25 Dec 2014

Sunah Rasulullah untuk Semua

“Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung.” Demikian terjemahan makna firman Allah (Subhanahuwataala) mengenai Nabi Muhammad (Sallallahualaihiwasallam) sebagaimana terkandung dalam ayat keempat surah al-Qalam.

Maka, tidak salah apabila saya berkali-kali menyatakan secara terbuka bahawa Baginda merupakan satu-satunya tokoh pemimpin Islam yang paling saya kagumi.

Apabila sudah ada tokoh paling hebat untuk dijadikan contoh, tidak timbul keperluan untuk saya bergantung kepada sumber kedua, ketiga atau ke-100 untuk dijadikan rujukan terbaik.

Tentu sahaja ada puak tertentu yang membantah apabila saya mengaku mengagumi Rasulullah sedangkan saya tidak “masuk Islam”. Eloklah segala komen anti-dakwah daripada puak fanatik, pelampau, etnosentrik, ultra kiasu dan rasis diabaikan supaya hidup lebih bahagia.

Puak tertentu juga sering melabel saya sebagai anti-Melayu dan anti-Islam kerana berani menulis, mengkritik dan mempersoalkan pelbagai perkara dalam usaha membuka minda pembaca.

Makalah ini juga mungkin akan dilihat dari sudut sama. Biarkan Luncai dengan labu-labunya kerana tidak ada gunanya melayan kelompok bodoh sombong yang sentiasa mencari alasan untuk memperbodohkan orang lain.

Amalan, tingkah laku, perlakuan dan sikap Nabi Muhammad yang menjadi sunah merupakan amalan terpuji yang bersifat universal; tidak hanya terhad kepada orang Arab atau umat Islam semata-mata.

Dalam konteks negara kita, khasnya, hampir semua pelajar pelbagai kaum dan agama “terpaksa” belajar mengenai sejarah Islam; sekali gus mengenali Rasulullah dari pelbagai sudut.

Maka, bukanlah sesuatu yang pelik atau menghairankan jika pelajar Bukan Islam turut “mengenali” Nabi Muhammad yang berdada bidang dan berhidung mancung; malah mungkin ada ketikanya mengenali Baginda lebih rapat berbanding pelajar Islam.

Sebagai individu yang kagum dengan nilai-nilai murni, kepimpinan dan ketokohan Rasulullah, saya gemar membaca buku mengenai Baginda sejak usia muda.


Mendahulukan kanan sebelum kiri

Harus diakui bahawa saya mungkin tidak dapat menyenaraikan hadis-hadis sahih yang menjadi rujukan. Sebaliknya, pelbagai sunah itu sebati dalam jiwa, lalu menjadi amalan seharian.

Hal ini tidak bermakna setiap sunah Rasulullah menjadi amalan atau ikutan saya. Sebaliknya hanya sebahagian sunah terpilih yang kekal dalam minda dan menjadi amalan harian tanpa disedari.

Untuk rekod, amalan Nabi Muhammad yang menjadi contoh dan ikutan itu bukan dilakukan untuk mendapatkan pahala atau tempat di syurga. Sebaliknya kerana sesuai dan serasi dengan jiwa.

Ada juga sunah yang tidak menjadi ikutan saya. Misalnya, Rasulullah dikatakan masuk ke bilik mandi dengan mendahulukan langkah kiri dan keluar dengan langkah kanan.

Sebaliknya Baginda mendahulukan kaki kanan apabila masuk ke rumah ibadat dan mendahulukan kaki kiri apabila keluar. Saya tahu tentang perkara-perkara ini tetapi tidak pula saya amalkan.

Apabila rakan-rakan atau saudara-mara lelaki beragama Islam berwuduk, saya suka perhatikan sama ada mereka mengikut sunah. Setahu saya, Rasulullah memulakan dengan membaca “Bismillahirrahmanirrahim” sebelum membasuh tangan tiga kali hingga bahagian pergelangan.

Baginda yang bergigi putih bersih dan jarang-jarang juga berkumur untuk membersihkan mulut serta memasukkan air ke dalam hidung, lalu memegang hidung dengan tangan kiri sewaktu mengeluarkan air itu.

Sekiranya diperhatikan, sunah Rasulullah adalah membasuh bahagian tubuh sebelah kanan dahulu. Tangan, kaki dan muka pula dibasuh tiga kali semasa berwuduk.

Amalan mendahulukan anggota badan bahagian kanan juga diamalkan Nabi Muhammad semasa memakai pakaian. Semasa menanggalkan pakaian, anggota badan (tangan, kaki) sebelah kiri pula didahulukan.

Rasulullah yang berbadan besar lagi tegap turut mementingkan kebersihan diri sebelum masuk tidur. Masuk tidur biarlah dalam keadaan suci iaitu bebas daripada segala bentuk hadas atau kotoran pada mana-mana anggota tubuh.


Teknologi moden tidak menghindar sunah

Tilam, tikar atau tempat tidur perlulah dikibas. Demikian dilakukan Rasulullah yang berdahi luas, beralis lentik halus dan berjanggut lebat. Tindakan ini amat logik bagi memastikan tidak ada sebarang serangga atau objek berbahaya tersembunyi di tempat tidur.

Baginda mengamalkan tidur di atas rusuk kanan sambil meletakkan tangan kanan di bawah pipi kanan. Tentulah tidak menjadi kesalahan jika sunah ini menjadi ikutan sesiapa sahaja tanpa mengira kaum, agama dan mazhab.

Setiap kali bertemu orang, Rasulullah akan memberikan salam; sama ada orang yang dikenali atau orang yang tidak dikenali. Malah, salam juga diucapkan apabila berpisah.

Dalam keadaan sekarang, komunikasi bukan hanya berlaku secara bersemuka. Kita sering berkomunikasi menerusi telefon, kiriman mesej ringkas (SMS), WhatsApp, Facebook, Skype dan sebagainya. Amalan memberi dan membalas salam masih boleh dipraktikkan dalam situasi ini.

Apabila saya menyebut tentang “salam”, mungkin timbul isu bahawa orang Bukan Islam tidak boleh mengucapkan salam – Assalamualaikum – kerana di negara bertuah ini, ucapan “may peace be upon you” dianggap milik eksklusif orang Islam dan dikawal rapi oleh institusi agama.

Maka, untuk rekod, ucapan salam yang dimaksudkan di sini bolehlah mengikut kaum, agama, etnik, mazhab dan amalan masing-masing. Malah jika “Salam 1Malaysia” yang sangat bersifat mengampu Barisan Nasional (BN) menjadi pilihan, teruskanlah.

Dalam pada itu, dalam komunikasi saya dengan orang Islam dari luar negara, tidak timbul langsung masalah untuk memberikan dan membalas salam menggunakan bahasa Arab; tetapi itu cerita lain.

Selain daripada mengucapkan salam, perbuatan bersalam-salaman juga menjadi amalan Rasulullah yang wajar dicontohi. Sesungguhnya setiap budaya ada cara tersendiri menzahirkan perbuatan “bersalaman” itu. Maka bolehlah diteruskan tanpa perlu meniru gaya orang Islam.

Senyum adalah sedekah. Walaupun sering menjadi sebutan dalam kalangan umat Islam, sebenarnya amalan memberikan senyuman bersifat universal dan menjadi amalan dalam hampir semua budaya seluruh dunia.

Perbuatan memberikan salam, bersalaman (berjabat tangan) dan memberikan senyuman merupakan sunah yang tidak hanya terhad kepada umat Islam. Perkara baik ini wajarlah dijadikan amalan; khususnya dalam konteks masyarakat pelbagai kaum, agama, etnik, budaya dan kepercayaan di Malaysia.


Amalan positif yang bersifat universal

Amalan dan kebiasaan Rasulullah semasa makan dan minum juga wajar diperhatikan dan dijadikan contoh ikutan. Baginda menggunakan tangan kanan untuk makan. Tentulah sunah ini tidak semestinya diikuti orang kidal.

Ada hadis yang merekodkan bahawa Nabi Muhammad menggunakan tiga jari untuk makan. Walau bagaimanapun, kita perlu melihat pada konteks zaman. Sekiranya diteliti, makanan Baginda adalah buah kurma. Maka sesuailah menggunakan tiga jari.

Bagi kita yang lebih banyak makan nasi, tentulah sukar menggunakan tiga jari sahaja. Maka, dalam pada menurut sunah Nabi Muhammad, aspek logik dan kesesuaian mengikut situasi semasa perlulah juga diberikan perhatian.

Selesai makan, Rasulullah biasanya menjilat sisa makanan pada pinggan dan jari. Gelas minuman pula dipegang pada tangan kanan. Nabi Muhammad makan dan minum sambil duduk.

Baginda mengelakkan daripada menghembus nafas ke dalam bekas minuman semasa sedang minum. Kebaikan amalan ini sebenarnya boleh dijelaskan secara saintifik.

Kalau kita menghembus nafas ke dalam gelas, kita sebenarnya mengembuskan karbon dioksida. Apabila ia bercampur dengan air minuman, asid terhasil. Maka, setiap sunah ada alasan yang logik.

Ada pelbagai lagi amalan, sikap dan perbuatan Rasulullah yang mungkin juga kurang diketahui, disedari dan dijadikan ikutan oleh umat Islam sendiri. Bagi saya pula, mana-mana amalan (sunah) yang baik boleh sahaja dijadikan rujukan dan amalan demi keberkatan hidup.

Contoh-contoh yang saya paparkan secara ringkas di sini pasti sahaja hanya sebahagian kecil daripada sekian banyak sunah Rasulullah. Saya percaya ada banyak buku yang secara khusus menghuraikan segala amalan Baginda untuk panduan bersama.

Antara buku yang muncul dalam minda adalah Siapa Muhammad Bin Abdullah (2009), Selembut Hati Rasulullah (2013) dan Hebatnya Rasulullah: Teladani Peribadi dan Pengurusan Kekasih Allah (2013). Ia menceritakan kehebatan Nabi Muhammad yang juga dikenali dengan nama Ahmad, al-Mahi, al-Hasyir, al-Amin, al-Muqaffa’ dan al-Aqib.

Pada pandangan saya, mana-mana sunah yang baik dan universal boleh juga diamalkan oleh orang ramai tanpa mengira kaum dan agama. Tambahan pula, daripada pembacaan, penelitian dan analisis saya, segala amalan baik ini turut dipamerkan beberapa tokoh hebat Bukan Islam.

Atas alasan itulah juga saya amat berharap tidak akan ada mana-mana pihak “terlebih pandai” yang mengeluarkan fatwa (pandangan) yang menetapkan secara mutlak bahawa hanya orang Islam berhak menjadikan sunah Nabi Muhammad sebagai panduan dan ikutan. - Baca juga: Hadis Palsu Lemahkan Orang Melayu.



[Makalah ini ditulis pada 17 Disember 2014 di Kamunting, Perak dan disiarkan di The Malay Mail Online pada 22 Disember 2014. © Uthaya Sankar SB 2014. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]