26 Nov 2025

Karya Malar Sepanjang Zaman

Kehadiran Ada Padang Ada Belalang (2024) sangat istimewa kerana buku ini memberi peluang kepada orang ramai, khasnya generasi muda, menikmati lima buah puisi, lapan buah cerpen, dan lima buah rencana yang dihasilkan oleh salah seorang pengarang kaum Cina yang masih belum diberi pengiktirafan sewajarnya dalam peta Sastera Kebangsaan di negara kita.

Kedudukan Lai Choy sebagai seorang pengarang amat unik kerana beliau mampu menghasilkan karya pelbagai bidang dalam Bahasa Malaysia dan Cina (Mandarin). Malah, beliau juga tokoh perkamusan yang penuh dedikasi dalam usaha menyumbang kepada penguasaan dan kecintaan generasi muda terhadap bahasa kebangsaan.

Sudah hampir sedekad saya mengenali Lai Choy yang nama sebenarnya Lai Yoke Choy dan menggunakan nama pena Bi Cheng. Beliau begitu fasih berkomunikasi menggunakan Bahasa Malaysia sehingga sukar untuk mempercayai beliau hanya mula mempelajari bahasa kebangsaan pada usia 18 tahun. Rasa kagum ini turut saya nyatakan dalam buku Dewi Pertiwi (2024).

Karya awal Lai Choy telah saya baca menerusi kumpulan cerpen Migrasi ke Selatan (1997). Cerpen yang dipilih menjadi judul buku itu mula-mula tersiar di majalah Dewan Sastera (September 1989) sebelum menerima pengiktirafan tinggi menerusi Hadiah Sastera Malaysia (1988/89).

Untuk mendapat tempat di majalah Dewan Sastera pada tahun 1970-an, 1980-an, dan 1990-an bukan perkara mudah. Ia merupakan era permulaan di mana Sastera Melayu yang rata-rata dikuasai penulis kaum Melayu mula bertukar menjadi Sastera Kebangsaan dengan turut menerima sumbangan besar dan bermakna daripada sekumpulan pengarang Bukan Melayu.

Lai Choy boleh dianggap antara penulis awal yang amat berjaya membuktikan penguasaan Bahasa Malaysia dan daya kreativiti yang mengagumkan. Hakikat ini dapat kita saksikan sendiri menerusi lima buah puisi dalam kumpulan ini yang pernah tersiar di majalah Dewan Sastera antara tahun 1991 dan 2023.

Salah satu daripada matlamat dan kriteria Sastera Kebangsaan ialah gambaran budaya dan realiti hidup masyarakat Bukan Melayu dalam karya yang ditulis menggunakan Bahasa Malaysia. Tugas dan tanggungjawab ini berjaya dipikul serta dilaksanakan dengan amat sempurna dan berkesan oleh Lai Choy sejak tahun 1971, iaitu sebaik sahaja konsep Sastera Kebangsaan diperkenalkan.

Apabila saya meneliti tulisan Lai Choy dalam Migrasi ke Selatan (1997), Kepingan Mozek (2016), dan dalam buku terbaharu ini, saya melihat tema yang universal dan malar (evergreen). Budaya dan kehidupan kaum Cina yang diketengahkan sama ada menerusi cerpen atau rencana masih merujuk kepada komuniti Cina di Malaysia.

Namun begitu, memandangkan aspek budaya ada kaitan dengan negara asal nenek moyang, maka ada rencana yang menyentuh hal-hal berkaitan negara China. Tindakan ini bukan bertujuan menggambarkan “kesetiaan” kaum Cina kepada negara China; sebaliknya membuktikan realiti identiti dan jati diri komuniti yang setia kepada tanah air tanpa melupakan akar dan leluhur.

Kelima-lima puisi yang disajikan dalam buku ini memiliki tema universal dengan erti kata tidak mewakili mana-mana kaum atau latar masa. Tema dan kisah yang disajikan dengan gaya bahasa yang amat mudah tetapi puitis boleh sahaja mewakili “suara hati” mana-mana individu tanpa mengira latar budaya, kaum, geografi, dan zaman.

Apabila masuk kepada penulisan cerpen, Lai Choy memanfaatkan sepenuhnya ruang dan peluang yang disediakan dalam kerangka “Sastera Kebangsaan” untuk menampilkan budaya, adat, masalah, dan pemikiran kaum Cina dalam bentuk cereka. Pada masa sama, kesemua cerpen berlatarkan Malaysia dan mendokumentasi realiti hidup masyarakat pelbagai kaum yang saling berinteraksi.

Cerpen “Berpisah” yang pernah tersiar di majalah Dewan Sastera (Mac 1971) mengetengahkan watak Cikgu Lim yang menjadi seorang guru di sebuah sekolah rakyat di kawasan kampung serta perkenalannya dengan Su Moi. Dinyatakan bahawa “di antara mereka terentang sederet tembok yang ghaib” kerana “kedudukan Lim (guru) tentulah lebih tinggi daripada gadis kampung ini (Su Moi)”.

Kisah dan isu yang diketengahkan amat universal. Dalam konteks negara kita, pembaca kaum Melayu dan India juga boleh menghayati konflik dan isu itu serta mengaitkannya dengan realiti hidup komuniti masing-masing. Perbezaan suku antara Cikgu Lim dan Su Moi juga menjadi penghalang untuk mereka bersatu. Maka, sebagai sebuah karya Sastera Kebangsaan, cerpen ini merakam isu-isu komuniti Cina untuk dibaca dan difahami masyarakat pelbagai kaum.

Watak Ah Fatt dalam cerpen “Dua Dunia” (Dewan Sastera, Oktober 1971) merupakan pengayuh beca roda tiga. Secara umum, kita beranggapan kaum Cina kaya-raya sejak turun-temurun. Maka, cerpen seperti ini memberi pembaca peluang untuk memahami realiti keperitan hidup dilalui kaum Cina yang miskin dan menjadi mangsa penindasan golongan kaya.

Cerpen “Pintu Belakang” yang pernah tersiar di majalah Dewan Masyarakat (Januari 1974) pula sebuah karya yang agak panjang. Apa yang menarik, walaupun ditulis dan mula-mula tersiar lima puluh tahun dahulu, permasalahan, isu, mesej, dan realiti hidup yang diketengahkan masih relevan pada hari ini.

Pertemuan dan interaksi watak “Aku” (Chua) dengan kanak-kanak berumur sebelas tahun, Yi-Ping, serta ibunya, Su-Ching, yang dipandang serong jiran tetangga. Aspek budaya serta kritikan masyarakat disajikan secara amat bersahaja sehingga pembaca mungkin mengalami dilema: Perlukah hubungan Chua dan Su-Ching diizinkan? Wajarkah Yi-Ping dibiarkan menjadi mangsa akibat permasalahan orang dewasa?

Semasa membaca cerpen ini, saya membayangkan watak-watak itu berinteraksi dan beraksi di layar. Betapa baik jika ada pihak berminat menjadikan “Pintu Belakang” sebuah drama atau filem!

Cerpen “Nilai Persahabatan” mengangkat kisah persahabatan antara watak Han Da dan Riduan. Walaupun tersiar di majalah Dewan Siswa (Ogos 1991) yang disasarkan kepada pembaca remaja, Lai Choy secara tersirat mengkritik situasi pendidikan di Malaysia yang masih membezakan kaum.

Pengarang cuba melakukan reformasi di mana Han Da cuba memohon biasiswa bagi Riduan daripada Persatuan Hokkien, manakala Riduan pula mengimpikan peluang bagi Han Da untuk turut belajar di sekolah berasrama penuh yang pada realiti hanya dikhaskan bagi pelajar Bumiputera.

Pengalaman Lai Choy sebagai guru turut dimanfaatkan untuk membantu pembaca mendekati dan memahami isu dihadapi golongan murid daripada keluarga miskin. Melalui cerpen “Biarkan Dia Tidur Sepuas-puasnya”, tidak dapat tidak, pembaca akan bersimpati dan berempati dengan watak Lan Yi Long.

Budaya, bahasa, dan permasalahan hidup komuniti Cina miskin diketengahkan secara bersahaja dalam cerpen itu. Gaya penulisan dan keprihatinan Lai Choy mengingatkan saya kepada Azizi Haji Abdullah yang turut mendokumentasi realiti keperitan hidup masyarakat miskin dalam beberapa karya.

Hubungan – atau kerenggangan hubungan dan komunikasi – antara kaum Cina dan India disajikan pula secara amat bersahaja menerusi cerpen “Lambat Lagi”. Watak “Aku” (seorang pesara guru; mungkin Lai Choy sendiri?) amat kecewa dan marah dengan sikap lelaki kaum India yang lewat menghantar surat khabar ke rumah. Namun, ada sebab mengapa hal itu berlaku.

Rencana berkaitan makna dan syarat di sebalik pemilihan nama anak dalam komuniti Cina pasti membuka mata pembaca untuk lebih memahami budaya kaum Cina. Walaupun rencana berkenaan mula-mula disiarkan di majalah Mastika pada Januari 1971, kandungannya masih sesuai dan relevan pada hari ini; termasuk bagi generasi muda kaum Cina sendiri.

[Dapatkan juga maklumat buku Titisan Madu Taoisme (2025) dan Sunzi: Strategi dan Taktik Ketenteraan (2025) yang diusahakan oleh Lai Choy.]

Lai Choy ternyata pengarang yang aktif, rajin, prolifik, dan bersemangat waja. Beliau memiliki sarjana muda sastera (1978), sarjana sastera (2011), dan sarjana kedoktoran (2017) di mana tesis beliau diterbitkan pula dalam bentuk buku untuk bacaan umum.

Beliau masih aktif menulis dan hal ini dapat dilihat menerusi rencana terkini berkiatan Yee Sang, Capgome, dan pemikiran masyarakat Cina yang turut dimuatkan dalam buku ini untuk membantu para pembaca menimba ilmu.

Secara keseluruhan, buku Ada Padang Ada Belalang merupakan dokumentasi penting yang wajar dimiliki dan dibaca masyarakat pelbagai kaum dan pelbagai peringkat umur. Buku seperti ini juga harus berada di semua perpustakaan negeri, desa, dan sekolah seluruh negara.

[Prakata ini ditulis oleh Uthaya Sankar SB untuk buku Ada Padang Ada Belalang (2024) dan disiarkan di blog bagi tujuan promosi.]