Masih ingat kisah Arjuna dalam epik Mahabharata pergi ke Indraloka menaiki rata ajaib untuk bertemu Dewa Indra? Di kayangan, perwira keturunan Pandava itu turut berpeluang bertemu para bidadari jelita seperti Rambha, Urvasi, Tilottama, Menaka, Varuthini, Chitralekha, dan Swayampraba.
Demikianlah juga pengalaman Datuk Guluji seperti diceritakannya sendiri kepada para pengikut setia pada suatu pagi. Bertuahlah sesiapa yang menghadiri ceramah berkenaan dan berkesempatan menjadi kumpulan pertama pengikut kultus yang mendengar kisah penuh ajaib itu.
Sebenarnya, Guluji kelihatan agak mengantuk dan kurang stabil apabila melangkah masuk ke dewan. Beliau juga datang lewat. Panggilan telefon daripada beberapa pembantu langsung tidak dijawab.
Para pengikut menarik nafas lega apabila Guluji tiba dan terus duduk di kerusi khas untuk memulakan sesi ceramah mingguan yang sentiasa dinanti para ahli kultus.
“Awak semua tidak akan percaya jika saya menceritakan apa yang berlaku!”
Guluji tidak meneruskan kata-kata. Sebaliknya, pemimpin berkaliber itu memandang para pengikut yang hampir terlopong dan menanti dengan penuh minat untuk mendengar apa-apa yang mahu disampaikan ketua mereka.
“Malam tadi, saya bermeditasi penuh khusyuk di Kuil Dewa Indra di Peria Pattanam, Taiping.”
“Jai Guluji! Jai Guluji!”
Guluji tersenyum gembira sementara menunggu laungan yang bergema memenuhi seluruh dewan kecil itu reda. Kemudian, beliau menceritakan secara terperinci apa yang sebenarnya berlaku.
Pada malam sebelumnya, Guluji tidak dapat tidur. Beliau keluar dari rumah tanpa pengetahuan isteri untuk duduk di veranda.
“Awak semua tidak akan percaya! Pada waktu itu, Matali tiba-tiba muncul di depan saya. Sepertimana awak semua tahu, Matali ialah pemandu rata milik Dewa Indra.”
Tentu sahaja mulut para pengikut Guluji terlopong. Para pembantunya juga terpegun mendengar kerana mereka ternyata belum tahu kisah terbaharu itu.
Pengalaman Spiritual
“Pergilah ke Kuil Dewa Indra di Peria Pattanam untuk bermeditasi,” Matali menyampaikan arahan daripada Dewa Indra.
“Bagaimana saya boleh pergi ke tempat yang jauh itu pada waktu malam begini?” Guluji bertanya dengan selamba.
Sambil tersenyum kecil, pemandu rata itu menjeling ke luar pintu pagar. Sebuah motosikal Honda CBR 1000RR kelihatan di sana. Tanpa berlengah, Guluji menunggang “The Rabbit” dengan enjin empat silinder itu menuju destinasi.
“Setiba di Kuil Dewa Indra, pintu kuil terbuka sendiri. Saya melangkah masuk, duduk di mulastanam dan terus bermeditasi dengan penuh khusyuk,” ketua kultus yang sering menerima mesej daripada para dewa menceritakan kepada para pengikut setia.
Sesungguhnya Guluji insan terpilih yang bakal menyelamatkan umat Hindu khasnya dan umat Bukan Islam amnya daripada terus sesat dalam pelbagai ajaran dan amalan yang terpesong sejak sekian lama.
“Saya tidak pasti berapa lama saya bermeditasi dengan penuh khusyuk,” Guluji meneruskan cerita. “Tiba-tiba, Dewa Indra yang bersemayam di Amaravati menjelma di hadapan saya.”
“Jai Guluji! Jai Guluji! Jai Guluji!”
Para pengikut terpesona mendengar inti pati perbualan antara ketua mereka dengan ketua para dewa. Apatah lagi apabila Dewa Indra memegang tangan Guluji dan ... (bersambung) [Cerpen penuh boleh dibaca dalam Kumpulan Cerpen Baharu]
(Kisah ini adalah sebahagian daripada siri tulisan mengenai kultus dan ajaran sesat dalam kalangan umat Bukan Islam. © Uthaya Sankar SB 2023. Nikmatilah juga – Cerita Guluji Tentang Asal Usul Bumi – Menghadiri Ceramah Khas Datuk Guluji – Datuk Guluji dan Para Dewa – Generasi Penerus Tradisi – Kisah-kisah Guluji dan Kisah Uthaya Masuk Lokap.)