Kumpulan cerpen Sebelas Amanat Swamiji (2025) dan Siapa Bunuh Veer Singh? (2026) boleh dibaca bukan sahaja sebagai teks kreatif, tetapi juga sebagai “manual tidak rasmi” bagi penulis muda yang mahu menghasilkan cerpen bermutu.
Hal ini demikian kerana pengarang sendiri secara terbuka menyatakan matlamat pedagogi karya tersebut pada bahagian “Prakata” iaitu niat memperlihatkan teknik-teknik penting dalam penulisan cereka. Maka, dengan meneliti kedua-dua buku ini secara sistematik, beberapa prinsip utama dapat dirumuskan seperti berikut.
Pertama, aspek cangkuk naratif (narrative hook) pada permulaan cerita sangat diberi perhatian. Cerpen “Demi Sebuah Keampunan” misalnya dibuka dengan dialog tegang: “Saya tidak akan maafkan awak, Karuppar!”
Pembukaan ini terus mencetuskan konflik tanpa pengenalan panjang lebar, sekali gus menarik minat pembaca untuk mengetahui latar belakang pertikaian. Bagi penulis muda, teknik ini penting kerana pembaca moden cenderung membuat keputusan sama ada mahu meneruskan bacaan atau tidak selepas membaca beberapa perenggan pertama sahaja. Permulaan yang terus ke inti konflik dapat mengelakkan naratif daripada menjadi longgar atau membosankan.
Kedua, penggunaan plot twist dan unsur saspens dimanfaatkan secara konsisten. Dalam cerpen yang sama, pembaca pada awalnya mungkin menyangka Karuppar benar-benar ingin bertaubat. Namun, perkembangan cerita mendedahkan bahawa dia masih bergelumang dengan pelbagai jenayah dan akhirnya mengambil tindakan drastik.
Pengarang sendiri memetik pendapat Ren Basel pada “Prakata” untuk menegaskan bahawa tujuan plot twist ialah “memperkaya sesebuah cerita” dan bukan sekadar memperdaya pembaca. Peringatan ini boleh menjadi panduan penting iaitu plot twist perlu lahir secara organik daripada perkembangan watak dan konflik, bukan dipaksakan.
Ketiga, kedua-dua buku ini menunjukkan kepentingan pembangunan watak yang kompleks. Watak seperti Guruji dalam “Lingkaran Shaitaan” bukan sekadar antagonis satu dimensi. Dia digambarkan sebagai individu yang karismatik, mampu memikat pengikut, tetapi pada masa sama melakukan penyelewengan moral dan jenayah.
Petikan yang menggambarkan bagaimana dia menyampaikan ceramah pseudo-saintifik dan kemudian mengeksploitasi pengikut jelas menunjukkan lapisan watak yang pelbagai. Bagi penulis muda, penelitian ini menegaskan bahawa watak yang meyakinkan perlu mempunyai motivasi, kelemahan, dan kontradiksi dalaman.
Keempat, teknik faksyen (gabungan fakta dan fiksyen) digunakan dengan berkesan. Dalam cerpen “Siapa Bunuh Veer Singh?” misalnya, pengarang menyatakan bahawa kisah tersebut bersumberkan bahan arkib mahkamah dan laporan akhbar, lalu diolah menjadi sebuah kisah dramatik dengan gabungan daya imaginasi.
Pendekatan ini memberi kredibiliti kepada cerita dan menjadikannya lebih “hidup”. Penulis muda boleh memanfaatkan teknik ini dengan melakukan penyelidikan terhadap isu sebenar—seperti kes mahkamah, laporan berita, atau peristiwa sejarah—dan mengolahnya menjadi cerpen. Namun, keseimbangan perlu dijaga supaya fakta tidak mengatasi elemen penceritaan sehingga cerita menjadi hambar seperti laporan kes.
Kelima, kedua-dua buku ini menekankan aspek penyampaian mesej secara tersirat. Dalam “Prakata” buku, pengarang menyebut bahawa unsur pengajaran perlu “diserap masuk ke dalam minda pembaca secara bawah sedar”.
Contohnya, cerpen “Lingkaran Shaitaan” tidak secara langsung memberi khutbah tentang bahaya ajaran sesat, sebaliknya membiarkan pembaca menyimpulkan sendiri melalui peristiwa yang berlaku.
Teknik ini jauh lebih berkesan berbanding penyampaian moral secara didaktik. Penulis muda perlu belajar mengawal diri daripada “mengajar” pembaca secara terang-terangan, sebaliknya membiarkan cerita dan tindakan watak membawa makna tersirat yang mahu disampaikan.
Keenam, penggunaan dialog yang hidup dan berfungsi menjadi kekuatan utama. Dalam “Sejarah Tiga Ribu Tahun Yahudi dan Babi” misalnya, perbualan antara watak-watak pelbagai latar agama bukan sahaja menggerakkan cerita, malah juga menyampaikan idea falsafah dan perbandingan budaya.
Dialog tersebut terasa natural (semula jadi) kerana setiap watak mempunyai suara tersendiri. Bagi penulis muda, teknik ini menunjukkan betapa dialog dalam cerpen perlu mempunyai tujuan dan bukan sekadar pengisi ruang. Setiap dialog perlu mampu sama ada membina watak, menggerakkan plot, atau menyampaikan tema.
Ketujuh, latar dan suasana dibina melalui perincian yang selektif tetapi berkesan. Dalam cerpen di atas yang berlatarkan kafe di Universiti Malaya, misalnya, gambaran “langit muram” dan suasana perbincangan intelektual membantu membentuk mood tanpa perlu deskripsi atau penerangan berlebihan.
Prinsip ini penting kerana seorang penulis berbakat penulis tidak perlu menggambarkan setiap latar dan situasi secara terperinci. Sebaliknya, penulis yang berpengalaman akan secara penuh sedar dan teliti memilih unsur yang paling signifikan serta berperanan menyokong emosi dan tema cerita.
Kelapan, kedua-dua buku ini mengajar tentang keberanian dalam eksperimen tema dan teknik. Pengarang tidak terikat pada satu jenis cerita, sebaliknya menggabungkan satira, parodi, thriller, dan faksyen dalam setiap koleksi. Keberanian ini boleh memberi inspirasi kepada penulis muda untuk keluar daripada zon selesa dan mencuba pelbagai pendekatan, selagi ia disokong oleh struktur penceritaan yang kukuh.
Ternyata buku Sebelas Amanat Swamiji dan Siapa Bunuh Veer Singh? menawarkan panduan praktikal yang sangat berguna. Panduan itu boleh diringkaskan seperti ini: Mulakan dengan cangkuk naratif yang kuat, bina watak yang kompleks, gunakan plot twist secara bermakna, selitkan fakta untuk menambah suasana realisme, sampaikan mesej secara halus atau tersirat, dan manfaatkan penggunaan dialog serta gambaran latar secara strategik.
Dengan meneliti contoh dan petikan dalam kedua-dua buku
ini, penulis muda bukan sahaja dapat memahami teori penulisan, malah juga berpeluang
melihat bagaimana teori tersebut diaplikasikan secara berkesan dalam karya
sastera oleh seorang individu yang terlibat dalam bidang penulisan sejak tahun
1991.
