7 Dec 2020

Malayali Gigih Pertahan Jati Diri


Orang Malayali merupakan kumpulan minoriti kaum India di negara ini sejak lebih dua ratus tahun dahulu. Bagi menjalin silaturahim dalam kalangan orang Malayali yang berasal dari pelbagai wilayah di Kerala, India, beberapa persatuan pernah ditubuhkan di Malaya dan Singapura.

Pertubuhan pertama seumpama itu di luar negara India ialah Kerala Mahajana Sangam yang diasaskan di Singapura pada 1917, iaitu lebih seratus tahun dahulu.

Setahun kemudian, namanya ditukar kepada Malayalee Association dan didaftar secara rasmi. Pada tahun 2006, namanya ditukar lagi kepada Singapore Malayalee Association dan masih aktif sehingga kini.

Singapore Malayalee Hindu Samajam pula ditubuhkan pada 1926 bagi menguruskan jenazah orang Malayali yang meninggal dunia di Singapura, Johor, dan Melaka. Ahli terdiri daripada pekerja Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Pelabuhan Singapura, dan penoreh getah.

Antara aktiviti utama persatuan komuniti Malayali sejak dahulu adalah sambutan Onam dan Vishu yang merupakan tradisi turun-temurun. Turut diadakan ceramah berkaitan perkembangan bahasa dan sastera Malayalam, serta sejarah komuniti Malayali di Malaya.

Pada tahun 1934, penyair terkenal Kerala, Vallathol Narayana Menon, berkunjung ke Malaya dan Singapura. Persatuan komuniti Malayali tidak melepaskan peluang mengatur beberapa sesi pertemuan dan ceramah bersama beliau.

Bagi memastikan generasi muda berpeluang mempelajari bahasa ibunda, Singapore Malayalee Hindu Samajam memulakan kelas malam pada 1939. Malah, pada 1946, sebuah sekolah Malayalam pernah dibuka di Segamat dan diiktiraf Jabatan Pelajaran Johor.

Terdapat juga persatuan orang Malayali dengan premis sendiri di Johor Bahru pada 1920-an. Persatuan ini dipercayai menjadi asas kepada penubuhan Persatuan Malayalee Johor Bahru pada 1985.

Rencana penuh boleh dibaca dalam buku Suvarna Bhumi (2022).

[Rencana ini adalah versi asal yang ditulis pada 24 November 2020 dan tersiar dalam ruangan “Bicara Budaya” di Utusan Malaysia pada 28 November 2020. © Uthaya Sankar SB]