Pengenalan
Sebagaimana dihuraikan menerusi
esei bertajuk “Sasterawan Kavyan dan Dewan Siswa” (Sastera Kavyan, 2 Disember 2020), cerpen pertama oleh penulis kaum India di majalah Dewan
Siswa ialah “Emak Tidak Mengerti” karya saya [Uthaya Sankar SB] yang tersiar dalam ruangan ‘Cerpen Daripada Siswa’ pada Jun 1993,
iaitu lebih 14 tahun selepas majalah berkenaan mula diterbitkan (Januari 1979)!
Cerpen kedua saya berjudul “Inkontinen”
tersiar dalam ruangan ‘Cepen Untuk Siswa’ (Mac 1995). Turut tersiar dalam ruangan
‘Cerpen Untuk Siswa’ ialah karya M. Mahendran (“Manggei”, November 1999), Saroja Theavy Balakrishnan (“Makhluk Bersayap dari Zaman Jurassik”, Julai 2002 dan “Menatap
Maut”, April 2010), serta S.G. Prabhawathy (“Pusaran Rindu”, Ogos 2003).
Cerpen-cerpen saya turut tersiar dalam
ruangan ‘Cerpen Untuk Siswa’ di majalah Dewan
Siswa pada April 2003 (“Kathakali”), Mei 2004 (“Rasa Sayang, Eh!”),
Februari 2006 (“Perbualan Kecil”), Mac 2007 (“e-mel untuk anda”), dan Oktober
2012 (“Catatan Dari Beijing”).
Selepas itu, berlaku suatu ketandusan cerpen penulis kaum India di majalah Dewan Siswa, sehinggalah cerpen “Bapa Borek, Anak Rintik” oleh V.K. Ezhilarasi Velautham tersiar pada Februari 2020. Diikuti cerpen saya bertajuk “Duta Chetti Melaka” pada Januari 2021.
Sejak DBP Nafi Hak Guna “Tuhan”
Pada April 2021, saya mendedahkan
tindakan licik Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menafikan hak umat Bukan Islam
menggunakan “Tuhan” dengan alasan ia hanya layak digunakan oleh orang Islam
apabila merujuk kepada “Allah” – baca dokumentasi penuh di sini.
Apabila DBP enggan menarik balik
larangan itu, saya mengambil keputusan tidak akan mengirim sebarang karya ke mana-mana
majalah DBP, serta tidak akan membantu menyalurkan karya peserta bengkel penulisan kendalian saya ke sana.
Dalam Dewan Siswa (Mei 2021), tersiar sebuah gurindam oleh Perumal Letchemanan. Tentu sahaja karya itu dikirim beberapa bulan lebih
awal. Tidak ada sebarang puisi dan cerpen lain oleh penulis kaum India di mana-mana majalah DBP sepanjang tahun 2021.
Pada April 2021, S.
Nathesan yang rajin menulis
rencana di majalah Dewan Bahasa dan Pelita Bahasa memberitahu saya bahawa
editor telah memintanya tidak lagi mengirim bahan dengan alasan “beri peluang
kepada penulis lain”. Nathesan turut menulis tentang “Polemik
Kata Tuhan” di Malaysiakini (23 April 2021).
Rencana “terakhir” Nathesan
disiarkan di majalah Dewan Bahasa pada
Mei 2021. Walau bagaimanapun, susulan boikot penulis kaum India beragama Hindu
berkaitan isu “Tuhan”, DBP menghubungi Nathesan (penganut Baha’i) dan menawarkan
peluang kembali menulis untuk majalah Dewan
Bahasa dan Pelita Bahasa. Beliau
masih aktif menulis di kedua-dua majalah berkenaan sehingga kini (Disember
2023).
Pada 1 Ogos 2021, saya memutuskan
untuk “menjauhkan diri” daripada mana-mana penulis Bukan Islam yang memilih
untuk terus menjalin hubungan rapat dengan DBP dan mana-mana penerbit yang
secara terang-terangan menafikan hak umat Bukan Islam menggunakan istilah “Tuhan”
– baca kenyataan saya di sini.
Selain Nathesan dan Sivamurugan Pandian yang setia sebagai
kolumnis atau penulis tetap bagi majalah-majalah DBP, ada beberapa lagi
individu kaum India yang memilih untuk kekal mengirim karya ke majalah DBP
walaupun badan ini secara tegas menafikan hak umat Bukan Islam menggunakan “Tuhan”.
Tentu sahaja tindakan itu adalah
hak setiap individu; asalkan karya tidak dikirim melalui saya seperti dilakukan
sebelum April 2021. Tambahan pula, memang ada orang yang terpaksa “carma”—iaitu
“cari makan” seperti disebut Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said.
Pada Februari 2022, puisi Thanusya Shanmuganathan tersiar di majalah Tunas
Cipta, manakala rencana Charanjit Kaur dan G. Manimaran di majalah Pelita
Bahasa. Rencana oleh Richard Ignacy
pula di majalah Pelita Bahasa (Mei
2022).
Puisi oleh Perumal Letchemanan tersiar di majalah Dewan Siswa keluaran Mac 2022 dan Ogos 2022. Cerpen oleh pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM), Velu Perumal mendapat tempat di majalah Dewan Budaya (April 2022). Puisi oleh pelajar Tingkatan 2 dari Seremban, Negeri Sembilan, Vinosagi Monn dimuatkan di majalah Dewan Siswa (Julai 2022). Rencana tulisan Diviya Devaraj pula mendapat tempat di Dewan Budaya (September 2022).
Beberapa pensyarah Universiti Pendidikan
Sultan Idris (UPSI) pula berjaya “ditarik” oleh DBP untuk menyumbangkan
rencana. Misalnya, Kesavan Nallaluthan,
Sethuprakhash Vengidason, dan Kaaminy Kanapathy. Ada pula pensyarah “menumpang
nama” apabila pelajar seliaan mereka menulis rencana bagi memenuhi syarat
pengajian sarjana atau kedoktoran.
Richard Ignacy dan S. Maartandan Suppiah yang pernah saya bimbing juga masing-masing berjaya mengirim
puisi dan cerpen di majalah Tunas Cipta
(Oktober 2022 dan November 2022). Sebuah lagi cerpen Maartandan tersiar di
majalah Tunas Cipta (April 2023),
manakala puisi oleh Ramakrishnan Ramasamy di majalah Dewan Sastera
(November 2023).
Penyumbang rencana bagi majalah-majalah
DBP pada tahun 2023 termasuk Malathi
Letchumanan, Vanitha Thurairasu, Kanartinii
Muniandy, Shanmugam Muniandy, dan
Suresh Kumar N Vellymalay. Penulis kaum Cina pula amat ramai dan prolifik berkarya
di majalah-majalah DBP sejak isu DBP menafikan hak umat Bukan Islam menggunakan
“Tuhan”.
Pada masa sama, amat nyata bahawa sejak isu itu didedahkan, kaum India semakin menjauhi DBP dan majalah-majalah terbitannya. Tentulah maruah lebih penting berbanding “carma”.
Rumusan
Sepanjang tiga tahun (2021, 2022,
dan 2023), hanya empat buah cerpen penulis kaum India dikirim ke
majalah-majalah DBP; iaitu cerpen saya di Dewan
Siswa (Januari 2021 – sebelum DBP secara rasmi menafikan hak umat Bukan
Islam menggunakan “Tuhan”), cerpen Velu Perumal di Dewan Budaya (April 2022), dan dua cerpen Maartandan di Tunas Cipta (November 2022 dan April
2023).
Kiriman puisi pula berjumlah lapan
buah, dimulai oleh Sheena Vajaindran (Tunas
Cipta, Mei 2021) dan Perumal Letchumanan (Dewan Siswa, Mei 2021) – sebelum DBP secara rasmi menafikan hak umat
Bukan Islam menggunakan “Tuhan”.
Diikuti selepas terbongkar isu itu,
puisi oleh Thanusya Shanmuganathan (Tunas
Cipta, Februari 2022), Perumal Letchemanan (Dewan Siswa, Mac 2022 dan Ogos 2022), Vinosagi Monn (Dewan Siswa, Julai 2022), Richard Ignacy (Tunas Cipta, Oktober 2022), dan Ramakrishnan (Dewan Sastera, November 2023).
Maklumat mengenai penglibatan kaum
India dalam Sastera Kebangsaan boleh dibaca dalam buku Kavya Sastra (2021). Isu tentang DBP yang menafikan hak umat Bukan Islam menggunakan
“Tuhan” turut dihurai dalam buku Suvarna Bhumi (2022).
Menjelang tahun 2024, boikot saya
terhadap DBP masih berterusan—selagi badan fasis, rasis, subversif itu masih
menafikan hak umat Bukan Islam menggunakan “Tuhan”. Pada masa sama, saya juga
memilih untuk terus “menjauhkan diri” daripada mana-mana penulis kaum India yang memilih untuk kekal menjalin hubungan dengan DBP.