Taoisme
sebagai salah satu aliran falsafah yang berusia ribuan tahun memberi pengaruh besar
kepada pemikiran dan kehidupan masyarakat di seluruh dunia, termasuk di Malaysia.
Kitab Tao
Te Ching atau Dao De Jing oleh Lao Zi (Lao Tze) mengandungi
ajaran-ajaran yang mendalam serta menyeluruh mengenai keseimbangan,
kebijaksanaan, dan keharmonian alam semesta.
Pada
pandangan saya, kitab ini penting dalam konteks masyarakat majmuk Malaysia,
terutamanya dalam usaha membina sebuah bangsa yang maju, beradab, dan
berbudaya, serta mampu mengekalkan tradisi tanpa menimbulkan sebarang unsur
negatif.
Maka,
apabila Koh Yok Hwa, pengarah urusan Gemilang
Publishing Sdn Bhd, memaklumkan bahawa beliau akan menerbitkan terjemahan buku
ajaran Taoisme yang diusahakan oleh Lai Choy, saya amat teruja. [Tonton video di
sini]
Apabila
saya diberi pula peluang membaca manuskrip asal Titis
Madu Taoisme, saya menganggap peluang itu sebagai suatu
penghormatan besar.
Lai Choy
seorang pengkaji dan pengkamus yang prolifik. Buku beliau sebelum ini berjudul Kepingan Mozek (2016) dan Ada Padang Ada Belalang (2024). Tesis
sarjana muda (1978), sarjana sastera (2011), dan kedoktoran (2017) juga
diterbitkan dalam bentuk buku. (Baca lagi dalam buku Dewi
Pertiwi.)
Terkini,
warga emas ini yang lahir pada 1941 mengambil langkah yang amat bermakna dengan
menghasilkan Titis Madu Taoisme bagi
menghuraikan sepenuhnya falsafah Taoisme dengan mudah dan lengkap.
Usaha gigih
ini sangat penting kerana ia membuka ruang bagi masyarakat Malaysia, terutamanya
generasi muda, untuk memahami falsafah Taoisme yang tidak hanya terhad kepada
satu kaum atau agama, tetapi juga relevan untuk semua lapisan masyarakat tanpa
mengira latar belakang budaya atau agama.
Apa yang
dilakukan oleh Lai Choy dengan penuh gigih dan dedikasi adalah langkah yang
sangat wajar dalam konteks Malaysia yang berbilang kaum dan agama, di mana
pemahaman terhadap falsafah-falsafah luar dapat memperkaya nilai budaya dan
pemikiran rakyat.
Salah
satu ajaran utama dalam Taoisme yang berpeluang saya dalami menerusi tulisan
Lai Choy adalah konsep “Wu Wei”.
Dalam konteks
Bangsa Malaysia yang semakin maju, di mana tekanan hidup, persaingan ekonomi,
dan tuntutan masa sering kali mengundang tekanan dan ketegangan, ajaran ini
dapat memberi panduan tentang bagaimana kita dapat hidup dengan lebih tenang
dan harmoni.
Konsep “Wu
Wei” mengajar kita supaya tidak terburu-buru dalam membuat keputusan dan mengambil
tindakan. Sebaliknya, perlu mendekati masalah dengan kebijaksanaan dan
kesederhanaan. Penerangan Lai Choy dalam buku ini sangat menarik dan mudah
difahami.
Taoisme
juga menekankan pentingnya keharmonian antara manusia dengan alam, serta antara
individu dengan masyarakat.
Ajaran falsafah
yang ringkas tetapi amat mendalam ini memupuk rasa hormat dan saling bergantung
antara satu sama lain, serta menekankan bahawa kesejahteraan individu hanya
dapat dicapai apabila ada keharmonian dalam masyarakat.
Falsafah
Taoisme memberikan asas yang kukuh untuk memperkukuhkan perpaduan. Konsep menghormati
perbezaan, meraikan kepelbagaian, memahami dan menerima setiap lapisan
masyarakat adalah nilai yang sangat penting dalam membina sebuah negara bangsa
yang bersatu padu dan maju.
Pada pengamatan
saya menerusi Titis Madu Taoisme
tulisan Lai Choy, falsafah China itu mengajak manusia untuk hidup dalam
keharmonian; bukan sahaja dengan diri sendiri, tetapi juga dengan orang lain. Falsafah
hidup ini adalah sesuatu yang sangat relevan dalam membina sebuah negara yang
harmoni seperti Malaysia.
Lao Zi
juga mengingatkan tentang pentingnya menghargai tradisi dan kebijaksanaan yang
telah diwarisi zaman-berzaman. Dalam konteks Malaysia, ajaran ini mengingatkan
kita supaya tidak melupakan akar budaya kita walaupun kita bergerak maju ke hadapan.
Tradisi
adalah pelindung kepada identiti dan jati diri. Ia membentuk asas yang kukuh
untuk kita kekal berhubung dengan generasi terdahulu dan akan datang.
Dengan
menghargai tradisi yang berbeza-beza di Malaysia, kita dapat membina sebuah Bangsa
Malaysia yang lebih inklusif; yang tidak hanya memandang kepada kemajuan
material tetapi juga kepada pemeliharaan budaya yang kaya.
Hasil
penelitian teks yang diterjemah dan dimurnikan oleh Lai Choy, saya mendapati Taoisme
mengajar kita supaya tidak terlalu terikat kepada perubahan yang terlalu
drastik, sebaliknya bertenang dan mencari keseimbangan antara kemajuan dan
pelestarian warisan.
Nah!
Bukankah falsafah Taoisme daripada ribuan tahun dahulu sangat cocok dengan hidup
masyarakat pelbagai kaum, agama, budaya, dan tradisi di Malaysia?
Falsafah
Taoisme menekankan bahawa kekuatan yang sebenar datang daripada kelembutan dan
kebijaksanaan, bukan daripada kekerasan dan paksaan. Dalam konteks Malaysia,
ini adalah satu ajaran yang sangat penting.
Lao Zi menegaskan
bahawa kemajuan sebenar adalah kemajuan yang tidak menimbulkan kerosakan kepada
masyarakat, alam sekitar, atau nilai-nilai kemanusiaan.
Dengan
mengamalkan falsafah Taoisme, kita dapat membina sebuah negara yang maju dari
segi ekonomi dan teknologi, namun pada masa sama tidak mengorbankan kemanusiaan,
keharmonian, dan kebajikan rakyat pelbagai kaum.
Sebagaimana
dihuraikan dan diterangkan dengan jelas oleh Lai Choy dalam buku ini, Taoisme
menyajikan sebuah model pembangunan seimbang di mana kemajuan dan kebijaksanaan
berjalan seiring.
Saya
yakin bahawa falsafah Taoisme yang diasaskan dalam senario sosiopolitik negara
China pada sekitar tahun 450 Sebelum Masehi masih mampu memberi kita panduan untuk
hidup secara harmoni, menghargai tradisi, dan bergerak maju pada hari ini tanpa
perlu meninggalkan nilai-nilai kemanusiaan sejagat.
Dalam
konteks negara kita yang kaya dengan kepelbagaian budaya dan agama, buku Titis Madu Taoisme memberi kita satu lagi
asas kukuh untuk berusaha membina Bangsa Malaysia yang beradab, berbudaya, dan
mampu mencapai kemajuan tanpa menimbulkan unsur negatif yang menggugat
keharmonian.
[Ditulis oleh Uthaya Sankar SB dan disiarkan di akhbar Utusan Malaysia pada 25 Januari 2025. Hubungi e-mel uthayasb@gmail.com
atau WhatsApp
011-11411952 jika anda berminat membeli
buku Titis Madu Taoisme yang dijadualkan
terbit pada Mac 2025. Stok buku Ada Padang Ada Belalang juga masih ada.]