29 Oct 2025

Mandala Bicara Bukan Sekadar Buku


Perjalanan pulang saya dari Tiruchirappalli (Tamil Nadu, India) ke Kuala Lumpur mengambil masa hampir empat jam. Seperti kebiasaan, saya manfaatkan masa itu dengan membaca. Kali ini buku bertajuk Mandala Bicara karya penulis yang amat saya kagumi, Uthaya Sankar SB.

Ada yang pernah bertanya, “Kenapa kau begitu taksub dengan penulis ini?”

Izinkan saya kongsi sedikit kisah hidup kerana jawapannya datang daripada perjalanan peribadi saya sendiri.


Satu Cabaran, Satu Titik Perubahan

Ketika berumur 12 tahun, saya masih ingat satu peristiwa yang benar-benar mengubah cara saya berfikir. Seorang saudara datang berkunjung ke rumah dan, dengan nada sinis, dia berkata:

“Sebagai seorang Tamil, kamu patut malu sebab tak boleh baca atau tulis Tamil.”

Saya boleh saja menjawab dengan mudah, “Saya dari sekolah kebangsaan, tak belajar bahasa Tamil.” Selesai cerita. Tapi itu bukan gaya saya.

Sebaliknya, saya jadikan kata-kata itu satu cabaran.

“Baiklah, saya akan buktikan yang saya boleh.”

Dalam masa 24 jam, saya belajar menulis dan membaca Tamil. Ya, 24 jam!

Terima kasih kepada bunting (poster, gegantung) abjad Tamil yang saya beli semasa Thaipusam, yang selama ini hanya tergantung mengumpul habuk di dinding. Hari itu, ia menjadi senjata saya.

Saya tidak sedar ketika itu, tetapi pengalaman itu membentuk diri saya hari ini; pantang dicabar, dan tekad untuk mencapai sesuatu yang mungkin nampak mustahil.


Mengapa Uthaya Sankar SB?

Apabila saya membaca Malaiur Manikam, saya terasa seperti disapa oleh gaya tulisan yang luar biasa, tajam, jujur, dan berani mencabar minda. Saya terus terpaut.

Ada orang Melayu menuduh karya beliau mengancam Islam, dan ada orang India pula menuduh beliau mengancam Hindu. Saya hanya mampu tersenyum.

Bagaimana satu tulisan boleh dilihat bertentangan oleh dua pihak berbeza?

Bagi saya, itu tandanya beliau menulis kebenaran yang mencabar zon selesa kita semua.

Saya percaya apabila minda kita tercabar, jangan lari. Tambahkan ilmu. Fahami sudut pandang orang lain. Jangan cepat “koyak” hanya kerana kekurangan pengetahuan dan keyakinan diri. Maka, saya terus membaca karya beliau, satu demi satu, sebagai latihan minda dan jiwa.


Mandala Bicara — Cermin Hati dan Akal

Buku Mandala Bicara membawa saya ke pelbagai dimensi emosi. Ada bab yang buat saya tersenyum, ada yang hampir membuat saya menangis. Ada ketika saya terdiam, merenung jauh tentang makna, tentang hidup, tentang manusia.

Buku ini membuka mata hati saya. Ia mengingatkan saya bahawa semakin banyak yang kita tahu, semakin kita sedar betapa banyak lagi yang kita belum tahu.

Kata Avvaiyar:

“Katrathu kai mann alavu, kallathathu ulaga alavu.”

[கற்றது கை மண்ணளவு, கல்லாதது உலக அளவு]

(Apa yang kita tahu hanyalah segenggam tanah, apa yang kita belum tahu seluas dunia.)


Akhir Kata

Mandala Bicara bukan sekadar buku. Ia sebuah perjalanan, satu perbualan antara penulis, pembaca, dan hati sendiri.

Dan bagi saya, perjalanan itu baru sahaja bermula.

(Komen dan reaksi oleh Dr. Siva Prakash (Siva Prakash Ramasamy) di Facebook pada 29 Oktober 2025 – sumber dan sumber. Didokumentasi di sini dengan izin.)