Pada 28
Jun 2012, saya menghubungi rakan-rakan dan kenalan menerusi Facebook, e-mel dan blog – BACA DI SINI – untuk memaklumkan bahawa
saya bercadang menerbitkan Panchayat:
Edisi Khas menggunakan wang yang diterima hasil sumbangan ikhlas berupa
tempahan awal.
Benar-benar
di luar dugaan, begitu ramai rakan-rakan dan kenalan tampil memberi sokongan
dengan membuat tempahan awal bagi novel ini yang belum pun dicetak. Malah belum
dibuat reka letak!
Sesungguhnya
saya amat terharu dengan sokongan yang diberikan oleh rakan-rakan dan kenalan
terbabit. Inilah sebenarnya konsep “masyarakat berkebajikan” di mana
rakan-rakan dan kenalan – bukan politikus; bukan jutawan – tampil memberi
sumbangan penuh ikhlas bagi merealisasikan impian saya menerbitkan Panchayat: Edisi Khas.
Sejumlah
individu yang “berhalangan” untuk menghulurkan bantuan kewangan tetap tampil
memberikan sokongan moral. Segala bentuk bantuan dan sokongan itu amatlah
bermakna dan tetap dihargai.
Harus
juga dinyatakan bahawa saya turut menghubungi beberapa politikus yang selalu
lantang bersuara; kononnya prihatin terhadap nasib golongan penulis. Saya
mengemukakan kertas cadangan mengenai penerbitan
novel ini dan meminta sumbangan ikhlas. Namun, seperti yang sudah dapat diduga,
para politikus terbabit yang lantang
bersuara di pentas terus senyap sehingga kini.
Wajar
juga dinyatakan bahawa novel edisi khas ini terbit di tengah-tengah suasana
puak tertentu merancakkan kempen menyebarkan pelbagai fitnah dan pembohongan
mengenai saya dan Kavyan. Kononnya, kami anti-Melayu.
Lalu,
para penerbit dan editor “dinasihatkan” supaya tidak menerbitkan karya-karya
Sasterawan Kavyan – CONTOH DI SINI. Usaha tidak bermoral,
tidak bermaruah, dan tidak beretika itu dilakukan puak tertentu yang sebenarnya
ternyata takut pada bayang-bayang sendiri.
Seperti dilaporkan di Free Malaysia Today (2 Julai 2012), memang ada puak tertentu menghubungi
beberapa penerbit dan menyebarkan fitnah dalam usaha menghalang penyiaran
karya-karya oleh ahli Kavyan sejak awal tahun 2012.
Kempen dilakukan puak
terbabit untuk melabel Kavyan sebagai “anti-Melayu” dan “anti-Islam” berikutan
kelantangan kami bersuara secara berani dan tegas dalam mencari penyelesaian
terhadap kontroversi novel Interlok: Edisi Murid (2010) serta perjuangan kami dalam membantu sekumpulan
penulis yang menjadi mangsa penipuan royalti teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran
Bahasa Malaysia (Komsas) sejak 2011.
Seperti yang saya tegaskan dalam sebuah
makalah di Free Malaysia Today (15 Ogos 2011),
Kavyan dan saya sudah lali dituduh sebagai “pengkhianat” dan “anti-Melayu”
semata-mata kerana kami berani menuntut serta memperjuangkan hak, kebenaran dan
keadilan tanpa tunduk pada desakan mana-mana pihak berkepentingan.
Puak
sama juga menggerakkan kempen “menyeru” orang ramai memboikot novel Panchayat: Edisi Khas dengan menyebarkan
fitnah bahawa kulit buku ini menampilkan gambar berhala. Memang lucu kerana
“kempen bodoh” itu dilakukan sementara lukisan bagi kulit novel ini belum pun
dibuat oleh seorang bekas pelajar saya.
Agak
menarik bahawa kisah puak yang “sakit mental” seperti itu juga sudah sedia
terakam kemas dalam novel ini; secara tersurat dan tersirat. Tidak mustahil
bahawa puak berkenaan sempat membaca Panchayat
(2002) untuk “belajar” sebelum melancarkan kempen “anti-Uthaya”!
Edisi
khas novel ini tebalnya hampir 300 halaman. Rakan-rakan dan
kenalan yang memberi sumbangan ikhlas berupa “tempahan awal” akan menerima
naskhah mereka – seperti dijanjikan – sebelum 31 Ogos 2012. [Senarai Penyumbang]
Saya
meletakkan label “18PL” kerana novel ini mengandungi
unsur-unsur politik, keagamaan, budaya, adat, seram, ganas, faksyen, dan
sebagainya yang mungkin mampu mengganggu ketenteraman jiwa dan fikiran
sesetengah puak.
(© Uthaya Sankar SB. Makalah ini adalah petikan “Jatiswaram” dalam
novel Panchayat: Edisi Khas dan
disiarkan di Free Malaysia Today pada 13 Ogos 2012.)