17 Oct 2023

Menghadiri Ceramah Khas Datuk Guluji

“Kalau ada walau satu kesalahan fakta dalam ilmu yang saya sampaikan, tentulah saya seorang pendakwah palsu dan penyampai ajaran sesat.”

Demikian Datuk Guluji sedang berucap dengan penuh bersemangat sewaktu saya menyelinap masuk ke dalam dewan kecil di mana ceramah khas diadakan. Ceramah tertutup ini khusus bagi 50 orang terpilih yang sudah menjadi pengikut Guluji sekurang-kurangnya sejak setahun lalu.

“Apa-apa yang saya katakan adalah fakta yang terbukti benar. Hujah-hujah saya bukan saintifik dan saya bukan ahli sains, tetapi segala maklumat yang saya sampaikan boleh dibuktikan benar secara saintifik. Saya cabar sesiapa di sini membuktikan saya salah.”

Mata Guluji berapi-api. Mungkinkah ada seseorang mengeluarkan hujah berbentuk kritikan yang membuatkan ketua kultus ini naik berang?

Hanya kemudian saya mendapat tahu bahawa salah seorang pengikut Guluji telah bertanya soalan tentang kewujudan dinasour.

“Oh! Ia tidak pernah wujud. Jangan tanya tentang benda-benda karut yang tidak pernah wujud dan tidak tercatat dalam buku-buku saya,” kata Guluji dalam rakaman video yang saya sempat tonton kemudian.

“Ceritakan tentang planet-planet lain di cakerawala. Adakah hidupan di sana?” tanya seorang lagi pengikut yang ternyata menganggap ketua kultus kami tahu segala-galanya walaupun Guluji buta huruf.

“Oh! Tidak perlu ambil tahu semua itu. Segala pandangan saya tentang hal-hal yang para pengikut kultus ini perlu tahu sudah dirakam kemas oleh beberapa pengikut saya dalam buku-buku yang awak boleh beli dan baca. Takkan awak pun buta huruf macam saya!”

Para pengikut yang menghadiri sesi ceramah tertutup terbahak-bahak; termasuk pengikut yang mengemukakan pertanyaan itu.

Guluji sudah ada ribuan pengikut di seluruh negara. Mereka terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. Akan tetapi, Guluji menetapkan syarat ketat bahawa orang dari kaum tertentu dan agama tertentu tidak boleh menjadi pengikutnya.

Cerita Dongeng, Mitos, Purana?

“Saya tidak mahu dituduh memesongkan ajaran kelompok tertentu yang dilindungi undang-undang. Kultus ini selamat dan tidak dianggap melanggar undang-undang negara selagi tidak melibatkan kaum dan agama itu,” Guluji sentiasa mengingatkan para pengikut tanpa menyebut secara spesifik kaum dan agama yang dimaksudkan.

Saya boleh dianggap bertuah kerana berpeluang menghadiri ceramah tertutup yang diadakan tiga kali setahun. Bapa saudara saya merupakan antara pengikut awal Guluji dan beliau berjaya menyelitkan nama saya sebagai peserta walaupun secara logik, saya belum cukup layak dipilih menyertai sesi khas ini.

Maka, saya memilih untuk tidak terlalu menonjolkan diri kerana takut ada orang kanan Guluji sedar saya masih ahli baharu dan belum cukup layak menyertai sesi khas bersama pengasas kultus.

Sebelum ini, saya banyak kali mendengar desas-desus bahawa kandungan ceramah khas Guluji hanya cerita dongeng, mitos, dan purana yang sudah ada sejak zaman dahulu.

“Semua yang dia sampaikan hanya dongeng nenek moyang!”

Demikian saya terdengar perbualan dalam kalangan sekumpulan orang di sebuah restoran pada suatu hari. (bersambung[Cerpen penuh boleh dibaca dalam Kumpulan Cerpen Baharu]

(Kisah ini adalah sebahagian daripada siri tulisan mengenai kultus dan ajaran sesat dalam kalangan umat Bukan Islam. © Uthaya Sankar SB 2023. Baca ulasan oleh Anuradha Chelliah di sini. Nikmatilah juga – Cerita Guluji Tentang Asal Usul BumiDatuk Guluji dan Para Dewa Kisah Guluji Bertemu Dewa Indra – Generasi Penerus Tradisi – Kisah-kisah Guluji dan Kisah Uthaya Masuk Lokap.)