Aku tidak dilahirkan daripada telur. Sekurang-kurangnya, itulah yang aku percayai ketika aku masih muda.
Aku dilahirkan daripada sebuah kubur. Kubur yang tidak mempunyai batu
nisan. Kubur yang tidak mempunyai nama. Kubur yang terapung di udara dan jatuh
perlahan-lahan ke tanah di Bandaraya Diraja Klang pada suatu pagi yang cerah
dalam bulan Mei 2026.
Manusia menyebutnya sebagai operasi menembak gagak. Aku menyebutnya
sebagai musim gugur yang datang tanpa kebenaran.
Sejumlah 2,880 tubuh hitam jatuh dari langit pada hari itu, empat tahun
lalu. Setiap satu mempunyai mata yang pernah melihat matahari, paruh yang
pernah menyentuh air, dan suara yang pernah memanggil anak-anak mereka pulang
ke sarang.
Tetapi manusia lebih menyukai angka berbanding nama. Mungkin kerana angka
tidak mempunyai ibu. Angka tidak mempunyai kenangan. Angka tidak datang dalam
mimpi untuk bertanya mengapa ia tidak sempat mengucapkan selamat tinggal
sebelum nyawa diragut.
Aku tidak berada di sana semasa peristiwa itu berlaku. Malah, aku belum
wujud. Tubuhku masih berupa kemungkinan yang tersembunyi dalam masa hadapan
kosmos.
Namun, aku masih mengingati bunyi tembakan pertama: Dum. Bunyi
itu masih bergema dalam kepala seperti guruh yang terperangkap di dalam sebuah
gua batu kapur.
Aku seolah-olah dapat merasakan angin pagi menyentuh bulu datukku. Aku
melihat kilauan logam pada laras senapang yang dihalakan kepadanya.
Aku menghidu bau serbuk peluru yang bercampur dengan bau hanyir ikan
dari pasar, bau minyak enjin dari lori-lori yang bergerak perlahan, dan bau
Sungai Klang yang menghanyutkan rahsia seluruh alam.
Aku turut merasai kesakitan dialami pada saat peluru menembusi mata kiri
datuk. Aku mampu mendengar jeritannya. Aku mendengar bunyi sayap-sayap lain
yang panik.
Aku mendengar seseorang ketawa. Aku mendengar seseorang mengira. Satu.
Dua. Sepuluh. Lima puluh. Dua ratus.
Bukan kerana manusia itu kejam. Sebaliknya, manusia itu hanya sedang
melakukan pekerjaan yang diberikan kepadanya. Dan itulah perkara yang paling
menakutkan tentang manusia. Mereka tidak memerlukan kebencian untuk membunuh. Mereka
hanya memerlukan alasan dan upah.
“Sebagai galakan kepada seramai 28 penembak berlesen yang terlibat,
serta menyokong usaha kawalan populasi gagak secara berterusan, Majlis
Bandaraya Diraja Klang (MBDK) membayar RM16,740 sebagai bayaran bounti
berdasarkan jumlah tangkapan yang direkodkan sepanjang operasi berlangsung,”
kata Datuk Bandar dalam perutusan.
Ibu tidak pernah mengajar aku membenci manusia. Itu mungkin perkara
paling aneh tentang seekor gagak yang kehilangan ayah, dua abang, dan hampir
seluruh kawanan asal.
Setiap petang, ketika matahari tenggelam di kaki langit, ibu membawa aku
ke dahan paling tinggi pokok hujan-hujan (Samanea saman) berhampiran
sungai. Bukan untuk mencari makanan. Sebaliknya, kami terlibat dalam operasi memerhatikan
manusia. Untuk belajar tentang mereka.
“Perhatikan mereka,” kata ibu.
“Kenapa?”
“Kerana musuh yang tidak difahami hanyalah bayangan. Bayangan boleh
menakutkan kita. Pengetahuan pula mampu memberi bentuk dan rupa kepada
bayangan.”
Ibu tidak pernah pergi ke sekolah. Namun begitu, dia memahami sesuatu
yang turut difahami para saintis manusia. Bahawa kami bukan makhluk yang hidup
berdasarkan naluri semata-mata.
Bertahun-tahun sebelum aku menetas, manusia bernama John M. Marzluff dan
rakan-rakannya sudah menerbitkan satu hasil kajian dalam Proceedings of the
Royal Society (Februari 2012).
Kajian itu mendedahkan hakikat kaum gagak dapat mengenali wajah manusia
tertentu yang pernah mengancam mereka. Dan pengetahuan tentang ancaman itu
boleh pula disampaikan kepada gagak lain melalui pembelajaran sosial.
Manusia terkejut dengan penemuan saintifik itu. Kami pula terkejut kerana manusia mengambil masa begitu lama untuk menyedarinya.
(bersambung pada 22 Jun 2026)

