Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong turut menyampaikan ucapan menerusi laman Facebook rasmi Istana Negara. Ucapan ini menjadi amat bermakna bagi komuniti Malayali, walaupun para pemimpin lain tidak menyampaikan ucapan.
Situasi ini sebenarnya tidaklah menghairankan kerana sambutan Onam masih terlalu asing dan kurang diketahui masyarakat pelbagai kaum dan latar belakang di Malaysia. Malah, dalam kalangan kaum India di Malaysia juga ramai yang tidak mengambil tahu tentang sambutan ini.
Apabila ucapan Yang di-Pertuan Agong tersebar menerusi media sosial, ada juga orang yang bertanya dan tertanya-tanya apakah sebenarnya perayaan Onam. Maka, memanglah aspek budaya ini kurang diketahui masyarakat Malaysia.
Hal ini berlaku kerana komuniti Malayali adalah kumpulan minoriti yang hanya mewakili sekitar 3.5 peratus komposisi kaum India di Malaysia. Kita lebih mengenali aspek bahasa dan budaya komuniti Tamil yang mewakili sekitar 85 peratus kaum India di negara ini.
Pada hari sambutan Onam, keluarga Malayali mengadakan sembahyang khas di rumah atau di kuil. Perlu juga dinyatakan bahawa Onam bukan sambutan keagamaan. Di negeri Kerala, India (tempat asal komuniti Malayali), Onam diraikan oleh penduduk Hindu, Islam, dan Kristian sebagai perayaan bercorak kebudayaan.
Rencana penuh boleh dibaca dalam buku Suvarna Bhumi (2022).