1 May 2022

50 Tahun Berusaha Kenali Islam


NAMA penulis UTHAYA SANKAR SB bukan lagi asing bagi mereka yang berminat dengan teknik penulisan parodi, satira dan fiksyen yang menyentuh perkembangan politik negara dan pelbagai isu semasa.

Walaupun sering dikecam pelbagai pihak yang tidak senang dengan kelantangannya bersuara dan disebabkan ideanya yang melawan arus, beliau tetap berfikiran terbuka dan menerima pendapat berbeza sekiranya ia berasaskan ilmu pengetahuan dan bukannya emosi.

Dalam temu bual dengan wartawan Utusan Malaysia, NIZAM YATIM di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini [20 April 2022], beliau yang hampir 50 tahun mengkaji Islam yakin agama itu dapat disebarkan kepada lebih banyak pihak sekiranya ia disampaikan dengan kaedah dakwah yang betul.

Utusan: Sejak bila tertarik mengkaji Islam?

Uthaya: Saya berketurunan Malayali (nenek moyang dari Kerala, India) terdedah dengan Islam sejak kecil ketika membesar di Aulong Lama, Taiping, Perak, sekitar 1970-an. Saya membesar dengan rakan-rakan berbilang kaum dan agama, temasuk Islam.

Berdekatan kawasan perumahan saya ada surau. Kami tahu orang Islam sembahyang dan menyembah Allah. Keluarga saya menerima perkara ini dan tiada sentimen terhadap mereka yang berlainan agama.

Saya dan adik-beradik pergi ke surau dan bercampur gaul dengan orang Islam sebab kita rasa seronok untuk belajar kerana tidak ada usaha-usaha untuk berdakwah ketika itu supaya kami memeluk Islam.

Selepas itu, saya banyak membaca termasuk membeli al-Quran dan enam kitab hadis yang utama iaitu Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Abi Daud, Sunan atTirmizi, Sunan An-Nasai dan Sunan Ibnu Majah.

Saya juga belajar dan tahu bahawa hadis-hadis perlu dipastikan sahih dengan mematuhi empat syarat utama iaitu memastikan siapa perawi (orang yang meriwayatkan hadis) pertama, perawi terakhir, adakah disebut sabda Muhammad dan nombor hadis.

Malangnya, segala buku dan kitab mengenai Islam musnah ketika kediaman saya di Taman Sri Muda, Shah Alam dilanda banjir pada Disember 2021. [kisah penuh di sini]

Kenapa baca mengenai Islam?

Walaupun dilahirkan sebagai seorang Hindu dan dalam kad pengenalan dipaparkan beragama Hindu, saya tidak mahu menjadi seorang yang hanya mempercayai ajaran Hindu. Bagi saya [sebagai pengamal multifaith], itu tidak adil. [BerkaitanThe Man Behind Malaysia’s Interfaith Tours]


Pernah diajak memeluk Islam?

Ya, setelah saya buat kenyataan bahawa satu-satunya tokoh pemimpin Islam paling saya sanjung ialah Nabi Muhammad. Sebab baca pasal baginda dan memang saya kagum, bukan sahaja dari segi menyebar Islam tapi sisi lain seperti sebagai pemimpin komuniti dan keluarga serta suami yang boleh berlaku adil. Saya juga pernah menulis artikel menyatakan kita kena belajar daripada kisah hidup Nabi Muhammad. [contoh artikel]

Ajakan supaya saya memeluk Islam adalah bersifat antidakwah. Niat mereka untuk berdakwah kepada bukan Islam adalah baik tetapi pendekatan adalah salah.

Sepatutnya pada peringkat permulaan tidak boleh suruh bukan Islam memeluk agama itu. Tidak boleh apabila seseorang memberi gambaran dia kagum atau cuba mengenali Nabi Muhammad, terus suruh dia masuk Islam.


Sepatutnya, galak terlebih dahulu dia baca pautan di internet dan buku-buku agama Islam. Sebaiknya, sediakan persekitaran kondusif bagi bukan Islam berasa lebih selesa dan diterima untuk lebih mengenali Islam, itu sebenarnya dakwah.

Kita juga kena faham bila ada orang bertanya, bukan bermakna dia berminat dengan agama itu; sebaliknya hanya kerana hendak tahu.

Yang penting, untuk memupuk perpaduan ialah kita kena tahu (agama lain). Bila tidak tahu, itulah yang timbul masalah, kita akan buat andaian yang pelbagai.

Difahamkan saudara pernah digari dan bermalam di lokap susulan hantaran dalam media sosial pada 6 April 2022?

Ya. Saya disoal siasat semata-mata kerana memetik hadis daripada Sahih Bukhari yang mungkin jarang didengar oleh orang Islam sendiri. Saya disiasat di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan (menyebabkan suasana tidak harmoni atas alasan agama) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian).


Saya ingin tegaskan, saya tiada niat menghina Nabi Muhammad apabila memuat naik hadis itu bagi menyentuh isu poligami menerusi paparan dalam akaun Facebook saya itu. Saya juga tahu mengenai beberapa keistimewaan yang diberi Allah kepada baginda.

Apa yang berlaku ini menyebabkan saya sudah memutuskan tidak akan lagi menulis apa-apa tentang Islam. Jodoh saya dengan segala hal berkaitan Islam sudah berakhir. Sudah tidak ada ruang di hati saya untuk apa-apa hal berkaitan Islam. Cukuplah apa yang dilalui, khususnya kesukaran yang terpaksa ditanggung oleh keluarga sepanjang saya ditahan. [kisah penuh di sini]


Apa pengajaran daripada kes?

Saya tidak marah dan berdendam dengan mereka yang membuat laporan polis. Bagi saya, mereka khilaf dan ini adalah kesilapan manusia. Mungkin Tuhan mahu saya menjadi lebih kuat. [Baca keputusan kes selepas siasatan terperinci dua tahun - di sini]

Bagi saya, kes ini ada hikmah untuk orang Islam di Malaysia kerana Allah mahukan umat Islam mendekati al-Quran, hadis sahih serta lebih menjadi orang Islam sebenar.

[Wawancara oleh Nizam Yatim pada 20 April 2022. Disiarkan di akhbar Utusan Malaysia pada 30 April 2022. Hubungi Uthayadi sini.]