9 Oct 2023

Cerita Guluji Tentang Asal Usul Bumi

Apabila mendengar kanak-kanak menyanyi lagu “Twinkle, Twinkle, Little Star”, saya sentiasa teringat pelbagai kisah dongeng, mitos, dan purana yang disampaikan Pak Cik Gulu semasa saya budak-budak.

Katanya, bintang di langit sebenarnya lampu yang diletakkan para dewa sebagai hiasan, sebagaimana lampu pelbagai warna digantung semasa musim perayaan.

“Bintang adalah peluru berpandu digunakan para dewa untuk menyerang golongan asura yang sentiasa cuba mencuri amrita,” Pak Cik Gulu yang menyewa di sebelah rumah saya bercerita sambil merujuk kepada kisah Samudra Mathana melibatkan golongan sura (dewa) dan asura dalam beberapa mitos dan purana Hindu.

Hanya apabila meningkat remaja dan banyak membaca, saya sedar bahawa tahi bintang atau shooting star yang dimaksudkan oleh Pak Cik Gulu sebenarnya meteor, komet, dan asteroid yang terbakar apabila menerjah masuk ke ruang udara Bumi.

Namun begitu, sewaktu masih kanak-kanak dan penuh kejahilan, saya percaya bulat-bulat segala dongeng disampaikan lelaki itu.

“Para dewa mencipta Bumi dahulu. Kemudian barulah langit dan syurga dicipta daripada gumpalan asap. Kalau awak mahu tahu, dulu Bumi dan syurga bercantum. Kemudian, para sura iaitu dewa pergi tinggal di langit iaitu syurga,” katanya dengan penuh semangat.

Apabila dewasa, saya menyedari Pak Cik Gulu mencedok mitos Sumeria dan mempersembahkannya sebagai purana Hindu. Sebagai seorang lelaki buta huruf, mungkin dia hanya mendengar pelbagai cerita dari pelbagai sumber dan kemudian mengadun kesemuanya menjadi sebuah cerita yang sedap didengar.

Anehnya, cerita-cerita dongeng yang disampaikan Pak Cik Gulu bukan hanya memikat hati kanak-kanak seperti saya. Lama-kelamaan, saya menyedari bahawa golongan dewasa juga mempercayai bulat-bulat segala dongeng disampaikan Pak Cik Gulu dengan penuh bersemangat.

Para pengikut Pak Cik Gulu menggelarnya “Guluji” dan menjadi pengikut kultus baharu yang diasaskannya. Pada waktu itu, saya sudah meningkat remaja dan menyedari semua itu hanyalah ajaran sesat yang menyimpang jauh daripada Sanatana Dharma atau Hinduisme.

Matahari dan Bulan Bercantum

Pak Cik Gulu mempercayai – dan menyebarkan dakyah – bahawa matahari mengelilingi Bumi; bukan sebaliknya. Bulan pula diumpamakan seorang gadis yang berlari untuk mengejar dan bersatu dengan matahari yang dicintainya sepenuh hati.

“Adakah pertemuan pasangan itu menyebabkan gerhana?” Demikian saya terdengar seorang pengikut dalam kultus itu bertanya.

“Oh, tidak! Gerhana berlaku apabila para dewa bertindak menyembunyikan matahari untuk menakut-nakutkan dan mengingatkan umat manusia di muka Bumi supaya sentiasa menyembah mereka,” jawab Pak Cik Gulu, lalu disahut laungan Jai Guluji yang berkumandang di ruang kecil dijadikan tempat para pengikut kultus berkumpul mendengar ceramah.

Para penduduk tidak berpelajaran ternyata amat mudah mempercayai segala dongeng yang diubah suai dan disampaikan dengan penuh meyakinkan oleh lelaki itu.

Menurut Pak Cik Gulu, suatu hari nanti, matahari dan bulan akan bercantum bagai pasangan kekasih yang berkahwin dan hidup bahagia.

Secara saintifik, saiz matahari sekitar 400 kali lebih besar daripada saiz bulan. Maka, kalaulah pun bulan berjaya mengejar matahari dan bercantum dengannya, ia umpama seekor lalat hinggap pada tubuh manusia. Pasti bukan seperti pasangan kekasih bertemu!

“Malah, bulan pasti terbakar dan hangus kalau ia menghampiri matahari,” kata saya untuk cuba menyedarkan beberapa rakan yang turut menyertai kultus itu pada usia remaja.

“Awak jangan nak tunjuk pandai! Jangan sangka awak lebih bijak daripada Guluji semata-mata kerana awak rajin membaca pelbagai buku manakala Guluji pula buta huruf!”

Demikian reaksi yang biasa saya terima daripada masyarakat setempat yang semakin tertarik untuk menyertai kultus diketuai Guluji.

Kisah-kisah dongeng yang pernah diceritakan Pak Cik Gulu semasa saya budak-budak mula bertukar menjadi inti ceramah keagamaan yang disampaikannya kepada orang ramai. (bersambung[Cerpen penuh boleh dibaca dalam Kumpulan Cerpen Baharu]

Ilustrasi ini tular sejak perang Israel-Hamas pada Oktober 2023

(Kisah ini adalah sebahagian daripada siri tulisan mengenai kultus dan ajaran sesat dalam kalangan umat Bukan Islam. © Uthaya Sankar SB 2023. Nikmatilah juga  Menghadiri Ceramah Khas Guluji Datuk Guluji dan Para Dewa Kisah Guluji Bertemu Dewa Indra – Generasi Penerus Tradisi – Kisah-kisah Guluji dan Kisah Uthaya Masuk Lokap.)