Taiping, April
2019
Aku membeli buku itu dengan harga RM18 sahaja
di sebuah kedai buku terpakai di bandar. Kulitnya sudah kekuningan, beberapa
halaman mempunyai kesan lipatan, dan tulisan pensel yang hampir tidak
kelihatan.
Judulnya agak panjang: The Babur-nama
in English (Memoirs of Babur), terjemahan Annette Susannah Beveridge dan
diterbitkan semula dalam edisi murah pada tahun 1997.
Pada halaman judul tercatat bahawa buku
itu mula-mula diterjemahkan daripada teks Turki asal pada tahun 1922. Aku
tertarik dengan keterangan tersebut. Selama ini aku membaca sejarah India
melalui buku teks, nota guru, dan beberapa artikel yang ditemui di Internet.
Tidak pernah terlintas bahawa aku akan memiliki autobiografi seorang maharaja
Mughal yang ditulis dalam bahasa Turki.
Dalam silibus Sejarah Islam
Semester 2 di kolej tingkatan enam, nama Babur disebut secara ringkas dalam
subtopik Sistem Pemerintahan Pusat dan Wilayah bagi kerajaan Mughal pada abad
ke-16 hingga ke-17. Guru kami memuji kehebatan Zahir-ud-Din Muhammad Babur
sebagai pengasas Dinasti Mughal pada tahun 1526 selepas mengalahkan Sultan
Ibrahim Lodi dalam Perang Panipat.
Aku masih ingat cara Cikgu Solehah Yaacob
menggerakkan tangan ketika menerangkan kemenangan itu. Babur digambarkan
sebagai panglima yang mempunyai strategi ketenteraan hebat, keberanian luar
biasa, dan kemampuan menguasai wilayah. Namun, perbincangan tentang sistem
pemerintahan lebih banyak tertumpu kepada Akbar dan Aurangzeb. Babur hanya
muncul sebagai nama yang membuka pintu kepada sebuah empayar besar.
Aku mahu mengetahui lelaki di sebalik
nama itu. Bagaimana seorang putera Asia Tengah mengumpulkan tentera, kehilangan
wilayah, merebut semula kerajaan, dan akhirnya menyeberangi sempadan India?
Bagaimana beliau menguruskan kekayaan, pegawai, wilayah, dan keturunan? Aku
menyangka autobiografi itu akan dipenuhi peperangan, perjanjian politik dan
kemenangan.
Pada petang itu, aku membaca tentang
Farghana, Samarkand, Andijan, dan Kabul. Nama tempat yang sukar disebut itu
mula menjadi akrab. Babur bukan pemerintah yang sentiasa menang. Beliau pernah
kehilangan kerajaan, ditinggalkan pengikut, dan terpaksa bergantung pada
bantuan saudara-mara. Kadangkala tenteranya sendiri memberontak. Ada masa
beliau hanya mempunyai beberapa ratus orang yang masih setia.
Aku kagum dengan ketabahannya. Namun, hal
yang lebih menarik ialah cara beliau menulis. Babur mencatatkan keadaan sungai,
buah-buahan, gunung, haiwan, cuaca, dan perangai manusia. Beliau bukan sekadar
mahu memberitahu siapa yang menang dalam peperangan. Beliau mahu pembaca
mengetahui apa yang dilihatnya.
Di luar kedai yang menjual buku-buku
terpakai, hujan petang mula turun. Aku mengalihkan buku dari tepi tingkap.
Ketika menyelak halaman seterusnya, mata tertancap pada satu nama yang tidak
pernah disebut oleh guru Sejarah Islam.
Baburi. Aku membacanya sekali lagi.
Kemudian sekali lagi.
Seorang pemuda bernama Baburi. Seorang
lelaki yang membuatkan Maharaja Babur mabuk cinta!
Aku menyangka mungkin ada kesilapan
terjemahan. Namun, perenggan berikutnya lebih mengejutkan. Babur sendiri
mengaku bahawa beliau tidak pernah mengalami perasaan cinta seperti itu sebelum
ini.
Aku berhenti membaca. Hujan semakin
lebat, namun fikiranku sudah berada jauh dari Taiping.
Bagaimana seorang pemerintah Islam yang
dipuji kerana kehebatan peperangan boleh menulis tentang cinta terhadap seorang
lelaki?
Aku menyelak halaman itu semula. Kali ini
aku membaca perlahan-lahan.
* * *
Khujand, Asia
Tengah, April 1500
Aku baru berusia tujuh belas tahun.
Perjanjian politik antara keluarga kami sudah menentukan bahawa Aisha Sultan
Begum akan menjadi isteriku. Beliau ialah puteri kepada bapa saudara sebelah
ibuku, Sultan Ahmad Mirza. Perkahwinan itu membawa hubungan kekeluargaan dan
kepentingan politik yang tidak boleh dipisahkan.
Aku tidak membantah. Aku juga tidak ada
alasan untuk membantah. Sebagai putera yang sedang berusaha mempertahankan
wilayah, perkahwinan bukan urusan perasaan semata-mata. Ada keluarga yang perlu
disatukan, ada pengikut yang perlu diyakinkan, dan ada kepentingan yang perlu
dipelihara.
Aisha sudah berada di Khujand sejak bulan
Syaaban. Namun, aku tidak tahu bagaimana hendak mendekatinya. Setiap kali
diberitahu bahawa isteriku menunggu, aku mencari alasan untuk menangguhkan
kunjungan. Sepuluh hari berlalu. Kadangkala lima belas hari. Pernah juga dua
puluh hari sebelum aku menjenguknya.
Ibuku mula hilang sabar. Beliau
menghantar orang memanggilku. Ada kalanya beliau sendiri menyuruhku pergi
menemui Aisha. Aku menurut, namun pertemuan kami berdua tidak pernah menjadi intim
seperti yang diharapkan. Aku duduk, bertanya beberapa perkara, kemudian mencari
alasan untuk beredar. … (bersambung)
[Petikan cerpen ini merupakan draf awal
manuskrip cerpen yang sedang diusahakan. © Uthaya
Sankar SB. Harap maklum bahawa anda meneliti sebarang paparan di
mana-mana blog dan media sosial kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]



No comments:
Post a Comment
Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!