22 Aug 2020

Elakkan Fobia


Ada beberapa istilah dan konsep yang wajar kita fahami supaya kita dapat bermuhasabah demi menyumbang kepada perpaduan dan persefahaman dalam kalangan masyarakat pelbagai etnik dan budaya.

Istilah “fobia” merujuk kepada ketakutan atau kebencian yang amat sangat terhadap seseorang atau sesuatu. Ada orang fobia terhadap darah, binatang atau serangga, tempat tertutup atau sempit, atau pada sesuatu situasi.

Dalam konteks negara kita, selalu juga kedengaran istilah Islamofobia iaitu ketakutan dan prejudis terhadap apa-apa perkara yang berkaitan dengan agama Islam dan penganut Islam.

Sekiranya difikirkan, perkara sama boleh berlaku terhadap agama dan penganut Hinduisme, Kristian, Buddhisme, Sikhisme, dan sebagainya. Xenofobia sering wujud akibat kurangnya interaksi antara komuniti, dan ditambah pula dengan prejudis yang diturunkan dari generasi ke generasi.

Etnosentrisme adalah situasi di mana individu atau masyarakat menganggap budayanya adalah lebih baik dan lebih hebat berbanding budaya orang lain. Maka, timbul sikap mengangung-agungkan budaya sendiri sambil memperkecilkan budaya orang lain.

Tanpa disedari, timbul diskriminasi terhadap kelompok-kelompok lain kerana kita umpama mengukur baju orang lain pada badan kita. Sekadar contoh, sekitar 80 peratus kaum India di Malaysia berketurunan Tamil. Golongan itu melakukan kesilapan jika menganggap budaya Tamil lebih hebat berbanding budaya orang keturunan Malayali (3.5 peratus) dan Telugu (2.5 peratus).

Xenosentrisme pula adalah amalan sebaliknya, di mana individu atau masyarakat menganggap budayanya kurang baik dan kurang hebat berbanding budaya orang lain. Maka, timbul sikap mengagung-agungkan budaya orang lain sambil memperkecilkan budaya sendiri.

Misalnya, katakan individu daripada etnik Iban, Melanau, Bajau, Murut, Jahai, Temuan, atau Jakun menganggap budaya nenek-moyang sebagai ketinggalan zaman dan tidak hebat berbanding budaya Melayu-Islam. Akibatnya, mereka mula berasa malu untuk menonjolkan jati diri dan identiti budaya asal yang dirasakan tidak sehebat budaya orang Melayu.



Makalah penuh dalam buku Kisah Sasterawan Kavyan (2022).

[Rencana ini adalah versi asal yang ditulis pada 9 Ogos 2020 dan tersiar dalam ruangan “Bicara Budaya” di Utusan Malaysia pada 15 Ogos 2020. © Uthaya Sankar SB. Baca juga —Kita Makin Renggang  “Mari Kita BercintaUniknya Sastera Kita”]