21 May 2021

Polemik “Tuhan”: Bukan Islam Boleh Boikot DBP

Sudah lebih sebulan sejak pendedahan dibuat tentang tindakan licik Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menukar penggunaan kata “Tuhan” (huruf besar) kepada “tuhan” (huruf kecil) dalam cerpen-cerpen penulis Bukan Islam yang termuat dalam antologi Meredah Kabus (2021).

Perlu ditegaskan bahawa semua penulis terbabit mengesahkan mereka menulis “Tuhan” pada manuskrip asal. Mereka tidak tahu mengapa dan bagaimana DBP menukarnya kepada “tuhan” tanpa pengetahuan dan izin mereka.

Apabila kepincangan ini didedahkan menerusi media, ketua pengarah DBP, Datuk Abang Salehuddin Abg Shokeran dipetik oleh Focus Malaysia (19 April 2021) sebagai berkata, beliau tidak tahu mengenai perkara itu serta mengesahkan organisasi berkenaan tidak pernah meletakkan sebarang syarat bagi membezakan penggunaan “Tuhan” dan “tuhan” oleh mana-mana penulis.

Walau bagaimanapun, pendirian DBP berubah pada keesokan hari apabila kenyataan yang dikeluarkan menegaskan, “kata Tuhan (T huruf besar) di dalam kamus DBP dirakamkan sebagai kata nama khas yang merujuk kepada Allah Yang Maha Esa sesuai dengan penggunaannya berdasarkan data yang ditemukan. Manakala kata tuhan (huruf kecil) adalah nama am yang merujuk kepada dewa-dewa dan sebagainya yang mempunyai nama-namanya yang khas.”

Apa yang menarik, kenyataan ini yang bersifat cubaan menegakkan benang yang basah turut mengemukakan fakta yang bertentangan. DBP berhujah bahawa rujukan utama dalam soal peraturan ejaan ialah Pedoman Umum Ejaan Bahasa Malaysia (1975).

“Satu panduan umum daripada Pedoman tersebut menyatakan bahawa huruf besar digunakan untuk kata dan ungkapan yang berhubung dengan hal ehwal keagamaan, kitab suci, nama Tuhan, termasuklah kata gantinya. Oleh itu Tuhan sebagai kata yang berhubung dengan agama hendaklah ditulis dengan huruf besar,” kata kenyataan DBP yang disiarkan di Malaysiakini (20 April 2021) dan Focus Malaysia (20 April 2021).

Susulan kenyataan itu yang sedikit pun tidak menjawab persoalan dan isu yang diketengahkan, pelbagai pihak tampil mengemukakan pandangan dan soalan tambahan kepada DBP.

Misalnya, Dr. S. Nathesan (23 April 2021), Majlis Gurdwara Malaysia (24 April 2021), Thanusya Shanmuganathan (28 April 2021), Bruwin Jumput (3 Mei 2021), dan Suwedan Sellappan (4 Mei 2021) di Malaysiakini.

Menurut laporan Focus Malaysia, tindakan DBP dianggap “illogical and senseless” (22 April 2021), “ignorant” (25 April 2021), “demoralising, sidelining non-Malay authors” (27 April 2021), dan memulakan “dangerous and divisive religious polemic” (13 Mei 2021).

Saya bersikap tegas “tolak penjelasan DBP” (Malaysiakini, 21 April 2021) kerana ia sudah sudah menjadi “political stooge” (Focus Malaysia, 21 April 2021).

Polemik ini turut mendapat liputan meluas dalam media Tamil dan Mandarin. Rata-rata mempersoalkan tindakan DBP menghalang hak umat Bukan Islam menggunakan “Tuhan” (huruf besar) dalam penulisan dengan alasan kata itu hanya boleh merujuk kepada Allah. [baca di sini]

Orang ramai — khususnya masyarakat Bukan Islam — mula menjadi keliru, lalu meminta penjelasan dan pendirian DBP berhubung kehadiran kata “Tuhan” (huruf besar) pada lirik lagu Negaraku dan juga pada prinsip pertama Rukunegara. Perlukah ada versi berbeza bagi orang Islam (“Tuhan”) dan Bukan Islam (“tuhan”)?

Sayangnya, di tengah segala kekeliruan dan kekalutan ini, DBP memilih untuk berdiam diri, membisu dan bersikap seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku.

Institusi bahasa itu bukan sahaja gagal menjelaskan rasional di sebalik insiden penulis Bukan Islam dalam antologi Meredah Kabus dinafikan hak menggunakan “Tuhan” dalam penulisan cerpen, malah DBP juga gagal menjawab pelbagai persoalan baharu yang diketengahkan orang ramai.

Amat nyata DBP melakukan kesalahan besar dalam soal antologi Meredah Kabus. Saya tidak menolak kemungkinan para pegawai terbabit yang secara penuh licik menukar “Tuhan” kepada “tuhan” beranggapan tidak ada sesiapa yang akan sedar dan tidak akan tampil sesiapa yang berani mempersoal tindakan subversif itu.

Saya mengirim surat menerusi e-mel kepada ketua pengarah DBP pada 23 April 2021 bagi mengatur pertemuan untuk merungkaikan isu. Saya tegaskan:

Memandangkan DBP masih gagal memberi penjelasan yang boleh diterima akal rasional, maka masyarakat awam (khususnya Bukan Islam) mempunyai alasan untuk menyimpulkan bahawa DBP melakukan perkara ini secara terancang untuk memperkecil dan menghina amalan beragama masyarakat Bukan Islam dengan menafikan hak menggunakan “Tuhan” (huruf besar) dalam penulisan apabila merujuk kepada Tuhan dalam agama mereka.

Untuk rekod, tidak ada sebarang pertemuan diatur susulan surat berkenaan.

Maka, pada andaian saya, DBP sejak awal tidak bersedia dengan apa-apa alasan bagi mewajarkan tindakan licik yang dilakukan secara penuh sedar dan terancang dengan niat menghina dan menafikan hak umat Bukan Islam dalam soal penulisan kata “Tuhan”.

Sebagai seorang individu yang amat mencintai Bahasa Malaysia dan terlibat secara langsung dalam Sastera Kebangsaan sejak tahun 1991, saya amat kecewa melihat transformasi DBP daripada sebuah badan bahasa dan sastera, lalu secara terang-terangan menjadi sebuah pertubuhan fasis dan etnosentrik.

Nampaknya ketua pengarah DBP turut terperangkap dalam kemelut ini kerana beliau kini dianggap bertanggungjawab atas gerakan subversif memperlekeh dan menghina amalan beragama orang Bukan Islam di negara ini. [lihat contoh]

Memandangkan Bahasa Malaysia adalah milik setiap warga Malaysia, maka orang ramai berhak menuntut penjelasan dengan kadar segera daripada DBP dalam soal penggunaan kata “Tuhan” dengan huruf besar. Itulah juga yang dilakukan orang ramai sejak sebulan lalu.

Walaupun pertanyaan dan reaksi orang ramai mula bertambah dari hari ke hari, DBP pula memilih untuk terus berdiam diri. Seolah-olah berdoa dan berharap orang ramai akan terus melupakan isu ini!

Untuk berlaku adil, mungkin sahaja para pegawai DBP agak sibuk membuat persiapan bagi Hari Raya Puasa sejak sebulan lalu. Memandangkan bulan Syawal sudah tiba, sama-samalah kita berharap para pegawai terbabit dapat memperuntukkan masa bagi menangani isu penting ini.

Tentu sahaja penjelasan DBP tidak boleh sekadar menyentuh mengenai antologi Meredah Kabus yang mendedahkan wujud gerakan subversif menukar “Tuhan” kepada “tuhan” dalam buku-buku terbitannya.

DBP juga perlu bertanggungjawab terhadap definisi “Tuhan” yang tidak betul dalam Kamus Dewan (2005) dan Kamus Dewan Perdana (2020). Malah, perlu juga menjelaskan tentang perkataan “Tuhan” dalam lirik lagu Negaraku dan prinsip pertama Rukunegara.

Sekiranya kenyataan baharu yang dikeluarkan nanti masih berbaur fasis dan menafikan hak umat Bukan Islam, maka DBP perlu bersedia dan reda menghadapi kemungkinan masyarakat Bukan Islam tidak lagi berminat membeli dan membaca buku-buku dan majalah terbitannya.

“Berwaspada! Barang siapa yang menzalimi dan mengasari kelompok minoriti Bukan Islam, menyekat hak mereka, membebankan mereka dengan lebih daripada apa yang mampu mereka tanggung, atau merampas apa sahaja daripada mereka tanpa izin; maka aku akan mengadu terhadap orang itu pada Hari Pembalasan.” — Nabi Muhammad (Riwayat Abu Daud)

Di pihak saya pula, tentu sahaja saya tidak mahu ada apa-apa kaitan dengan mana-mana pihak yang menafikan hak umat Bukan Islam menggunakan “Tuhan” (huruf besar) dalam penulisan.

Sekiranya penulis Bukan Islam masih dinafikan hak menggunakan “Tuhan” (huruf besar) dalam penulisan dan dalam Kamus Dewan pula dikhususkan “Tuhan” hanya untuk Allah, maka saya tidak akan berasa selesa untuk bekerjasama dengan DBP kerana sudah jelas “kami” (penulis Bukan Islam) tidak diperlukan, apatah lagi dihargai.

[Klik untuk besarkan]

Selaras situasi itu, Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) juga tidak akan bekerjasama dengan mana-mana pihak yang tidak membenarkan kami menulis “Tuhan” dengan huruf besar dalam karya yang dihasilkan.

[Uthaya Sankar SB ialah seorang penulis dan pengasas Kavyan iaitu kumpulan penulis kaum India yang menulis dalam Bahasa Malaysia. Kenyataan ini dikeluarkan pada 21 Mei 2021. Sila klik di sini untuk pelbagai maklumat berkaitan.]