2 Feb 2025

Cerita Rakyat Bukan Sekadar Untuk Hiburan

Sejak mula menulis secara aktif pada 1992, saya turut gemar menulis cerita rakyat. Kebanyakan ialah cerita rakyat India yang pernah saya dengar daripada ibu semas kanak-kanak.

Buku Nari! Nari! mula-mula diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 1995 dan diulang cetak pada 2000. Kemudian, saya menerbitkan sendiri dalam edisi baharu pada 2015 dan dicetak semula pada 2023.

Satu lagi koleksi berjudul Munis dengan Harimau terbit pada 1996 dan sudah tiada dalam pasaran. Maka, saya mengolah semula manuskrip asal untuk diterbitkan dalam edisi baharu dengan judul Rani di Kuil Bhagavati.

Saya secara penuh sedar menerbitkn koleksi cerita rakyat India untuk bacaan kanak-kanak pelbagai kaum di Malaysia. Malah, golongan ibu bapa dan guru urut menggemarinya apabila dijadikan teks program “Temasya Bahasa” di sekolah.

Buku-buku ini bukan sahaja bertujuan menghiburkan pembaca, tetapi memberi pelbagai manfaat dalam mengembangkan imaginasi pembaca. Ia turut  membantu meningkatkan penguasaan bahasa kebangsaan dengan cara yang lebih santai, menarik, dan menghiburkan.

Cerita rakyat India yang disampaikan semula dalam Bahasa Malaysia ada banyak kepentingan, terutamanya dalam konteks negara Malaysia yang kaya dengan kepelbagaian kaum dan budaya.

Salah satu manfaat utama adalah memberi pembaca pemahaman yang lebih mendalam tentang budaya dan tradisi kaum India.

Saya optimis bahawa Malaysia memerlukan lebih banyak ruang untuk saling memahami dan menghormati warisan budaya sesama kita. Cerita rakyat India mengandungi unsur-unsur yang mencerminkan nilai dan kepercayaan budaya India.

Melalui cerita-cerita ini, kanak-kanak dari pelbagai latar belakang dapat belajar tentang dunia yang berbeza serta meningkatkan rasa hormat terhadap kepelbagaian budaya yang ada di sekeliling.

Hal ini amat penting untuk membentuk generasi muda yang lebih inklusif dan bersatu padu tanpa dipisah-pisah oleh perbezaan kaum, agama, dan asal usul.

Penggunaan bahasa kebangsaan dalam penceritaan semula kisah-kisah ini terbukti memberi peluang kepada pembaca, terutama kanak-kanak di sekolah Tamil dan Cina, menguasai bahasa kedua dengan cara yang lebih menarik.

Melalui cerita-cerita yang disampaikan dengan bahasa yang mudah difahami, pembaca dapat memperkaya kosa kata dan mempelajari struktur bahasa dengan cara yang semula jadi.

Cerita rakyat ini diceritakan semula dengan mengekalkan unsur-unsur budaya komuniti India, maka dapat menarik minat pembaca untuk terus membaca dan memahami hal-hal baharu secara santai.

Kelebihan lain ialah apabila cerita-cerita rakyat India diceritakan dalam bahasa kebangsaan, ia memudahkan kanak-kanak kaum India di Malaysia merasai kekayaan Bahasa Malaysia dan mengaitkannya dengan budaya yang mereka sudah kenali.

Buku seperti Nari! Nari! dan Rani di Kuil Bhagavati juga menjadi contoh bagaimana cerita tradisional boleh disampaikan dalam gaya bahasa moden. Maka, membantu kanak-kanak bercerita tentang budaya dan tradisi menggunakan bahasa kebangsaan dalam kehidupan sehari-hari.

[Baca juga — “Usaha Memupuk Minat Membaca Tidak Boleh Berhenti” dan “Menarik Minat Kanak-kanak Membaca”]

Cerita rakyat India biasanya kaya dengan elemen mitos, dewa-dewi, dan watak-watak luar biasa yang dapat merangsang imaginasi pembaca muda. Kisah-kisah seperti ini bukan sahaja menghiburkan tetapi juga membuka pintu kepada dunia khayalan dan kreativiti tanpa batasan.

Kanak-kanak akan terdedah kepada cerita-cerita yang mengandungi unsur-unsur magis, raksasa dan binatang, serta konflik antara kebaikan dan kejahatan yang pastinya dapat mengembangkan daya imaginasi.

Dalam dunia yang semakin dipenuhi dengan teknologi dan media sosial, cerita rakyat yang membawa unsur mitos dan fantasi memberikan pembaca satu pengalaman berbeza iaitu membaca dengan imaginasi tidak terhad.

Cerita-cerita yang penuh dengan moral dan pengajaran juga memberi kanak-kanak peluang berfikir secara kritis tentang nilai-nilai baik dan buruk. Impian dan harapan saya juga adalah mahu memberi mereka peluang membayangkan dunia yang lebih luas daripada hanya dunia fizikal yang dikenali.

Setiap cerita rakyat mempunyai moral tersendiri. Ajaran moral ini bukan sahaja relevan dalam budaya India tetapi sejajar dengan nilai-nilai universal yang boleh diterima oleh semua kaum di Malaysia.

Aspek ini juga sentiasa diambil kira secara penuh sedar apabila saya menyajikan cerita rakyat India untuk bacaan kanak-kanak Malaysia.

Bagi kanak-kanak, moral yang disampaikan melalui cerita rakyat akan membimbing mereka memahami bahawa setiap tindakan yang baik akan membawa kebaikan, manakala tindakan buruk boleh mendatangkan akibat buruk.

Dengan cara ini, mereka dapat belajar tentang pilihan yang mereka buat dalam kehidupan seharian dan bagaimana harus memilih jalan yang benar dan penuh dengan nilai-nilai murni dalam hidup.

Malaysia sebuah negara yang sangat kaya dengan kepelbagaian etnik dan budaya. Dalam konteks ini, buku Rani di Kuil Bhagavati turut mampu memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan keharmonian antara kaum.

Dengan menceritakan kisah-kisah daripada tradisi India, buku ini bukan sahaja memberi pemahaman lebih mendalam tentang budaya India tetapi juga memperkenalkan pembaca kepada pentingnya menghormati dan menghargai budaya lain.

Dalam dunia yang semakin terpisah akibat perbezaan kaum, pengenalan kepada cerita rakyat daripada pelbagai budaya masyarakat di Malaysia adalah satu langkah positif ke arah pemahaman dan perpaduan demi melahirkan Bangsa Malaysia yang diimpikan.

Saya menganggap Rani di Kuil Bhagavati sebagai satu lagi sumbangan saya dalam usaha memupuk minat membaca serta memartabatkan Bahasa Malaysia.

Buku ini bukan sahaja menyediakan hiburan yang mendidik tetapi juga mengembangkan pemahaman budaya, bahasa, dan moral dalam kalangan pembaca muda.

Melalui pembacaan buku seperti Nari! Nari! dan Rani di Kuil Bhagavati, kanak-kanak akan lebih menghargai kepelbagaian budaya yang wujud di negara kita.

Mereka juga berpeluang belajar nilai-nilai positif yang mampu membentuk masyarakat lebih harmoni dan penuh kasih sayang.

[Rencana ini ditulis oleh Uthaya Sankar SB pada 30 Januari 2025 dan disiarkan di Utusan Malaysia pada 1 Februari 2025. Semak stok Nari! Nari!, Rani di Kuil Bhagavathi, serta pelbagai judul lain di sini.]