Usaha
menterjemah karya pelbagai bahasa oleh pengarang tempatan kepada Bahasa
Malaysia memang dialu-alukan dan sangat penting. Masyarakat majmuk tentu berhak
dan perlu tahu apa yang disajikan dalam karya bahasa Tamil dan Cina oleh penulis
di negara ini.
[Berkaitan –
Sastera Mahua Angkat Kisah Kaum Cina dan Usaha Mengangkat Martabat, Sumbangan Penulis Tamil]
Dalam
situasi ini, Persatuan Penterjemahan dan Penulisan Kreatif Malaysia
(PERSPEKTIF) yang ditubuhkan pada 1986 terus giat memainkan peranan. Apa yang
menarik, persatuan ini memikul tanggungjawab menterjemah karya bahasa Cina
kepada bahasa kebangsaan.
Untuk
rekod, bahasa Mandarin ialah bahasa formal yang diajar di sekolah manakala
terdapat juga dialek seperti Hokkien, Hakka, Teochew, dan Kantonis dalam
kalangan orang Cina.
Pada 25
September 2025, saya mengatur pertemuan dengan Lim Chuan Boon yang pernah menjadi
setiausaha PERSPEKTIF (1995-2001) sebelum dipilih menjadi naib presiden dan
kini diberi mandat sebagai presiden persatuan itu.
Saya memberitahunya
bahawa saya mengenali karya sastera Cina tempatan menerusi antologi terbitan
PERSPEKTIF seperti Angkatan Ini (1990),
Gadis Dalam Gambar (1994), Dalam Hujan Renyai (2000), Impian di Pelabuhan (2004) dan Dermawan (2023).
“Setakat
ini kami sudah berjaya mengadakan banyak aktiviti terjemahan dan penerbitan.
PERSPEKTIF juga diundang ke Mesyuarat Majlis Bahasa dan Sastera Pelbagai Kaum
pada 6 Mac 2025. Kami terlibat dalam Seminar Antarabangsa Terjemahan, Bahasa
dan Budaya Melayu-China di Beijing pada 22 Mei 2025. Manakala pada Julai 2025,
kami menganjurkan bengkel terjemahan untuk mengasah bakat baharu,” katanya.
Walaupun
saya mengikuti perkembangan PERSPEKTIF sejak 1990-an, ternyata apa yang saya
tahu hanyalah sedikit berbanding begitu banyak kejayaan dicapai persatuan ini
dalam bidang penerbitan dan penganjuran aktiviti.
Misalnya,
saya amat teruja apabila dihadiahkan koleksi tesis kajian ilmiah yang
diterbitkan dalam bentuk buku. Buku Perkembangan
Puisi Mahua Baru (2022) dan Perkembangan
Cerpen Mahua Baru (2022) menjadi pelengkap kepada Perkembangan Kesusasteraan Mahua Moden (2000) dan Cerpen Mahua dan Cerpen Melayu: Suatu
Perbandingan (2006) yang ada dalam koleksi saya.
Lim
Chuan Boon menjelaskan, istilah ‘Mahua’ ialah singkatan kepada ‘Malaysian
Tionghua’ dan sastera Mahua merujuk khusus kepada karya bahasa Cina dihasilkan
komuniti Cina di Malaysia. Karya-karya ini lebih bermakna apabila diterjemah
pula kepada Bahasa Malaysia supaya dapat dinikmati
khalayak pelbagai kaum.
PERSPEKTIF
ternyata tidak mahu sumbangan penulis kaum Cina dilupakan dan hilang ditelan
zaman. Maka, lahirlah juga tesis yang dijadikan buku seperti Perkembangan Esei Mahua (2024), Perkembangan Teori dan Kritik Sastera Mahua
(2024) serta Sumbangan Suplemen Akhbar
dan Majalah Tionghua Terhadap Perkembangan Kesusasteraan Mahua Baru (2024).
Sementara
saya membelek buku-buku berkenaan dengan penuh minat dan keterujaan, Lim Chuan
Boon menghulurkan pula dua lagi tesis yang diterbitkan dengan judul Selayang Pandang Tema-tema Karya
Kesusasteraan Mahua Moden (2025) dan Selayang
Pandang Penulis-penulis Mahua dan Karya-karyanya (2025).
“Ketujuh-tujuh
tesis yang kami sunting dan terbitkan ini berkaitan sastera Mahua dan mencakup
semua genre penulisan,” beliau memaklumkan dengan penuh bangga.
PERSPEKTIF
turut mengatur Pertandingan Forum Pelajar Peringkat Kebangsaan di Kota
Kinabalu, Sabah pada 1 Oktober 2025. Ia merupakan program kerjasama sejak 1992
melibatkan PERSPEKTIF, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Lembaga Pengurus Sekolah
Cina Malaysia (Dong Zong), dan Persatuan Kebudayaan Han Malaysia.
“Bagi
saya, PERSPEKTIF menjadi jambatan yang menghubungkan kaum Cina dengan kaum-kaum
lain di Malaysia dan bahasa kebangsaan menjadi medium yang mewujudkan interaksi
positif menerusi terjemahan. Maka, kami turut menyumbang kepada persefahaman
dan perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum,” Lim Chuan Boon mengulas
dengan optimis.
Turut
terlibat dalam perbualan kami di Restoran Anak Baba, Brickfields, Kuala Lumpur
ialah setiausaha PERSPEKTIF, Liau Lay San dan penolongnya, Lee Hao Jie.
Mereka ternyata berusaha keras mengangkat dan mempromosi sastera Mahua pada
peringkat kebangsaan menerusi terjemahan.
“Setakat
ini kami hanya ada 53 orang ahli, manakala individu yang benar-benar aktif mungkin
kurang daripada sepuluh orang. Hal ini mungkin kerana bidang sastera dan
terjemahan bukan satu bidang yang menarik dan menguntungkan,” ujar Lim Chuan
Boon sambil menegaskan, PERSPEKTIF akan terus memikul tugas dan tanggungjawab
mempromosi sastera Mahua.
Persatuan
ini tetap aktif walaupun menghadapi kesempitan dari segi kewangan. Antara pihak
yang sentiasa membantu ialah graduan Jabatan Pengajian Melayu, Foon Yew yang
kini dinaik taraf menjadi Kolej Universiti Selatan di Johor Bahru.
“Ramai
graduan yang kini berjaya dalam perniagaan dan sudi memberi sumbangan dana. Kalau
tidak, PERSPEKTIF sukar menjalankan aktiviti kerana tidak ada apa-apa sokongan
kewangan daripada kerajaan,” Lim Chuan Boon memaklumkan sambil mengucapkan
terima kasih kepada para ahli jawatankuasa yang berkhidmat secara sukarela.
Persatuan
ini ada dana penerbitan yang dikhususkan untuk menghasilkan buku berkaitan
sastera Mahua. Apabila tesis diterbitkan dalam bentuk buku, maka dikirim ke institusi
pengajian tinggi yang berminat.
“Harapan
kami agar buku-buku ini menjadi bahan rujukan di universiti selain mencetuskan
minat siswa-siswi melakukan kajian lebih mendalam berkaitan sastera Mahua dan
sumbangan penulis Cina tempatan,” katanya.
Pada
masa sama, Lim Chuan Boon berharap, perpustakaan, agensi kerajaan, dan jabatan-jabatan
di seluruh negara turut memberi sokongan dengan membeli buku-buku yang
diterbitkan.
Generasi
muda pula diharap berminat menyertai PERSPEKTIF dan meneruskan usaha terjemahan
karya bermutu. Selain daripada itu, perlu ada juga pertemuan dan interaksi antara
penulis pelbagai kaum dan bahasa di negara ini.
Menyedari
hal ini, PERSPEKTIF dan Persatuan Penulis-penulis Tamil Malaysia
(MTWA) bekerjasama dengan Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan)
menganjurkan Pertemuan
Penulis Pelbagai Kaum di Brickfields pada 25 Oktober 2025.
[Rencana
ini ditulis oleh Uthaya Sankar SB berdasarkan wawancara
pada 25 September 2025 dan disiarkan di akhbar Utusan Malaysia pada 18 Oktober 2025
dengan tajuk “Daripada Karya Bahasa Cina Kepada Bahasa Kebangsaan”.]




