14 Aug 2020

Uniknya Sastera Kita


Konsep “Sastera Kebangsaan” bukanlah sesuatu yang baharu, walaupun pengisiannya memang belum dilakukan secara bersungguh-sungguh oleh para penulis tanah air yang menghasilkan karya bahasa kebangsaan.

Secara mudah, Sastera Kebangsaan merujuk kepada karya fiksyen yang ditulis dalam bahasa kebangsaan oleh penulis pelbagai kaum, agama, etnik, dan latar belakang.

Karya itu pula perlu membantu pembaca memahami dan mengenali budaya, amalan serta pemikiran komuniti yang diwakili oleh penulis terbabit.

Secara tidak langsung, Sastera Kebangsaan menyumbang kepada persefahaman, tolak-ansur, perpaduan, hormat-menghormati, dan sikap menerima dengan baik sebarang perbezaan yang wujud secara semula jadi.

Maka, karya seumpama ini amat sesuai dijadikan medium bagi memupuk perpaduan dan menjalin silaturahim dalam jiwa kanak-kanak, remaja, belia, dan orang dewasa di Malaysia.

Pengarang dan pengkaji sastera seperti Kamaludin Muhammad (Keris Mas), Anwar Ridhwan, Krishanan Maniam, Ismail Hussein, Othman Puteh, Eh Chot Cha Chan, dan Mohamad Saleeh Rahamad mendapati bahawa cerpen dan novel Melayu pada tahun 1960-an, 70-an, dan 80-an masih belum mampu memaparkan realiti budaya, pemikiran, dan kehidupan masyarakat Bukan Melayu.

Namun begitu, kita wajar berfikir secara positif kerana sejak tahun 1990-an, semakin ramai penulis kaum Cina dan India, keturunan Siam, Orang Asal, serta pelbagai etnik di Sabah dan Sarawak terlibat secara aktif dalam Sastera Kebangsaan.

Memanglah terdapat rungutan dan keluhan memandangkan karya penulis Bukan Melayu jarang diangkat menjadi teks Komponen Sastera (Komsas) di sekolah.

Tanpa menafikan kebenaran itu, para penulis dan pelopor Sastera Kebangsaan boleh menggunakan pelbagai cara lain untuk memastikan khalayak umum menyedari “kewujudan” penulis pelbagai kaum yang menyumbang kepada khazanah sastera tanah air.



Media sosial sudah menjadi tempat yang paling mudah dan berkesan untuk mempromosi karya masing-masing. Semangat perpaduan, pemaparan budaya etnik, dan aura positif yang terkandung dalam karya boleh tersebar luas, lalu menyumbang kepada persefahaman dan integrasi.

Dalam usaha mencapai impian murni seperti di atas, para penulis perlulah terlebih dahulu bersiap secara mental. Mereka tidak pula perlu bersusah-payah memaparkan budaya kaum lain dalam karya.

Rencana penuh boleh dibaca dalam buku Suvarna Bhumi (2022).

[Rencana ini adalah versi asal yang ditulis pada 2 Ogos 2020 dan tersiar dalam ruangan “Bicara Budaya” di Utusan Malaysia pada 8 Ogos 2020. © Uthaya Sankar SB. Baca juga —Kita Makin Renggang  “Mari Kita Bercinta”]