8 Aug 2020

Mari Kita Bercinta!


Sering kali dikatakan bahawa individu yang sedang hangat bercinta tidak akan nampak sebarang kelemahan atau perkara negatif tentang pasangannya.

Bagaimanapun, selepas lama bercinta — atau selepas lama berkahwin — pasangan berkenaan dikatakan lebih kerap melihat perbezaan yang wujud, serta mengungkitkan kelemahan pasangan masing-masing.

Sebagai sebuah negara yang terdiri daripada penduduk pelbagai kaum, agama, etnik, budaya, bahasa, adat, dan sebagainya, kita sebenarnya berada pada fasa “pasangan yang sudah lama berkahwin”.

Anehnya, kita “terlupa” untuk berada pada fasa bercinta, sedangkan itulah yang sepatutnya berlaku. Sekiranya kita berlaku ikhlas dalam melakukan perenungan diri, kita akan mengakui realiti yang memeritkan ini.

Perhubungan, komunikasi, interaksi, dan pergaulan kita dengan orang lain di luar “kelompok” dimulakan dengan prasangka dan salah tanggap. Kita mengandaikan bahawa kaum dan etnik lain adalah golongan yang berbeza serta tidak mungkin secocok dengan budaya kita.

Kita umpama pasangan kekasih yang sudah lama bercinta, atau pasangan suami isteri yang sudah lama berkahwin. Kita tidak memberi ruang dan peluang untuk melihat dan menikmati persamaan yang wujud antara kita.

Maka, apa kata kita sama-sama menggunakan masa sekitar sepuluh minit untuk merenung, melihat, meneliti, menghayati, dan mengakui hakikat persamaan yang wujud dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia.

Kita mulakan dengan makanan kerana itulah unsur paling asas dan paling mudah. Bilakah kali terakhir kita menikmati sebungkus nasi lemak, tose, tomyam, atau dim sum?

Sekiranya direnung, kita sebenarnya kurang berfikir tentang kaitan budaya dengan makanan berkenaan. Kita mungkin sedar bahawa tose adalah makanan tradisional kaum India, tetapi kita menikmatinya tanpa masalah.

Nasi lemak pula diterima oleh semua orang. Malah, apabila berada di luar negara, rakyat Malaysia tanpa mengira kaum sering melaporkan kerinduan untuk makan nasi lemak.

Hal-hal seperti ini menunjukkan bahawa masih ada elemen “fasa bercinta” yang sudah sebati dalam diri kita. Malangnya, kita lebih lantang bersuara memboikot dan meragui makanan yang dijual oleh kaum dan etnik tertentu. Kita menjadi kekasih yang mencurigai pasangannya.

Bahasa kebangsaan yang kita gunakan saban hari sudah sebati dengan percampuran bahasa daripada pelbagai budaya yang berbeza. Hakikat kehadiran pelbagai istilah Sanskrit dalam bahasa Melayu sejak zaman dahulu memang diakui.

Istilah Cina seperti “cawan” dan “tauge” sudah menjadi sebahagian daripada kosa kata yang digunakan sehari-hari. Istilah “merarau” daripada bahasa sukuan di Sarawak, misalnya, sudah mula digunakan bagi “makan tengah hari”.

Maka, bahasa yang kita gunakan dalam pertuturan harian — dalam kalangan ahli keluarga atau dengan orang luar — sudahpun menampilkan unsur kepelbagaian yang sudah bersebati menjadi apa yang kita kenali sebagai bahasa kebangsaan.

Selain daripada aspek bahasa dan makanan, kita boleh juga melihat kepada aspek budaya seperti pakaian. Setiap kaum dan etnik berbangga dengan pakaian tradisional yang diwarisi zaman-berzaman.

Pada masa sama, orang ramai berasa selesa dan gembira memakai baju Melayu, sari, kebaya, ceongsam, khurta, samfu, dan sebagainya. Kita berupaya untuk membuang sikap prejudis dan mampu menikmati keindahan pakaian berkenaan; asalkan sesuai dengan cita rasa dan jiwa.

Begitulah juga dalam soal tarian, muzik, dan seni mempertahankan diri. Pelbagai tarian tradisional Melayu, serta etnik-etnik di Sabah dan Sarawak, turut dihayati dan dipersembahkan oleh golongan pelbagai kaum. Begitulah juga sebaliknya bagi tarian klasik India dan Cina.

Muzik gamelan, gendang, sitar, serunai dan pelbagai melodi indah mampu menggoda jiwa tanpa mengira kaum dan latar budaya. Seni silat, silambam, kung fu, dan seumpamanya yang ada akar budaya kaum dan etnik, kini sudah diterima oleh masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.

Semangat kebersamaan juga amat nyata dalam bidang sukan, khususnya sukan berpasukan. Kita tampil menyokong pasukan Harimau Malaya tanpa mengira latar kaum dan agama. Begitu juga apabila wira badminton beraksi di arena antarabangsa; kita menyokong dengan semangat “Bangsa Malaysia”.

Nah! Apabila hal-hal ini dihuraikan secara mudah, barulah kita dapat melihat dengan nyata bahawa keharmonian hidup masyarakat pelbagai kaum sebenarnya sudah menjadi sebahagian daripada amalan seharian.

Malangnya, sebagaimana pasangan yang sudah lama bercinta atau sudah lama berumah tangga, kita sering terlupa dan tidak mengambil kira persamaan yang wujud antara kita. Sebaliknya, mata dan fikiran lebih tertumpu kepada perbezaan dan hal-hal yang merenggangkan hubungan.

Maka, bagi merealisasikan impian murni memupuk keharmonian hidup di tanah air tercinta, apa kata kita kembali menjadi pasangan yang sedang hangat bercinta, atau pasangan yang baharu mendirikan rumah tangga.

Kita hayati persamaan yang wujud serta hal-hal positif yang melahirkan bibit cinta dan sayang dalam jiwa. Kita ketepikan rasa cemburu dan sengketa yang cuba menghalang cinta, sayang, dan rindu kita terhadap perpaduan kaum, etnik, dan agama.

[Rencana ini adalah versi asal yang ditulis pada 29 Julai 2020 dan tersiar dalam ruangan “Bicara Budaya” di Utusan Malaysia pada 1 Ogos 2020. © Uthaya Sankar SB. Baca juga —Kita Makin Renggang  “Uniknya Sastera Kita”]